SEJARAH PENUBUHAN PAPTI

BEBERAPA Ahli Majlis PAPTI ketika mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Tan Sri Mohamed Rahmat yang juga mantan Presiden PAPTI pertama, di sebuah hotel di Jakarta pada tahun 1980-an. - Foto Ihsan AF Yassin
PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PPM-001-10-11111976) atau ringkasnya PAPTI diilham pada tahun 1970-an oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang baru menamatkan pengajian mereka di universiti-universiti di Indonesia. Mereka adalah antara kumpulan pertama yang dihantar oleh kerajaan Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke negara jiran itu.

Mesyuarat penubuhan PAPTI telah diadakan pada 29 November 1975 dan dirasmikan oleh (Tun) Dato' Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu. Pada mesyuarat pertama tersebut (Allahyarham Tan Sri) Dato' Mohamed Rahmat telah dilantik sebagai Presiden PAPTI pertama. PAPTI disahkan sebagai persatuan berdaftar pada 11 November 1976.

PAPTI telah memainkan peranan dalam proses penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia di bawah program "G to G" pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an apabila persatuan ini diberi tanggungjawab oleh kerajaan Malaysia untuk mengendalikan kursus Ujian Masuk Pendidikan Tinggi Indonesia atau UMPTN yang turut mendapat pengiktirafan oleh kerajaan Indonesia. Sejak itu ribuan pelajar Malaysia telah berjaya melanjutkan pengajian mereka ke beberapa IPT seluruh Indonesia, menerusi bimbingan PAPTI.

PAPTI juga terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam agenda hubungan Malaysia dan Indonesia menerusi penglibatan dalam perbincangan, diskusi, forum serta persidangan antara kedua-dua negara, baik anjuran kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi mahupun pihak swasta.

PAPTI juga aktif dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan alumni di samping pelbagai kegiatan yang bermanfaat untuk ahli-ahli PAPTI, para alumni lepasan IPT Indonesia serta mana-mana rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pelajaran mereka di institusi pendidikan di Indonesia.

Pada masa yang sama PAPTI juga terus mengambil bahagian secara aktif dalam membina ikatan persahabatan antara kedua-dua negara melalui pelbagai bentuk dan kaedah terutama termasuk menjalinkan hubungan dengan Ikatan Alumni Malaysia (IKAMA) di Indonesia di samping pelbagai program lain yang dirancang.