Tangani persepsi negatif antara dua negara

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, September 26, 2017
Ahli panel forum (dari kiri) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Zulfadli, Lukman Ismail dan Aliyah Alimun.
JAKARTA - Generasi muda diingatkan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih berhubung isu-isu berkaitan dua negara Malaysia dan Indonesia bagi mengelak wujudnya persepsi yang salah.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Lukman Ismail dalam satu forum sempena program Negaraku Nusantara Kita di Kedutaan Besar Malaysia di sini pada Ahad berkata, akibat salah faham sesuatu isu maka lahirnya tindakan-tindakan yang bersifat emosi.

"Generasi hari ini berdepan dengan percambahan media sosial. Mereka lebih percayakan media sosial daripada media arus perdana. Sedangkan maklumat daripada media sosial kebanyakannya tidak tepat atau palsu.

"Akibatnya muncullah persepsi-persepsi yang salah mengenai sesuatu isu berhubung kedua-dua negara sehingga mencetuskan tindakan-tindakan yang berlandaskan emosi seperti demonstrasi dan sebagainya," katanya dalam forum tersebut.

Forum itu turut membariskan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid; Ketua Umum Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) Malaysia, Zulfadli serta Ahli Dewan Pengurus Pusat Kaukus Perempuan Politik Indonesia (KPPI), Aliyah Alimun sebagai ahli panel manakala Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria pula bertindak sebagai moderator.

Turut hadir, Wakil Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan dan Atase Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Forum bertajuk Malindo Paksi Nusantara: Cabaran dan Masa Depan itu anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat dengan kerjasama Education Malaysia Indonesia (EMI) sempena Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik Malaysia dan Indonesia.

Zamshari Shaharan (kerusi merah) bersama ahli-ahli panel forum dan para hadirin terdiri para pelajar Malaysia di Indonesia serta wakil-wakil pimpinan mahasiswa universiti di Indonesia.
Lukman berkata, jika maklumat betul yang diperoleh sudah pasti tidak timbul persepsi yang salah tentang kedua-dua negara dan sudah pasti kalangan belia tidak emosi dan lebih bersikap rasional jika wujud sesuatu isu seperti bendera terbalik dan isu batik.

Sementara itu Zulfadli yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana di Universiti Kuala Lumpur pula menegaskan, hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya berlangsung panas jika masing-masing berpegang kepada akarnya.

"Malaysia dan Indonesia itu serumpun dan datang dari akar yang sama. Jadi kita harus melihat dari mana akarnya kerana dari situ munculnya ranting-ranting. Sudah pasti ada perbezaan antara ranting ini tetapi kita tidak perlu memperbesarkan perbezaan ini sebaliknya berpeganglah kepada akarnya," katanya.

Mohd Izzat Afifi pula berkata, pihaknya sering mengadakan pertemuan dengan pertubuhan belia di rantau ini termasuk Indonesia bagi mengeratkan hubungan di samping merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua negara.

"Malah dalam Deklarasi Batam yang pernah dibuat semasa pertemuan belia Malaysia dan Indonesia tidak lama dahulu sudah memutuskan bahawa kedua-dua negara adalah serumpun dan segala budaya juga adalah datang dari sumber yang sama," katanya.

Manakala Aliyah Alimun pula turut menegaskan permasalahan-permasalahan yang wujud adalah kerana wujudnya perbezaan antara masyarakat kedua-dua negara walaupun pada dasarnya kita adalah serumpun.