Siti Zainon alumni Indonesia kedua bergelar Sasterawan Negara

Siti Zainon Ismail ketika menerima anugerah Tokoh PAPTI kategori Seni dan Budaya pada tahun 2015.
KUALA LUMPUR: Penggiat seni dan budaya, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Ke-14 sekaligus membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pemilihan Siti Zainon menjadikan beliau sebagai alumni Indonesia dan ahli PAPTI kedua memperoleh anugerah tersebut selepas Datuk Baharudin Zainal atau lebih dikenali dengan nama pena Baha Zain, penerima Anugerah Sastera Ke-12.

Lulusan Institut Seni Indonesia Yogyakarta tahun 1970 ini  telah menghasilkan tiga novel, 10 kumpulan cerpen, 25 kumpulan puisi, tujuh antologi cerpen, lima antologi puisi, 18 kajian ilmiah berbentuk buku, 21 esei kajian dalam buku dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog.

Dilahirkan pada 18 Disember 1948 di Gombak, Kuala Lumpur, beliau meraih pelbagai pengiktirafan dalam negara antaranya memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSPM) sebanyak enam kali.

Di peringkat antarabangsa, Siti Zainon turut diiktiraf pelbagai anugerah termasuk SEA Write Award pada 1989 dan Anugerah Tokoh Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) kategori Seni Budaya pada 2015.

Beliau juga aktif terlibat di peringkat antarabangsa serta dalam persatuan.

Anugerah Sasterawan Negara diberikan oleh kerajaan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan menerusi perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Penghargaan dan penghormatan negara yang akan diberikan oleh kerajaan kepada Siti Zainon adalah warkah penghormatan negara, wang tunai sebanyak RM60,000 selain penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan serta disebarkan dengan luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Siti Zainon juga diberikan kemudahan seperti perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kegiatan mencipta karya sastera, penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan.

Bagi pihak PAPTI, kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Siti Zainon atas penganugerahan tersebut.
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog