Program persahabatan alumni dua negara di Papua Barat

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Mei 05, 2017
Presiden dan ahli-ahli Majlis PAPTI yang menyertai Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia 2017 di Papua Barat bergambar bersama Prof. Dr. Syamsir Abduh (tengah) dan Dr. Hamzah (tiga kanan) di Sekolah Tinggi Agama Islam (STAIN) Sorong.
SORONG - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Perhimpunan Alumni Malaysia (PAM) berjaya menganjurkan Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia di Sorong, Papua Barat pada 30 April hingga 3 Mei lalu.

Program itu merupakan perintis bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat menerusi kedua-dua organisasi tersebut selain membuka ruang dan peluang kepada PAPTI untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan Indonesia khususnya di Raja Ampat.

Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail dalam ucapan penutup berkata, pihaknya berharap Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia ini tidak hanya terhenti di sini dan perlu dijadikan acara tahunan bagi kedua-dua organisasi.

Beliau berkata, sejak penubuhan persatuan ini PAPTI sememangnya menekankan soal hubungan Malaysia dan Indonesia dan ia tercatat di dalam tujuan penubuhannya sejak lebih 40 tahun lalu.

Para peserta Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia 2017 dari PAPTI dan PAM bergambar bersama di Raja Ampat, Papua Barat.
"Dengan gabungan kepakaran pelbagai bidang ilmu yang dimiliki oleh para anggota PAPTI dan PAM diharapkan kita dapat memberikan sumbangan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara, selain mengeratkan lagi hubungan sesama kita," katanya.

Hadir sama Ketua Umum PAM, Dr. Sabela Gayo, Ahli Dewan Energi Nasional Indonesia merangkap alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Syamsir Abduh dan Ketua Rektorat Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN) Sorong, Dr. Hamzah.

Sepanjang program berlangsung para peserta didedahkan tempat-tempat tumpuan pelancong di Raja Ampat di samping mengadakan kunjungan ke sekolah kelolaan Yayasan Pendidikan Islam bagi Tanah Papua (YAPIS) dan berkunjung ke pejabat Kebudayaan dan Pariwisata Kabupaten Raja Ampat.

Kemuncak program tersebut ialah satu seminar yang mengupas isu kepentingan tenaga nuklear bagi sebuah negara seperti Indonesia yang disampaikan oleh Dr. Syamsir.

Turut menyertai program itu ialah Setiausaha Agung PAPTI, Dr. Junaini Kasdan; Pengerusi Biro Hal Ehwal Belia dan Mahasiswa, Dr. Nabieh Abqory Rahmat; Pengerusi Biro Komunikasi dan Media Sosial, Dr. Norlee Hazaniza Ahmad dan ahli PAPTI, Dr. Mohd. Zailani Mohd. Shariff.