KENYATAAN PAPTI SUSULAN PERUNDINGAN MALAYSIA-INDONESIA KE-12 DI KUCHING, SARAWAK SEMALAM

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, November 23, 2017

KUALA LUMPUR : Pihak Persatuan Alumni Pengajian Tinggi Indonesia (PAPTI) menyambut baik beberapa perkara yang telah disepakati oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan YTH Presiden Republik Indonesia, Bapak Joko Widodo dalam Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia kali ke-12 yang telah diadakan di Kuching, Sarawak pada 22 November 2017.

Sebagai persatuan alumni yang telah berusia lebih dari 40 tahun, ada 3 perkara penting yang menjadi perhatian pihak kami :

Pertama - Mempermudah urusan berkaitan visa pelajar dan izin tinggal bagi para pelajar dan mahasiswa

Dengan jumlah pelajar yang melebihi 10,000 orang di kedua-dua buah negara, maka sudah sewajarnya urusan visa berkaitan pendidikan ini semakin diperkemas baik dari segi prosesnya birokrasi dan kadar bayarannya.

Kedua - MoU bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pengajian tinggi Islam antara kedua-dua negara.

Sebagai negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam maka persefahaman dalam bidang berkaitan ini sangat wajar dijadikan keutamaan selaras dengan kehendak maqasid syariah. Populasi umat Islam di kedua-dua negara adalah lebih dari 250 juta orang yang majoritinya mengamalkan Islam moderat atau wasatiyyah.

Kerjasama dalam bidang pendidikan ini dapat meliputi bidang kewangan dan ekonomi syariah, undang-undang syariah, demokrasi dan ketamadunan. Pada ketika ini terdapat sejumlah 2000 mahasiwa Malaysia di Indonesia yang menuntut di universiti-universiti Islam.

Ketiga - Kerjasama pada peringkat atasan (top official)

Selaras dengan hasrat yang konsisten sejak 60 tahun lalu untuk mempererat hubungan kedua-dua negara, maka kerjasama pada peringkat pegawai atasan adalah suatu kemestian. Walaupun mempunyai akar budaya dan sejarah yang hampir sama-sama, namun perkembangan mutakhir yang terjadi dalam 20 tahun ini seringkali memerlukan suatu pendekatan yang lebih segar dan dinamik.

Indonesia telah meletakkan diri sebagai negara demokrasi ketiga terbesar di dunia dengan majoriti umat Islam paling ramai manakala Malaysia dikenali sebagai negara Islam progresif dengan kepelbagaian kaum yang mengutamakan kestabilan politik. Dalam prosesnya, kedua-dua negara dapat saling belajar untuk menguatkan identiti negara masing-masing sambil menolak anasir terorism dan ekstremisme.

Kedua-dua negara juga dapat berkongsi pengalaman masing-masing dan bekerjasama dalam industri berasaskan syariah yang secara global bernilai USD 6.3 bilion. Industri meliputi bidang pendidikan, kesihatan, kewangan, media, makanan, fesyen dan pelancongan.

Pada peringkat persatuan, pihak PAPTI seringkali mengadakan kunjungan ke universitas-universitas di Indonesia untuk bekerjasam dalam bidang akademik. Ini termasuklah bekerjasama dengan Persatuan Alumni Malaysia (PAM) ketika menyertai Indonesia-Malaysia Alumni Friendship Program di Raja Ampat, Papua pada bulan Mei yang lalu.

Maka atas semangat rumpun nusantara, pihak PAPTI sekali lagi menyambut baik kesepakatan yang dicapai oleh kedua-dua negara semalam dan kami bersedia untuk mengambil bahagian dalam merealisasikannya.

Sekian, terima kasih.



DATO’ DR ABDUL LATIFF AWANG
Timbalan Presiden
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI