PAPTI tawar 'waqaf ilmu' kepada Universiti Fatoni

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Oktober 23, 2017
Dato Dr Abdul Latiff Awang (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Prof. Dr. Ismail Lutfee Alfatoni (tiga dari kanan) di Universiti Fatoni, Pattani, Thailand.
PATTANI, Thailand - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mempunyai ahli-ahli dalam kalangan akademik yang berpengalaman dan ada diantara mereka sudah mencapai usia pencen.

Tidak kurang dalam kalangan mereka sudah mencapai taraf profesor madya, profesor penuh malah ada yang mendapat gelaran profesor emeritus.

Amatlah disayangkan jika ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya terutama dalam mendidik anak-anak bangsa dan seagama.

Justeru PAPTI mengambil langkah memperkenalkan program waqaf ilmu iaitu dengan menawarkan tenaga pengajar kepada Universiti Fatoni, Thailand secara percuma.

Timbalan Presiden PAPTI, Dato' Dr. Abdul Latiff Awang berkata, melalui program waqaf ilmu ini, ahli-ahli persatuan ini akan mengajar dalam bidang-bidang yang mereka kuasai di universiti tersebut tanpa sebarang gaji.

"Imbalannya dalam bentuk pahala di akhirat kelak. Bayangkan betapa besar ganjaran yang diperoleh jika ilmu-ilmu yang kita ajari secara waqaf ini dimanfaatkan untuk kepentingan agama dan negara mereka," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Rektor FU, Prof. Dr. Ismail Lutfee Alfatoni di kampus FU di sini.

Hadir sama Ahli Majlis PAPTI, Ustaz Afandi Awang dan beberapa ahli jawatankuasa PAPTI Cawangan Yogyakarta.

Untuk rekod, FU telah ditubuhkan melalui konsep waqaf sejak 19 tahun lalu dan sehingga kini universiti tersebut sudah mempunyai tiga buah kampus manakala para pelajarnya datang dari 25 buah negara termasuk Malaysia.

Abdul Latiff yang juga Pengerusi PAPTI Cawangan Yogyakarta berkata, bagi melengkapkan kerjasama PAPTI dan FU, satu perjanjian persefahaman (MoU) akan dimeterai di samping beberapa hal berkaitan dokumentasi yang akan dilengkapkan tidak lama lagi.

"Kita harap MoU ini akan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi kedua-dua negara memandangkan kerjasama ini melibatkan dua negara berjiran," katanya.