KENYATAAN BERHUBUNG ISU BENDERA INDONESIA TERBALIK

Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat kesal dengan isu kesilapan pada bendera Indonesia dalam buku aturcara pembukaan Sukan SEA Ke-29 baru-baru ini yang telah mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan rakan-rakan kita dari negara jiran ini.

Bagaimanapun PAPTI percaya perkara itu bukanlah disengajakan tetapi atas sedikit kesilapan manusia yang terlepas pandang dengan perkara ini ketika proses pencetakan buku aturcara tersebut.

Kami di PAPTI cukup memahami sensitiviti rakyat Indonesia berkaitan hal-hal kenegaraan mereka.  Justeru kami bagi pihak kepimpinan PAPTI dan seluruh ahlinya memohon kemaafan kepada rakan-rakan kita di Indonesia atas kekhilafan tersebut.

Malahan kerajaan Malaysia menerusi Menteri Luar serta Kementerian Belia dan Sukan sendiri sudah menyampaikan kemaafan kepada pemerintah Indonesia berhubung perkara tersebut dan Presiden Indonesia sendiri sudah menerima maaf daripada Malaysia.

Justeru PAPTI berharap semua pihak baik di Malaysia dan terutama rakan-rakan di Indonesia tidak memperbesarkan isu tersebut sehingga menjejaskan hubungan akrab antara kedua-dua negara yang sedia terjalin sekian lama, serta menjejaskan semangat kesukanan temasya Sukan SEA Ke-29 yang sedang berlangsung.

Jangan biarkan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Marilah kita mengambil semangat Bangkit Bersama iaitu moto temasya Sukan SEA kali ini untuk kita sama-sama maju ke hadapan demi agama, bangsa dan tanah air kita.

Terima kasih


LUKMAN ISMAIL
Presiden PAPTI

Share:

Kepimpinan PAPTI 2017/2019 gabungan generasi lama dan baharu

Barisan Ahli Majlis PAPTI bagi sesi 2017/2019

PUTRAJAYA: Barisan kepimpinan Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) bagi sesi 2017/2019 menyaksikan gabungan kalangan generasi lama dan baharu dalam persatuan itu.

Pada pemilihan barisan Ahli Majlis yang diadakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 PAPTI yang diadakan di Kelab Tasik Putrajaya hari ini, Sdr Lukman Ismail dan Dato Dr Abdul Latiff Awang terus kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAPTI.

Turut dipilih semula ialah Ir Onn Mohd Yusof, Prof Madya Dr Ismail Abdullah, Sdr Muhammad Nasaruddin Md Rais serta Dr Ahmad Nabieh Rahmat.

Manakala muka baharu ialah Drs Md Afendi Awang, Pegawai Perubatan di Hospital Ipoh, Dr Mohd Zailani Abd Shariff; Pensyarah Institut Aminudin Baki, Pn Salmah Ismail dan bekas Atase Agama di Jakarta, Tuan Ismail Tuan Abdullah.

Selain itu, Presiden PAPTI mengumumkan mengekalkan jawatan Dr. Junaini Kasdan dan Dr. Dasrilsyah Shahrial masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PAPTI.

Manakala tiga lagi yang dilantik oleh Presiden ialah Dr Mohd Sadad Mahmud, Sdr Mohd Safian Abdul Rahman dan Dato Irwan Japar.

Share:

Tubuh PAPTI ikut sektor kota-kota di Indonesia dipersetujui

Sebahagian ahli PAPTI yang hadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 di Kelab Tasik Putrajaya pada 19 Ogos 2017.

PUTRAJAYA: Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)  bersetuju dengan cadangan penubuhan sektor mengikut kota-kota di Indonesia yang mempunyai ramai alumni.

Hal ini kerana dengan adanya PAPTI setiap sektor berdasarkan kota terbabit, diharap lebih ramai alumni menganggotai persatuan ini kerana mereka boleh menganggotainya berdasarkan kota-kota di mana mereka belajar dahulu.

"Kita akan mengguna  pakai PAPTI sektor Yogyakarta sebagai blueprint untuk kota-kota lain. Bagaimanapun penubuhan setiap sektor ini perlu berdasarkan permohonan dan kelulusan Ahli Majlis," kata Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul yang dibawa dalam mesyuarat agung tersebut di Kelab Tasik Putrajaya hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latiff Awang.

Kedua-duanya sekali lagi dipilih untuk menerajui PAPTI bagi sesi 2017-2019.

Sdr Lukman berkata, tata cara dan syarat penubuhan sektor itu dan kemungkinan pindaan terhadap perlembagaan persatuan akan dibincang dan diputuskan di peringkat Majlis PAPTI.

Sementara itu, ahli-ahli PAPTI juga menyokong usul agar bahasa Melayu diperkasa di semua sektor bagi memastikan bahasa kebangsaan itu gagal dikuasai oleh rakyat di negara ini.

Itu itu, PAPTI mendesak agar semua menteri Kabinet mengutamakan penggunaan bahasa Melayu ketika berucapa dalam majlis-majlis rasmi di peringkat kebangsaan dan ketika menjawab soalan-soalan pemberita di media sosial.

"Para menteri perlu memberi contoh kepada seluruh rakyat agar mengutamakan bahasa Melayu. Jangan kita jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul," kata anggota Pemegang Amanah PAPTI, Prof. Dr. Saberi Othman ketika membahasa usul tersebut.

Pada masa yang sama PAPTI juga menolak Program Pembelajaran  Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih kerana ia tidak membantu murid menguasai bahasa Inggeris.

"Kelas DLP biasanya disertai oleh murid-murid bukan Melayu dan amat sedikit murid Melayu yang mahu menyertai DLP.  Sedangkan matlamatnya kita mahu murid-murid kita turut menguasai bahasa Inggeris," kata Dr. Saberi.

Selain itu, PAPTI juga bersedia memberikan latihan kepada penutur bahasa asing yang bekerja di negara ini untuk belajar tentang asas bahasa Melayu.

Setiausaha Agung PAPTI, Dr. Junaini Kasdan berkata, PAPTI mempunyai ramai pakar dalam bahasa selain bekerjasa dengan agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pihak universiti untuk mengajar mereka.

Sdr Lukman berkata, usul mengenai bahasa Melayu tersebut akan diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan untuk dipertimbangkan.

Share:

Rusdi Kirana Duta Besar Indonesia yang baharu

Yang di-Pertuan Agong menerima watikah lantikan daripada bpk Rusdi Kirana di Istana Negara hari ini.
KUALA LUMPUR: Pengasas syarikat penerbangan Lions Air Indonesia, Bpk Rusdi Kirana dilantik sebagai Duta Besar Indonesia Ke Malaysia berkuat kuasa mulai hari ini.

Rusdi, 54, menggantikan bpk Herman Prayitno yang menamatkan tugas beliau sebagai duta sejak 2012.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V perkenan menerima watikah lantikan bpk Rusdi di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Seluruh barisan Ahli Majlis PAPTI mengucapkan selamat datang ke Malaysia dan selamat menjalankan tugas kepada bpk Rusdi.

PAPTI berharap jalinan mesra antara pihak Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur terus kekal subur di bawah bpk Rusdi.
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog