Perhimpunan alumni sempena 50 tahun PKPMI

Posted by Sekretariat PAPTI on Sabtu, September 30, 2017
Sdr Lukman Ismail (lima dari kanan) dan Muhamad Noor Azlan Zakaria (tengah) bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa PKPMI Pusat semasa menghadiri program Negaraku Nusantara Kita di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, baru-baru ini.
JAKARTA - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) pada dasarnya bersetuju untuk menganjurkan satu perhimpunan alumni bersempena sambutan 50 Tahun PKPMI, tahun depan.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail dan Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria di Dewan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Noor Azlan, tahun depan genap 50 tahun penubuhan PKPMI dan beliau merancang untuk mengadakan beberapa acara sambutan dengan kemuncaknya perhimpunan yang akan melibatkan para alumni dan pelajar-pelajar Malaysia di seluruh pelosok Indonesia.

"Sempena 50 tahun PKPMI juga kita boleh menonjolkan tokoh-tokoh alumni dalam pelbagai bidang. Kita mahu buktikan bahawa lulusan Indonesia sebetulnya telah melahirkan ramai cendekiawan dan profesional yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Selain itu, PKPMI juga merancang untuk mengumpul kesemua Yang Dipertua PKPMI Pusat mulai tahun pertama ditubuhkan pada 1968 sehinggalah hari ini dan mengabadikan gambar-gambar mereka di satu sudut di Dewan Malaysia Jakarta.

Sementara itu, Lukman berkata, cadangan PKPMI itu selari dengan cadangan PAPTI yang juga merancang untuk mengadakan perhimpunan alumni Indonesia kali kedua tahun depan, selepas berjaya menghimpun kira-kira 500 alumni pada penganjuran pertama tahun 2015 lalu.

"Ada baiknya juga perhimpunan ini kita gabungkan dan kita anjurkan secara bersama. Elok juga kita adakan di Jakarta atau mana-mana kota yang sesuai di sini kerana sememangnya ada permintaan daripada ahli PAPTI agar mengadakan perhimpunan alumni di sini," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bersetuju bahawa idea perhimpunan itu memerlukan perancangan yang rapi terutama dari segi pemilihan tarikh memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 dijangka dilangsungkan tahun depan.