Slider

Imej tema oleh kelvinjay. Dikuasakan oleh Blogger.

Berita

Galeri

Aktiviti

Media

Rakan PAPTI

Cerita Sukses

» » Perutusan Presiden PAPTI Sempena Tahun Baharu 2018


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tahun 2017 telah melabuhkan tirainya dan kini 2018 pula muncul. Alhamdulillah PAPTI telah berjaya mengharungi tahun 2017 dengan  jayanya. Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang tahun terutama dalam usaha memperkukuh PAPTI dalam mengharungi tahun-tahun mendatang, selepas berdiri kukuh lebih 40 tahun lamanya.

Antara program yang telah diadakan sepanjang 2017 termasuk memahat kerjasama dengan Persatuan Alumni Malaysia (PAM) melalui penganjuran bersama dua program iaitu Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia di Papua Barat dan Simposium Malaysia-Indonesia Dalam Kajian Asia Tenggara yang diadakan di UKM, Bangi.

Selain itu, PAPTI juga telah mempererat hubungan dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) dengan penyertaan dalam beberapa program antaranya Forum Negaraku Nusantara Kita di Jakarta, serta penglibatan dalam program Malam Kecemerlangan PMUSU di Medan.

Melalui penglibatan PAPTI dalam kedua-dua program tersebut, kita berharap para mahasiswa Malaysia yang masih menuntut di Indonesia menyedari keberadaan PAPTI dan diharap dapat menarik minat mereka menganggotai PAPTI sejurus tamat pengajian dan kembali ke tanah air.

Tahun 2017 juga mencatat sejarah bagi PAPTI apabila kita menjalin kerjasama dengan Universiti Fatoni, selatan Thailand untuk membekalkan tenaga pengajar kepada universiti itu secara waqaf ilmu. Insya-Allah kerjasama ini akan diikat secara rasmi menerusi satu perjanjian persefahaman yang dijangka dapat dilaksanakan pada 2018.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, PAPTI tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan tahun 2017 menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu bagi sesi 2017-2019 terdiri daripada gandingan muka lama dan baharu, sekali gus diharap dapat memantapkan lagi PAPTI pada masa depan.

Selain itu, PAPTI juga dalam proses meremajakan persatuan ini bagi disesuaikan dengan perkembangan semasa antaranya yang paling penting ialah kelulusan PAPTI untuk menubuhkan cawangan mengikut kota-kota di Indonesia, sesuai dengan keberadaan alumni. Penubuhan cawangan PAPTI ini bagi menggalakkan alumni Indonesia menyertai PAPTI mengikut lokasi di mana mereka belajar, dan diharap dapat mengeratkan lagi hubungan di antara alumni.

Sesungguhnya usaha kita untuk meningkatkan keaktifan PAPTI tidak berhenti di situ. Pada tahun 2018, banyak lagi program yang sudah dan akan diatur untuk dijayakan. Antara program terbesar yang diharap dapat dijayakan ialah penganjuran Perhimpunan Alumni Indonesia yang dirancang diadakan pada pertengahan atau akhir tahun 2018.

Perhimpunan terbesar alumni Indonesia ini adalah yang kedua kali diadakan selepas berjaya merealisasikannya pada 2015. Jika tiga tahun lalu kita berjaya menghimpun sehingga 500 ahli, maka diharapkan pada tahun ini kita dapat mengumpul lebih ramai alumni dan melibatkan seluruh pelosok Indonesia.

Akhir kata, saya berharap ahli-ahli PAPTI dapat terus memberi kerjasama dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Bagi alumni Indonesia yang belum menganggotai PAPTI, saya mengalu-alukan penyertaan kalian untuk meningkatkan lagi ukhuwah dalam kalangan alumni.

Selamat Tahun Baharu 2018


LUKMAN BIN ISMAIL
Presiden PAPTI

«
Next
This is the most recent post.
»
Previous
Catatan Lama

Tiada ulasan:

Leave a Reply