KENYATAAN BERHUBUNG ISU BENDERA INDONESIA TERBALIK DALAM BUKU ATURCARA PEMBUKAAN SUKAN SEA KE-29 BARU-BARU INI

Posted by Sekretariat PAPTI on Rabu, Ogos 23, 2017
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat kesal dengan isu kesilapan pada bendera Indonesia dalam buku aturcara pembukaan Sukan SEA Ke-29 baru-baru ini yang telah mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan rakan-rakan kita dari negara jiran ini.

Bagaimanapun PAPTI percaya perkara itu bukanlah disengajakan tetapi atas sedikit kesilapan manusia yang terlepas pandang dengan perkara ini ketika proses pencetakan buku aturcara tersebut.

Kami di PAPTI cukup memahami sensitiviti rakyat Indonesia berkaitan hal-hal kenegaraan mereka.  Justeru kami bagi pihak kepimpinan PAPTI dan seluruh ahlinya memohon kemaafan kepada rakan-rakan kita di Indonesia atas kekhilafan tersebut.

Malahan kerajaan Malaysia menerusi Menteri Luar serta Kementerian Belia dan Sukan sendiri sudah menyampaikan kemaafan kepada pemerintah Indonesia berhubung perkara tersebut dan Presiden Indonesia sendiri sudah menerima maaf daripada Malaysia.

Justeru PAPTI berharap semua pihak baik di Malaysia dan terutama rakan-rakan di Indonesia tidak memperbesarkan isu tersebut sehingga menjejaskan hubungan akrab antara kedua-dua negara yang sedia terjalin sekian lama, serta menjejaskan semangat kesukanan temasya Sukan SEA Ke-29 yang sedang berlangsung.

Jangan biarkan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Marilah kita mengambil semangat Bangkit Bersama iaitu moto temasya Sukan SEA kali ini untuk kita sama-sama maju ke hadapan demi agama, bangsa dan tanah air kita.

Terima kasih


LUKMAN ISMAIL
Presiden PAPTI