PAPTI buka pendaftaran ahli secara online

AHMAD ZAINI ISMAIL
KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah membuka peluang kepada para alumni Indonesia menganggotai persatuan itu secara terbuka apabila menawarkan pendaftaran secara dalam talian (online) mulai 1 April lalu.

Melalui kaedah itu, alumni Indonesia yang  belum menganggotai persatuan yang ditubuhkan sejak 45 tahun lalu itu lebih mudah menganggotai PAPTI berbanding cara konvensional melalui borang khas sebelum ini.

"Tawaran ini kita buka selama tiga bulan, di mana rakyat Malaysia yang pernah belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi di Indonesia boleh mendaftar sebagai ahli PAPTI tanpa mengenakan yuran pendaftaran.

"Manakala mereka yang sudah menjadi ahli juga digalakkan untuk mengisi borang keahlian online ini bagi tujuan mengemas kini maklumat keahlian masing-masing," kata Ketua Biro Keahlian, Encik Ahmad Zaini Ismail.

Menurut Ahmad Zaini, walaupun mereka yang mendaftar secara online ini secara automatik menjadi Ahli Biasa PAPTI, mereka tetap terikat dengan Perlembagaan persatuan di mana setiap ahli dikehendaki melunaskan yuran keahlian apabila mereka menghadiri mesyuarat agung yang akan datang.

Mengikut Perlembagaan PAPTI, persatuan itu mengenakan yuran pendaftaran ahli sebanyak RM10 manakala yuran Ahli Biasa sebanyak RM40 untuk sekali seumur hidup, manakala mereka yang mahu menjadi Ahli Seumur Hidup boleh berbuat demikian dengan membayar yuran sebanyak RM100.

Beliau berkata, pendaftaran secara online ini merupakan kaedah paling berkesan untuk menjejak alumni Indonesia yang bertebaran di seluruh negara yang jumlahnya dipercayai mencecah puluhan ribu orang mulai angkatan 1970-an sehingga kini.

"Setiap tahun ada sahaja mahasiswa Malaysia di Indonesia yang menamatkan pengajian mereka dan pulang ke tanah air tetapi mereka tidak dapat dijejaki. Justeru, kita berharap apabila semua menyertai PAPTI kita mempunyai rekod jumlah alumni Indonesia sebenar," katanya.

Justeru, Ahmad Zaini berharap semua alumni Indonesia tanpa mengira kaum, dapat mengisi borang online yang disebarkan melalui kumpulan-kumpulan WhatsApp, Telegram dan Facebook selain penyebaran secara langsung kepada alumni.

Sehingga kini lebih 200 alumni baik yang baharu mendaftar sebagai ahli mahukan ahli lama yang mengemas kini maklumat sudah mendaftar menerusi borang online tersebut.

"Kami sasarkan sebanyak 500 ahli dapat didaftarkan dalam tempoh tiga bulan tawaran ini dibuka. Alhamdulillah, berdasarkan sambutan yang kami terima setakat ini kami yakin sasaran itu dapat dicapai.

"Kami mengharapkan sokongan ahli-ahli lain untuk menyebarluaskan pautan ke borang tersebut dalam kalangan rakan-rakan alumni yang lain yang mungkin tidak dapat dijangkau oleh pihak kami sendiri," kata Ahmad Zaini.

Mereka yang belum mengisi borang keahlian PAPTI itu boleh berbuat demikian menerusi https://forms.gle/3qN2otRRCVWR2J3q7  sebelum atau pada 30 Jun 2020.








Share:

19 Alumni ITB'69 adakan kunjungan mesra ke atas PAPTI Bandung

Rombongan Alumni ITB'69 dan wakil-wakil PAPTI Bandung bergambar bersama di Kelab Golf UKM, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

SEBANYAK 19 alumni Institut Teknologi Bandung (ITB) angkatan 1969 (Alumni ITB'69) telah mengadakan lawatan mesra ke atas Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) Bandung di Bangi, pada 26 hingga 29 Januari lalu.

Rombongan diketuai oleh Ibu Agustina Purwo (Ibu Tina), Ketua Alumni ITB'69 daripada Jurusan Senirupa, ITB.

Antara aktiviti sepanjang lawatan tersebut ialah  pertandingan golf persahabatan antara Alumni ITB'69 dengan PAPTI Bandung.

PAPTI Bandung diwakili oleh Prof. Emeritus Muhammad Yahya, Ir. Onn Mohd Yusof, Dr. Jamaluddin Basharuddin dan seorang 'pemain import' dari Universitas Indonesia (UI) angkatan 1970 iaitu Dr. Mokhtar Abu Bakar.

Selesai pertandingan tersebut, semua rombongan telah dijamukan dengan makan tengah hari sambil bertukar-tukar cenderamata.

Rombongan turut dibawa melawat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kedua-dua pihak berharap kunjungan sebegini sebaiknya dilakukan lebih kerap bagi menjalin persahabatan yg lebih erat antara Alumni ITB'69 dan alumni Malaysia yang pernah kuliah di Bandung.

Berdasarkan perancangan, PAPTI Bandung akan mengadakan kunjung ke Banding pada  11 November 2020 dan akan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan alumni di ITB. - Dr Ismail Abdullah


Share:

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2020


Assalamualaikum dan salam sejahterah. 

1. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana atas limpah kurnianya kita sekali lagi diberi peluang untuk menyambut kedatangan tahun baharu 2020 iaitu tahun yang unik dan istimewa bukan sahaja angkanya tetapi juga kerana bermulanya satu lagi dekad baharu dalam abad milenia ini.

2. Dalam kita meraikan kehadiran tahun baharu ini, sudah tentu cabaran besar menanti kita semua dalam mengharungi bulan-bulan mendatang memandangkan ketidaktentuan ekonomi dan keadaan politik yang belum kukuh selepas peralihan kerajaan baharu, yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada ahli-ahli PAPTI khasnya, dan rakyat di negara ini keseluruhannya.

3. Kita menyedari dalam keadaan hari ini, ada dalam kalangan ahli kita kehilangan pekerjaan, tidak dibayar gaji, perniagaan yang merosot, bantuan-bantuan pendidikan yang semakin berkurangan  dan sebagainya menambahkan lagi bebanan hidup namun kita tidak boleh hanya menyalahkan mana-mana pihak.

4. Sebaliknya kita perlu sama-sama berusaha lebih gigih dan kuat bagi memastikan kita semua dapat mengharungi cabaran dengan penuh tabah, sabar dan akhirnya dapat keluar dari belenggu kesuliran.

5. Kami di pihak PAPTI sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan ahli-ahli namun PAPTI sendiri berhadapan dengan kekangan khususnya dari segi kewangan malahan kami juga begitu selektif dalam melaksanakan program-program agar PAPTI tidak lumpuh.

6. Justeru, beberapa program bagi menjana tabung kewangan PAPTI sudah dirangka untuk dilaksanakan tahun ini antaranya ialah Himpunan Alumni Indonesia 2020 yang dirancang diadakan pada penghujung tahun ini, sekali gus bersempena sambutan ke-45 penubuhan PAPTI.

7. Himpunan Alumni Indonesia itu nanti akan menjadi wadah pertemuan antara para alumni yang berbeza angkatan dari seluruh Malaysia. Ia juga menjadi platform untuk kita meghargai para ahli yang telah memberikan khidmat bakti dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

8. Akhir kalam, saya mewakili barisan kepimpinan PAPTI, seluruh ahli persatuan dan para alumni Indonesia amnya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2020 dan semoga kita semua dirahmati Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

LUKMAN BIN ISMAIL
Presiden PAPTI 2019/2021

Share:

Catatan Popular

Arkib Blog