KENYATAAN PAPTI SUSULAN PERUNDINGAN MALAYSIA-INDONESIA KE-12


KUALA LUMPUR : Pihak Persatuan Alumni Pengajian Tinggi Indonesia (PAPTI) menyambut baik beberapa perkara yang telah disepakati oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan YTH Presiden Republik Indonesia, Bapak Joko Widodo dalam Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia kali ke-12 yang telah diadakan di Kuching, Sarawak pada 22 November 2017.

Sebagai persatuan alumni yang telah berusia lebih dari 40 tahun, ada 3 perkara penting yang menjadi perhatian pihak kami :

Pertama - Mempermudah urusan berkaitan visa pelajar dan izin tinggal bagi para pelajar dan mahasiswa

Dengan jumlah pelajar yang melebihi 10,000 orang di kedua-dua buah negara, maka sudah sewajarnya urusan visa berkaitan pendidikan ini semakin diperkemas baik dari segi prosesnya birokrasi dan kadar bayarannya.

Kedua - MoU bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pengajian tinggi Islam antara kedua-dua negara.

Sebagai negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam maka persefahaman dalam bidang berkaitan ini sangat wajar dijadikan keutamaan selaras dengan kehendak maqasid syariah. Populasi umat Islam di kedua-dua negara adalah lebih dari 250 juta orang yang majoritinya mengamalkan Islam moderat atau wasatiyyah.

Kerjasama dalam bidang pendidikan ini dapat meliputi bidang kewangan dan ekonomi syariah, undang-undang syariah, demokrasi dan ketamadunan. Pada ketika ini terdapat sejumlah 2000 mahasiwa Malaysia di Indonesia yang menuntut di universiti-universiti Islam.

Ketiga - Kerjasama pada peringkat atasan (top official)

Selaras dengan hasrat yang konsisten sejak 60 tahun lalu untuk mempererat hubungan kedua-dua negara, maka kerjasama pada peringkat pegawai atasan adalah suatu kemestian. Walaupun mempunyai akar budaya dan sejarah yang hampir sama-sama, namun perkembangan mutakhir yang terjadi dalam 20 tahun ini seringkali memerlukan suatu pendekatan yang lebih segar dan dinamik.

Indonesia telah meletakkan diri sebagai negara demokrasi ketiga terbesar di dunia dengan majoriti umat Islam paling ramai manakala Malaysia dikenali sebagai negara Islam progresif dengan kepelbagaian kaum yang mengutamakan kestabilan politik. Dalam prosesnya, kedua-dua negara dapat saling belajar untuk menguatkan identiti negara masing-masing sambil menolak anasir terorism dan ekstremisme.

Kedua-dua negara juga dapat berkongsi pengalaman masing-masing dan bekerjasama dalam industri berasaskan syariah yang secara global bernilai USD 6.3 bilion. Industri meliputi bidang pendidikan, kesihatan, kewangan, media, makanan, fesyen dan pelancongan.

Pada peringkat persatuan, pihak PAPTI seringkali mengadakan kunjungan ke universitas-universitas di Indonesia untuk bekerjasam dalam bidang akademik. Ini termasuklah bekerjasama dengan Persatuan Alumni Malaysia (PAM) ketika menyertai Indonesia-Malaysia Alumni Friendship Program di Raja Ampat, Papua pada bulan Mei yang lalu.

Maka atas semangat rumpun nusantara, pihak PAPTI sekali lagi menyambut baik kesepakatan yang dicapai oleh kedua-dua negara semalam dan kami bersedia untuk mengambil bahagian dalam merealisasikannya.

Sekian, terima kasih.



DATO’ DR ABDUL LATIFF AWANG
Timbalan Presiden
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI
Share:

Kunjungan Presiden PAPTI ke Medan

PRESIDEN PAPTI, Sdr Lukman Ismail telah mengadakan kunjungan ke Medan, Indonesia pada 29 dan 30 Oktober lalu bagi memenuhi undangan Perwakilan Mahasiswa Malaysia Unniversitas Sumatera Utara (PMUSU).

Selain merasmikan Malam Anugerah Kecemerlangan PMUSU Ke-12, Presiden PAPTI turut mengadakan pertemuan dengan barisan jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Medan serta barisan jawatankuasa PMUSU.

Pada kesempatan itu, Lukman telah memberikan taklimat ringkas mengenai PAPTI di samping peranan dan masa depan persatuan yang memayungi alumni seluruh Indonesia itu selain mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelajar kita di Sumatera Utara.

Lukman berkata, pihaknya bercadang untuk melantik seorang wakil PAPTI di Medan bagi memudahkan PAPTI menyalurkan maklumat kepada para pelajar di Sumatera Utara khususnya dan di kepulauan Sumatera amnya.

"Kita sudah ada wakil di Jakarta, jadi adalah sebaiknya jika di Medan ini kita juga ada wakil yang kita lantik daripada kalangan pelajar," katanya.

Sesi ais krim bersama barisan jawatankuasa PKPMI Cawangan Medan. Hadir sama Yang Dipertuanya, Natasha As-Sakinah Mohd. Rosli (tiga dari kiri).

Makan tengah hari bersama sebahagian jawatankuasa PMUSU diketuai oleh Muhammad Rashdi (kanan).
Malam Anugerah Kecemerlangan PMUSU. Hadir sama Atase Pertahanan mewakili Konsul Malaysia di Medan (dua dari kanan).

Kemeriahan majlis diserikan dengan anugerah sampingan
Presiden PAPTI menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.



Sebahagian pelajar Malaysia di USU yang hadir.

Presiden PAPTI bersama YDP PKPMI Cawangan Medan, Atase Pertahanan Konsulat Malaysia di Medan dan Pengerusi PMUSU. 

Presiden PAPTI menyerahkan sumbangan RM500 kepada Pengerusi PMUSU, Sdr Muhammad Rashdi.



Share:

Lulusan Indonesia perlu miliki 'x-factor'

MEDAN: Para pelajar Malaysia di Indonesia digesa menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sepanjang mengikuti kuliah di negara ini sebagai persiapan memasuki alam pekerjaan selepas lulus kelak.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Sdr Lukman Ismail berkata, para pelajar perlu bukan sahaja mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik di universiti tetapi juga perlu mencari elemen lain di luar kampus.

Lukman Ismail diiringi Muhammad Rashdi menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar Malaysia di Universitas Sumatera Utara (USU) yang cemerlang di Medan, baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara itu perlu memandangkan para pelajar terbabit, apabila lulus dan pulang ke tanah air, mereka terpaksa bersaing dengan lulusan sama dari universiti tempatan dan luar negara lain.

"Cabaran mahasiswa sekarang terutama bidang perubatan sekarang amat mencabar, tidak seperti zaman saya dahulu. Sekarang nak tunggu ditempatkan di hospital mengambil masa sehingga setahun atau lebih.

"Waktu yang terluang itu, jika tidak diisi dengan perkara yang berfaedah lain akan merugikan anda semua. Sebab itu saya galakkan anda mencari 'ilmu tambahan' sebagai bekalan dan sebagai x-factor dalam diri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Anugerah Kecemerlangan Perwakilan Mahasiswa Malaysia Universitas Sumatera Utara (PMUSU) Ke-12 di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Medan, Sdri Natasha As-Sakinah Mohd. Rosli dan Pengerusi PMUSU, Sdr Muhammad Rashdi.

Sebahagian pelajar Malaysia di USU yang hadir.
Lukman berkata, beliau mengalu-alukan graduan Indonesia yang bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  membantu masyarakat sementara menunggu penempatan ke hospital, selain 'bekerja' di klinik-klinik swasta.

Malah beliau juga mengalu-alukan  para pelajar di Medan agar menganggotai PAPTI bagi membolehkan mereka terlibat dalam aktiviti yang dijalankan oleh persatuan ini.

"PAPTI sekarang sudah lebih terbuka, dan kita membuka keahlian kepada pelajar yang belum tamat pengajian. Kita juga sudah membuka peluang alumni untuk menubuhkan cawangan PAPTI mengikut kota-kota di mana mereka belajar. Ini semua bagi menggalakkan lebih ramai alumni menganggotai PAPTI," katanya.

Share:

Catatan Popular

Arkib Blog