PAPTI dialu-alukan bantu kembang pelancongan Raja Ampat

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Mei 05, 2017
Sdr Lukman Ismail menyerahkan cenderamata kepada Bpk Yusdi N. Lamatenggo (tiga kiri) di Raja Ampat, Sorong, Papua Barat.
 SORONG, Papua Barat - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dialu-alukan untuk membantu pemerintah Kabupaten Raja Ampat di sini untuk memajukan lagi industri pelancongan mereka pada masa depan.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kabupaten Raja Ampat, Yusdi N. Lamatenggo dalam pertemuan antara PAPTI dan Persatuan Alumni Malaysia (PAM) dengan beliau di pejabatnya, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut dalam rangka Program Persahabatan Indonesia-Malaysia 2017 anjuran PAPTI dan PAM di sini pada 30 April hingga 3 Mei lalu.

Beliau berkata, usaha sudah dilakukan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan di kepulauan yang terkenal dengan aktiviti menyelam seperti meningkatkan dan memperbaiki jaringan jalan raya, menaik taraf lapangan terbang dan pelabuhan serta lain-lain.

"Bagaimanapun Raja Ampat ini baharu saja dinaik taraf menjadi sebuah kabupaten. Jadi masih banyak kekurangan di sana-sini. Alhamdulillah, kehadiran PAM dan PAPTI ke sini sekurang-kurang dapat memberi input yang baik kepada kami untuk memajukan lagi Raja Ampat khususnya kepada pelancong," katanya.

Yusdi berkata, pihaknya banyak menerima khidmat nasihat daripada kalangan akademi Malaysia untuk meningkatkan lagi pembangunan di Raja Ampat.
Para peserta Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia 2017 di pejabat Bahagian Kebudayaan dan Pariwisata Kabupaten Raja Ampat.
Malah katanya, Raja Ampat juga banyak belajar dari Malaysia termasuk cadangan mewujudkan kawasan ekopark sepertimana di Langkawi, Kedah.

Sementara itu Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail berkata, walaupun nama Raja Ampat tidak begitu dikenali tetapi keindahan kepulauannya begitu menakjubkan dan tidak mustahil lebih banyak pelancong dari Malaysia akan datang ke sini.

"Nyata benarlah kalau ada yang menyebut Raja Ampat ini 'syurga bagi penyelam' kerana keindahan pulau-pulaunya memang menakjubkan walaupun beberapa kemudahan asas masih boleh dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan turut mempromosikan Raja Ampat di kalangan ahli-ahli PAPTI serta rakan-rakan yang lain agar melancong ke sini.