Sekitar program MyICON 2018 di Jakarta

PROGRAM Malaysian-Indonesia Convention (MyICON) 2018 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) telah berlangsung di Dewan Besar Kompleks Kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta pada 1 Disember lalu.

Sempena program tersebut, dua wakil PAPTI iaitu Presidennya, Sdr Lukman Ismail dan pengasas PAPTI, Dato M. Noor Azam telah diundang sebagai ahli panel dalam segmen Wacana PKPMI dalam majlis sempena Sambutan 50 Tahun PKPMI itu.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung, Ahmad Nabieh Abqory Rahmat dan Ahli Majlis PAPTI, Dr. Mohd Zailani Abd Shariff.

Berikut adalah antara gambar-gambar yang dirakam sepanjang program tersebut:









Share:

Ucapan tahniah PAPTI kepada Pakatan Harapan

SAUDARA PENGARANG,
  • Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) ingin merakamkan sekalung tahniah kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Jemaah Menteri yang telah dilantik.
  • Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada bulan Mei yang lalu membuktikan kekuatan suara rakyat yang ingin menyaksikan perubahan lebih baik dalam pentadbiran negara.
  • Sebagai persatuan alumni yang telah berusia lebih daripada 40 tahun dan mempunyai rangkaian ahli yang luas dalam pelbagai bidang, pihak PAPTI bersedia untuk ikut terlibat sama dan menyumbangkan khidmat bakti demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
  • Dalam mesyuarat ahli jawatankuasa, PAPTI sebulat suara memberikan sokongan penuh kepada segala usaha untuk menyatupadukan rakyat negara ini yang berbilang kaum berlandaskan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.
  • Dalam hal ini, sejarah tanah air termasuklah soal agama Islam dan institusi raja-raja Melayu perlu dihormati oleh semua pihak.
  • Sebarang usaha untuk memutarbelitkan fakta dan mengganggu-gugat asas negara ini perlu dihentikan lebih-lebih lagi ada pihak yang nakal cuba mewujudkan sangkaan baik terhadap musuh negara iaitu ideologi komunisme.
  • Dalam bidang pendidikan, PAPTI bersama-sama dengan hasrat Menteri, Dr. Maszlee Malik yang memberikan fokus kepada usaha penambahbaikan mutu baik dalam kalangan warga pendidik dan pelajar yang merupakan output dari sekolah, kolej dan universiti. Oleh itu, sebarang permintaan kontroversi oleh pihak tertentu tidak wajar mengalihkan fokus kementerian apatah lagi permintaan tersebut bercanggah dengan semangat kebangsaan seperti UEC.
  • Kerajaan wajar mengambil contoh yang baik dari negara jiran seperti Indonesia dalam membentuk ideologi dan perpaduan rakyatnya berasaskan Pancasila.
  • Pada akhirnya, cabaran yang dihadapi oleh pentadbiran yang baharu semakin hebat terutama dalam bidang sosioekonomi. Maka, PAPTI berdoa agar Dr. Mahathir berserta Jemaah Menteri dapat menggalas tanggungjawab dengan baik dalam membela kepentingan rakyat Malaysia. 
Sekian, terima kasih.
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia

(Diterbitkan dalam Utusan Malaysia & Utusan Online, 4 Ogos 2018)
Share:

Presiden PAPTI adakan pertemuan dengan Rektor Universitas Airlangga

Sdr Lukman Ismail mengadakan pertemuan empat mata dengan Prof. Dr. Muhammad Nasih di kampus Universitas Airlangga, Surabaya, baru-baru ini.
SURABAYA: Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail telah mengadakan kunjungan ke atas Rektor Universitas Airlangga (UA), Prof. Dr. Mohammad Nasih di pejabatnya di sini pada 2 Julai lalu.

Pertemuan Sdr Lukman yang juga Ketua Ikatan Alumni Universitas Airlangga (IKA-UA) Malaysia dengan Rektor itu sempena lawatan beliau selama empat hari ke Surabaya, Indonesia.

Antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah mengenai exit exam yang diwajibkan ke atas semua mahasiswa termasuk dari Malaysia yang menamatkan pengajian mereka dalam bidang-bidang profesional khususnya perubatan, pergigian dan farmasi.

"Kita berusaha untuk membolehkan mahasiswa Malaysia dikecualikan daripada menduduki exit exam. Bapak Rektor memahami kesulitan yang dialami mahasiswa kita tetapi beliau tidak dapat dikecualikan kerana ia adalah arahan daripada pihak kerajaan Indonesia dan berlaku di seluruh Indonesia.

"Mahasiswa yang tamat pengajian perlu menduduki peperiksaan ini bagi membolehkan pihak universiti mengeluarkan ijazah yang diperoleh dan dibenarkan mengikuti konvokesyen," kata Sdr Lukman.

Selain itu, Prof. Dr. Muhammad Nasih juga berharap lebih ramai pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di UA termasuk dalam bidang-bidang sosial, ekonomi, sains dan lain-lain.

Sehubungan itu, beliau berharap PAPTI dan juga IKA-UA Malaysia dapat membantu menarik pelajar-pelajar Malaysia untuk belajar di UA, selain membantu merealisasikan matlamat universiti yang memasuki ranking 500 terbaik dunia.

Bersama Dr. Junaidi Khotib.
Sementara itu dalam pertemuan dengan Dr. Junaidi Khotib, Wakil Rektor IV itu mengalu-alukan jika pihak PAPTI dan IKA-UA Malaysia mempelawa pelajar-pelajar dari Malaysia untuk belajar di universiti tersebut.

"Malah jika ada pelajar yang mendapat sokongan daripada pihak alumni, memang kita langsung meluluskan permohonan tersebut. Itu jaminan kami kerana pemilihan pelajar yang mendaftar masuk adalah dipihak kami," kata Dr. Junaidi.

Share:

Catatan Popular

Arkib Blog