Perhimpunan alumni sempena 50 tahun PKPMI

Sdr Lukman Ismail (lima dari kanan) dan Muhamad Noor Azlan Zakaria (tengah) bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa PKPMI Pusat semasa menghadiri program Negaraku Nusantara Kita di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, baru-baru ini.
JAKARTA - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) pada dasarnya bersetuju untuk menganjurkan satu perhimpunan alumni bersempena sambutan 50 Tahun PKPMI, tahun depan.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail dan Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria di Dewan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Noor Azlan, tahun depan genap 50 tahun penubuhan PKPMI dan beliau merancang untuk mengadakan beberapa acara sambutan dengan kemuncaknya perhimpunan yang akan melibatkan para alumni dan pelajar-pelajar Malaysia di seluruh pelosok Indonesia.

"Sempena 50 tahun PKPMI juga kita boleh menonjolkan tokoh-tokoh alumni dalam pelbagai bidang. Kita mahu buktikan bahawa lulusan Indonesia sebetulnya telah melahirkan ramai cendekiawan dan profesional yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Selain itu, PKPMI juga merancang untuk mengumpul kesemua Yang Dipertua PKPMI Pusat mulai tahun pertama ditubuhkan pada 1968 sehinggalah hari ini dan mengabadikan gambar-gambar mereka di satu sudut di Dewan Malaysia Jakarta.

Sementara itu, Lukman berkata, cadangan PKPMI itu selari dengan cadangan PAPTI yang juga merancang untuk mengadakan perhimpunan alumni Indonesia kali kedua tahun depan, selepas berjaya menghimpun kira-kira 500 alumni pada penganjuran pertama tahun 2015 lalu.

"Ada baiknya juga perhimpunan ini kita gabungkan dan kita anjurkan secara bersama. Elok juga kita adakan di Jakarta atau mana-mana kota yang sesuai di sini kerana sememangnya ada permintaan daripada ahli PAPTI agar mengadakan perhimpunan alumni di sini," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bersetuju bahawa idea perhimpunan itu memerlukan perancangan yang rapi terutama dari segi pemilihan tarikh memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 dijangka dilangsungkan tahun depan.


Share:

Tangani persepsi negatif antara dua negara

Ahli panel forum (dari kiri) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Zulfadli, Lukman Ismail dan Aliyah Alimun.
JAKARTA - Generasi muda diingatkan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih berhubung isu-isu berkaitan dua negara Malaysia dan Indonesia bagi mengelak wujudnya persepsi yang salah.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Lukman Ismail dalam satu forum sempena program Negaraku Nusantara Kita di Kedutaan Besar Malaysia di sini pada Ahad berkata, akibat salah faham sesuatu isu maka lahirnya tindakan-tindakan yang bersifat emosi.

"Generasi hari ini berdepan dengan percambahan media sosial. Mereka lebih percayakan media sosial daripada media arus perdana. Sedangkan maklumat daripada media sosial kebanyakannya tidak tepat atau palsu.

"Akibatnya muncullah persepsi-persepsi yang salah mengenai sesuatu isu berhubung kedua-dua negara sehingga mencetuskan tindakan-tindakan yang berlandaskan emosi seperti demonstrasi dan sebagainya," katanya dalam forum tersebut.

Forum itu turut membariskan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid; Ketua Umum Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) Malaysia, Zulfadli serta Ahli Dewan Pengurus Pusat Kaukus Perempuan Politik Indonesia (KPPI), Aliyah Alimun sebagai ahli panel manakala Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria pula bertindak sebagai moderator.

Turut hadir, Wakil Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan dan Atase Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Forum bertajuk Malindo Paksi Nusantara: Cabaran dan Masa Depan itu anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat dengan kerjasama Education Malaysia Indonesia (EMI) sempena Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik Malaysia dan Indonesia.

Zamshari Shaharan (kerusi merah) bersama ahli-ahli panel forum dan para hadirin terdiri para pelajar Malaysia di Indonesia serta wakil-wakil pimpinan mahasiswa universiti di Indonesia.
Lukman berkata, jika maklumat betul yang diperoleh sudah pasti tidak timbul persepsi yang salah tentang kedua-dua negara dan sudah pasti kalangan belia tidak emosi dan lebih bersikap rasional jika wujud sesuatu isu seperti bendera terbalik dan isu batik.

Sementara itu Zulfadli yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana di Universiti Kuala Lumpur pula menegaskan, hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya berlangsung panas jika masing-masing berpegang kepada akarnya.

"Malaysia dan Indonesia itu serumpun dan datang dari akar yang sama. Jadi kita harus melihat dari mana akarnya kerana dari situ munculnya ranting-ranting. Sudah pasti ada perbezaan antara ranting ini tetapi kita tidak perlu memperbesarkan perbezaan ini sebaliknya berpeganglah kepada akarnya," katanya.

Mohd Izzat Afifi pula berkata, pihaknya sering mengadakan pertemuan dengan pertubuhan belia di rantau ini termasuk Indonesia bagi mengeratkan hubungan di samping merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua negara.

"Malah dalam Deklarasi Batam yang pernah dibuat semasa pertemuan belia Malaysia dan Indonesia tidak lama dahulu sudah memutuskan bahawa kedua-dua negara adalah serumpun dan segala budaya juga adalah datang dari sumber yang sama," katanya.

Manakala Aliyah Alimun pula turut menegaskan permasalahan-permasalahan yang wujud adalah kerana wujudnya perbezaan antara masyarakat kedua-dua negara walaupun pada dasarnya kita adalah serumpun.
Share:

Presiden umum barisan biro-biro PAPTI

Sdr Lukman Ismail mempengerusikan mesyuarat pertama Ahl Majlis PAPTI sesi 2017/2019 di Serdang, Ahad lepas.
SERDANG: Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Sdr Lukman Ismail baru-baru ini telah mengumumkan barisan biro-biro persatuan itu bagi sesi 2017-2019.

Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat pertama Majlis PAPTI bagi sesi 2017-2019 yang diadakan di sini pada 10 September lalu.

Pada mesyuarat tersebut, Prof Madya Dr Ismail Abdullah telah dinamakan sebagai Pengerusi Biro Latihan & Akademik PAPTI manakala Ir Onn Mohd Yusof yang sebelum ini lama menerajui Biro Sukan & Rekreasi dilantik mempengerusikan Biro Tugas-tugas Khas.

"Sebagai Ahli Majlis yang senior dan cukup lama berada dalam kepimpinan PAPTI, saya yakin mereka mampu menggalas tugas-tugas yang diberikan, terutama dalam usaha PAPTI untuk kembali menjadi pengendali kursus persediaan pelajar ke Indonesia di samping penganjuran seminar dan persidangan," kata Presiden PAPTI.

Sementara itu, bagi mendekatkan PAPTI dengan masyarakat, Presiden turut mengumumkan penubuhan Biro Kesukarelawan dan Kemasyarakatan yang diketuai oleh Sdr Mohd Safian Abdul Rahman.

Katanya, jika tahun lalu PAPTI telah menghantar pasukan sukarelawan membantu mangsa gempa di Aceh, beliau berharap selepas ini lebih banyak program-program masyarakat dapat dilaksanakan.

"Kali ini kita buat perubahan pada biro-biro yang pemilihan berdasarkan kepakaran dan kebolehan setiap Ahli Majlis dalam hal-hal berkaitan," katanya.

Senarai penuh biro-biro adalah seperti berikut:

  • Sdr Lukman Ismail - Presiden
  • Dato Abdul Latiff Awang - Timbalan Presiden
  • Dr Junaini Kasdan - Setiausaha Agung
  • Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat - Penolong Setiausaha Agung & Editor Media Sosial
  • Dr Dasrilsyah Shahrial - Bendahari Agung
  • Prof Madya Dr Ismail Abdullah - Biro Latihan & Akademik
  • Ir Onn Mohd Yusof - Biro Tugas-tugas Khas
  • Sdr Muhammad Nasaruddin Ab Rais - Biro Hubungan Antarabangsa
  • Dr Mohd Sadad Mahmud - Biro Sukan & Rekreasi
  • Drs Md Afandi Awang - Biro Keahlian & Kebajikan
  • Tuan Ismail Tuan Abdullah - Biro Dakwah & Agama
  • Sdr Mohd Safian Abdul Rahman - Biro Kesukarelawan & Kemasyarakatan
  • Pn Salmah Ismail - Biro Hal Ehwal Wanita
  • Dr Mohd Zailani Abd Shariff - Biro Hal Ehwal Belia & Mahasiswa
  • Dato Irwan Japar - Biro Ekonomi


Share:

Catatan Popular

Arkib Blog