Slider

Imej tema oleh kelvinjay. Dikuasakan oleh Blogger.

Berita

Galeri

Aktiviti

Media

Rakan PAPTI

Cerita Sukses

» » Ucapan Aluan Presiden PAPTI Sempena IMSSEAS 2017


UCAPAN ALUAN
LUKMAN BIN ISMAIL
B.A (HONS) UNAIR, M.I.T UKM
PRESIDEN PERSATUAN ALUMNI PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA
SEMPENA
INDONESIA-MALAYSIA SYMPOSIUM ON SOUTHEAST ASIA STUDIES  (IMSSEAS) 2017
PADA 8 DISEMBER 2017 BERSAMAAN 19 RABI’UL AWAL 1439H
DI PURI PUJANGGA HOTEL, UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
BANGI, SELANGOR



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Yang Dihormati, Prof Dr Ari Purbayanto
Atase Pendidikan dan Kebudayaan
Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur

Yang Dihormati, Prof. Dr. Asep Saefuddin,
Rektor Universitas Al Azhar Indonesia

Yang Dimulaikan, sahabat saya Bpk Dr. Sabela Gayo,
Ketua Umum Perhimpunan Alumni Malaysia

Barisan pengurus PAM, para sahabat dari PAPTI, para pembentang kertas kerja serta tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Assalamualaikum w.w.t & salam serumpun, salam satu nusantara.

Terlebih dahulu saya bagi pihak Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia atau PAPTI merakamkan ucapan terima kasih kepada penganjur Indonesia-Malaysia Symposium on Southeast Asia Studies 2017 khususnya Perhimpunan Alumni Malaysia atau PAM kerana memberi kesempatan kepada PAPTI untuk sama-sama menjayakan simposium ini. Sesungguhnya penganjuran simposium ini amat besar maknanya bukan sahaja bagi mencari satu solusi dalam menyelesaikan permasalahan yang bersalut membabitkan kedua-dua negara tetapi juga sebagai satu lagi pemeteraian hubungan akrab antara PAPTI dan PAM.

Saudara/saudari sekalian.

Jika PAM sebagai organisasi yang mewakili anak-anak Indonesia yang berkuliah di Malaysia maka PAPTI pula adalah organisasi masyarakat yang anggotanya terdiri daripada kalangan anak-anak Malaysia yang berkuliah di Indonesia. Persatuan ini sudah terbentuk sejak tahun 1975 dan memayungi ribuan alumni yang berkuliah di seluruh pelosok Indonesia – dari Aceh hingga ke Lampung, dari Jakarta hingga ke Bali dan dari Makassar hingga ke Menado – sejak tahun 1950-an sehingga kini. Cuma bezanya jika anggota PAM terdiri anak-anak Indonesia yang berkuliah di peringkat S2 dan S3 di Malaysia, kami ahli-ahli PAPTI sebahagian besarnya adalah berkuliah di peringkat S1 di sana. 

Saudara/Saudari sekalian.

Jika sewaktu berkuliah dahulu, kita semua baik anggota PAPTI mahupun PAM sering dianggap sebagai ‘duta kecil’ kepada negara kita masing-masing. Saya percaya sehingga kini pun kita tetap dan harus mengekalkan diri kita sebagai ‘duta kecil’ untuk negara kita, khususnya dalam menangani isu-isu yang timbul membabitkan hubungan kedua-dua negara. Hubungan antara Malaysia dan Indonesia begitu istimewa umpama ‘abang dan adik’. Malah kedua-dua negara ini juga umpama nadi kepada kestabilan negara di rantau Asia Tenggara. Justeru, PAPTI amat berharap agar hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia dapat dipertahankan, malah perlu diperkukuh dari masa ke semasa. Kalau bergoncangnya Malaysia dan Indonesia, maka keseluruhan rantau ini juga turut bergoncang.

Atas sebab itulah PAPTI begitu mementingkan soal hubungan Malaysia dengan Indonesia khususnya dan negara-negara di rantau ini umumnya. Ini sesuai dengan salah satu asas penubuhan PAPTI iaitu “untuk mengeratkan hubungan antara negara demi kesejahteraan dan perdamaian manusia sejagat” serta tujuan penubuhan itu “memperkukuhkan persaudaraan rumpun Melayu (Malaysia-Indonesia)”. Justeru, PAPTI amat memelihara hubungan tersebut memandangkan Malaysia adalah tanah air kami, tempat tumpah darah kami manakala Indonesia pula ada “negara kedua” bagi kami kerana di situlah kami menimba ilmu, pengalaman dan pengetahuan yang bagi saya ada di antara ilmu dan pengalaman itu tidak akan diperoleh di negara sendiri, atau di negara-negara lain.

Saudara/saudari sekalian,

Simposium ini bukanlah kerjasama pertama antara PAPTI dan PAM kerana kita pernah bergabung menjayakan Indonesia-Malaysia Alumni Friendship Program for Peace & Development 2017 yang adakan di Sorong dan Raja Ampat, Papua Barat pada Mei lalu. Dan saya percaya kerjasama antara kedua-dua pihak tidak terhenti setakat ini malah akan diperhebatkan lagi dari masa ke semasa, dalam pelbagai bidang agar kedua-dua pertubuhan ini member manfaatkan kepada agama, bangsa dan tanah air masing-masing.

Akhir kata saya merakamkan ucapan tahniah kepada PAM kerana telah berjaya menubuhkan barisan pengurusannya bagi Kuala Lumpur, yang saya kira satu langkah tepat bagi memperkukuhkan lagi PAM di negara ini, sepertimana langkah PAPTI yang kini giat menubuhkan cabang-cabang mengikut kota-kota di Indonesia, di mana tempat kami belajar dahulu. Ini termasuk penubuhan PAPTI cabang Bandung yang mesyuarat penubuhannya akan diadakan di Putrajaya, esok.

Semoga hubungan PAPTI dan PAM juga semakin erat selepas ini.


Sekian, terima kasih dan selamat bersimposium.

«
Next
Catatan Terbaru
»
Previous
Catatan Lama