KENYATAAN BERHUBUNG KEPUTUSAN KKM MELONGGARKAN SYARAT LULUS BAHASAMELAYU DI PERINGKAT SPM BAGI PELANTIKAN KONTRAK PEGAWAI PERUBATAN GRED UD41

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Julai 04, 2017
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) memandang serius keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melonggarkan syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Sebagai pertubuhan yang sebahagian besar ahlinya terdiri daripada graduan dalam bidang perubatan dari universiti-universiti di Indonesia, PAPTI melihat keputusan yang dibuat KKM dan disokong oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah terburu-buru dan tidak mengambil kira usaha pelbagai pihak untuk memartabatkan bahasa Melayu di semua peringkat, termasuk dalam perkhidmatan awam.

Walaupun KKM menganggap perkata tersebut remeh kerana ia hanya melibatkan sebahagian kecil graduan perubatan yang menggunakan kelulusan O Level dan tidak menduduki SPM, namun perlu diingatkan ia seolah-olah membuka laluan kepada pelajar lain untuk memasuki perkhidmatan awam tanpa memperoleh kelulusan Bahasa Melayu di peringkat SPM.

PAPTI mendapat tahu pada masa kini ada kalangan ejen-ejen penghantaran pelajar menggunakan lulusan A Level bagi membolehkan para pelajar mereka mengikuti pengajian perubatan, pergigian dan farmasi di sesetengah universiti di Indonesia.

PAPTI bimbang jika ada kalangan pelajar kita di Indonesia memasuki universiti negara itu tanpa lulus subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM dan bergantung kepada kelulusan O Level atau A Level, maka jumlah doktor yang tidak lulusan Bahasa Melayu yang dilahirkan semakin bertambah.

Malahan PAPTI juga bimbang jika keputusan KKM ini akan menjadi ikutan amalan kepada kementerian dan agensi lain untuk menerima lantikan pegawai yang tidak lulus subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM dalam kementerian mereka.

Dalam hal ini PAPTI mencadangkan agar JPA dapat menyediakan satu peperiksaan khas Bahasa Melayu sepertimana MUET kepada graduan perubatan yang menggunakan kelulusan A Level atau lain-lain kelulusan selain SPM sebelum mereka diambil berkhidmat sama ada secara kontrak atau tetap.

Cara ini lebih mudah berbanding calon-calon terbabit dikehendaki mengambil subjek tersebut di peringkat SPM dan peperiksaan khas ini pula boleh juga ditawarkan kepada pegawai perubatan asing dari luar negara, jika perlu.

Justeru, PAPTI berharap KKM dan JPA dapat mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat sebelum ini dan mencari kaedah lain termasuk menyediakan peperiksaan khas Bahasa Melayu kepada mereka yang berkenaan.

Sekian, terima kasih.



LUKMAN BIN ISMAIL
Presiden PAPTI


Categories: ,