PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2020


Assalamualaikum dan salam sejahterah. 

1. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana atas limpah kurnianya kita sekali lagi diberi peluang untuk menyambut kedatangan tahun baharu 2020 iaitu tahun yang unik dan istimewa bukan sahaja angkanya tetapi juga kerana bermulanya satu lagi dekad baharu dalam abad milenia ini.

2. Dalam kita meraikan kehadiran tahun baharu ini, sudah tentu cabaran besar menanti kita semua dalam mengharungi bulan-bulan mendatang memandangkan ketidaktentuan ekonomi dan keadaan politik yang belum kukuh selepas peralihan kerajaan baharu, yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada ahli-ahli PAPTI khasnya, dan rakyat di negara ini keseluruhannya.

3. Kita menyedari dalam keadaan hari ini, ada dalam kalangan ahli kita kehilangan pekerjaan, tidak dibayar gaji, perniagaan yang merosot, bantuan-bantuan pendidikan yang semakin berkurangan  dan sebagainya menambahkan lagi bebanan hidup namun kita tidak boleh hanya menyalahkan mana-mana pihak.

4. Sebaliknya kita perlu sama-sama berusaha lebih gigih dan kuat bagi memastikan kita semua dapat mengharungi cabaran dengan penuh tabah, sabar dan akhirnya dapat keluar dari belenggu kesuliran.

5. Kami di pihak PAPTI sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan ahli-ahli namun PAPTI sendiri berhadapan dengan kekangan khususnya dari segi kewangan malahan kami juga begitu selektif dalam melaksanakan program-program agar PAPTI tidak lumpuh.

6. Justeru, beberapa program bagi menjana tabung kewangan PAPTI sudah dirangka untuk dilaksanakan tahun ini antaranya ialah Himpunan Alumni Indonesia 2020 yang dirancang diadakan pada penghujung tahun ini, sekali gus bersempena sambutan ke-45 penubuhan PAPTI.

7. Himpunan Alumni Indonesia itu nanti akan menjadi wadah pertemuan antara para alumni yang berbeza angkatan dari seluruh Malaysia. Ia juga menjadi platform untuk kita meghargai para ahli yang telah memberikan khidmat bakti dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

8. Akhir kalam, saya mewakili barisan kepimpinan PAPTI, seluruh ahli persatuan dan para alumni Indonesia amnya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2020 dan semoga kita semua dirahmati Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

LUKMAN BIN ISMAIL
Presiden PAPTI 2019/2021

Share:

Catatan Popular