Indonesia dicadang sedia pakej khusus tarik pelajar Malaysia

Sdr Lukman Ismail berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 di Putrajaya pada 7 September lalu. Turut sama Bpk Moch Farid Maaruf (kanan).
PUTRAJAYA: Universiti-universiti di Indonesia dicadang menyediakan pakej-pakej khusus bagi menarik lebih ramai pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di negara itu, pada masa depan.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Sdr Lukman Ismail berkata, pada masa kini jumlah rakyat Malaysia yang kuliah di Indonesia semakin mengecil ekoran peningkatan kos pengajian di negara itu.

Menurut beliau, pemberhentian penajaan oleh agensi-agensi kerajaan kepada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke luar negara juga menyumbang kemerosotan pelajar Malaysia di Indonesia.

Sebaliknya, jelas beliau, jumlah pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian mereka ke Malaysia pula yang meningkat secara mendadak sejak 10 hingga 15 tahun lalu ekoran usaha berterusan Kementerian Pendidikan mempromosikan program kuliah di negara ini.

"Pihak Education Malaysia di Jakarta begitu agresif mempromosikan program pengajian di universiti di negara ini menyebabkan jumlah mahasiswa Indonesia di sini meningkat berkali ganda, sebaliknya mahasiswa Malaysia yang kuliah di Indonesia terus merosot.

"Jika keadaan ini berterusan tidak mustahil suatu hari nanti tidak ada lagi mahasiswa Malaysia yang kuliah di Indonesia dan ini amat disayangkan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 PAPTI di Kelab Tasik Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, Bpk Moch Farid Maaruf.

Untuk rekod jumlah pelajar Malaysia yang sedang kuliah di Indonesia adalah seramai 4,500 orang manakala pelajar Indonesia yang ada di universiti-universiti seluruh negara lebih 11,000 orang.

Justeru, Lukman mencadangkan pihak Indonesia menyediakan pakej-pakej menarik seperti memberikan potongan yuran pengajian kepada pelajar-pelajar Malaysia dan lain-lain.

Pihak Atase Pendidikan KBRI juga perlu giat mengadakan promosi universiti-universiti di Indonesia dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Lukman berkata, kekurangan pelajar Malaysia yang kuliah di Indonesia juga boleh menjejaskan kedudukan ahli PAPTI suatu ketika nanti apabila ahli-ahli yang ada sekarang 'pergi' satu persatu.

"Jika PAPTI yang ditubuhkan tahun 1975 mampu bertahan sehingga 45 tahun, saya amat berharap ia akan terus bertahan untuk tempoh 50 tahun lagi," katanya.

Share:

Catatan Popular

Arkib Blog