Indonesia dicadang sedia pakej khusus tarik pelajar Malaysia

Sdr Lukman Ismail berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 di Putrajaya pada 7 September lalu. Turut sama Bpk Moch Farid Maaruf (kanan).
PUTRAJAYA: Universiti-universiti di Indonesia dicadang menyediakan pakej-pakej khusus bagi menarik lebih ramai pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di negara itu, pada masa depan.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Sdr Lukman Ismail berkata, pada masa kini jumlah rakyat Malaysia yang kuliah di Indonesia semakin mengecil ekoran peningkatan kos pengajian di negara itu.

Menurut beliau, pemberhentian penajaan oleh agensi-agensi kerajaan kepada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke luar negara juga menyumbang kemerosotan pelajar Malaysia di Indonesia.

Sebaliknya, jelas beliau, jumlah pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian mereka ke Malaysia pula yang meningkat secara mendadak sejak 10 hingga 15 tahun lalu ekoran usaha berterusan Kementerian Pendidikan mempromosikan program kuliah di negara ini.

"Pihak Education Malaysia di Jakarta begitu agresif mempromosikan program pengajian di universiti di negara ini menyebabkan jumlah mahasiswa Indonesia di sini meningkat berkali ganda, sebaliknya mahasiswa Malaysia yang kuliah di Indonesia terus merosot.

"Jika keadaan ini berterusan tidak mustahil suatu hari nanti tidak ada lagi mahasiswa Malaysia yang kuliah di Indonesia dan ini amat disayangkan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 PAPTI di Kelab Tasik Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, Bpk Moch Farid Maaruf.

Untuk rekod jumlah pelajar Malaysia yang sedang kuliah di Indonesia adalah seramai 4,500 orang manakala pelajar Indonesia yang ada di universiti-universiti seluruh negara lebih 11,000 orang.

Justeru, Lukman mencadangkan pihak Indonesia menyediakan pakej-pakej menarik seperti memberikan potongan yuran pengajian kepada pelajar-pelajar Malaysia dan lain-lain.

Pihak Atase Pendidikan KBRI juga perlu giat mengadakan promosi universiti-universiti di Indonesia dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Lukman berkata, kekurangan pelajar Malaysia yang kuliah di Indonesia juga boleh menjejaskan kedudukan ahli PAPTI suatu ketika nanti apabila ahli-ahli yang ada sekarang 'pergi' satu persatu.

"Jika PAPTI yang ditubuhkan tahun 1975 mampu bertahan sehingga 45 tahun, saya amat berharap ia akan terus bertahan untuk tempoh 50 tahun lagi," katanya.

Share:

Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 (2019)

Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI Kali Ke-26 telah berlangsung pada 7 September 2019 di Kelab Tasik Putrajaya, yang turut dihadiri oleh Atase Pendidikan KBRI di Kuala Lumpur, Bpk Moch Farid Maaruf.

Antara wajah-wajah baharu yang hadir.

Barisan Ahli Majlis sesi 2017-2019 sebelum pembubaran bagi pemilihan baharu.

Antara ahli-ahli PAPTI yang hadi


Atase Pendidikan KBRI di Kuala Lumpur, Bpk Moch Farid Maaruf (dua dari kanan) dan Presiden PAPTI, En. Lukman Ismail (duduk tiga dari kanan) bersama sebahagian ahli PAPTI yang hadir.

En Lukman Ismail menyerahkan cenderamata kepada Bpk Moch Farid Maaruf.

Antara kaum ibu yang hadir.



Share:

Siti Zainon alumni Indonesia kedua bergelar Sasterawan Negara

Siti Zainon Ismail ketika menerima anugerah Tokoh PAPTI kategori Seni dan Budaya pada tahun 2015.
KUALA LUMPUR: Penggiat seni dan budaya, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Ke-14 sekaligus membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pemilihan Siti Zainon menjadikan beliau sebagai alumni Indonesia dan ahli PAPTI kedua memperoleh anugerah tersebut selepas Datuk Baharudin Zainal atau lebih dikenali dengan nama pena Baha Zain, penerima Anugerah Sastera Ke-12.

Lulusan Institut Seni Indonesia Yogyakarta tahun 1970 ini  telah menghasilkan tiga novel, 10 kumpulan cerpen, 25 kumpulan puisi, tujuh antologi cerpen, lima antologi puisi, 18 kajian ilmiah berbentuk buku, 21 esei kajian dalam buku dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog.

Dilahirkan pada 18 Disember 1948 di Gombak, Kuala Lumpur, beliau meraih pelbagai pengiktirafan dalam negara antaranya memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSPM) sebanyak enam kali.

Di peringkat antarabangsa, Siti Zainon turut diiktiraf pelbagai anugerah termasuk SEA Write Award pada 1989 dan Anugerah Tokoh Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) kategori Seni Budaya pada 2015.

Beliau juga aktif terlibat di peringkat antarabangsa serta dalam persatuan.

Anugerah Sasterawan Negara diberikan oleh kerajaan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan menerusi perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Penghargaan dan penghormatan negara yang akan diberikan oleh kerajaan kepada Siti Zainon adalah warkah penghormatan negara, wang tunai sebanyak RM60,000 selain penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan serta disebarkan dengan luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Siti Zainon juga diberikan kemudahan seperti perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kegiatan mencipta karya sastera, penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan.

Bagi pihak PAPTI, kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Siti Zainon atas penganugerahan tersebut.
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog