MB Johor kebanggaan rakan alumni universiti Indonesia


KUALA LUMPUR: Pelantikan Dr. Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor ke-17 mencatatkan sejarah tersendiri kerana menjadi lulusan Indonesia pertama menjawat jawatan tersebut.
Timbalan Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Datuk Abdul Latiff Awang berkata, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu telah membanggakan rakan-rakan alumni Indonesia umumnya dan Universitas Hasanuddin, Makassar khususnya.
“Sebagai seorang doktor perubatan lulusan Universitas Hasanuddin Makassar, Indonesia, ketokohan beliau wajar dicontohi oleh generasi muda.
“Komitmen beliau dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat sangat terserlah terutama ketika menangani krisis pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang baru-baru ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.
Dr. Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 hari ini bagi menggantikan Datuk Osman Sapian uang melepaskan jawatan tersebut.
Abdul Latiff berkata, walaupun sebelum ini terdapat beberapa lulusan negara jiran itu yang menceburi politik dan ada yang memegang jawatan Exco kerajaan negeri tetapi beliau adalah alumni Indonesia pertama diangkat sebagai Menteri Besar.
Sehubungan itu, PAPTI merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Sahruddin dan berharap agar beliau dapat memikul amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan sabar. - Utusan Online 15 April 2019
Share:

Catatan Popular