Mesyuarat agung dan pemilihan PAPTI Ogos ini

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Mei 22, 2017
Mesyuarat Majlis PAPTI ketiga bagi penggal kedua di UPM Serdang, Sabtu lalu.

SERDANG - Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-24 akan diadakan pada 19 Ogos ini di Kelab Tasik Putrajaya bermula 10 pagi.

Keputusan itu diputuskan oleh ahli-ahli Majlis PAPTI yang mengadakan mesyuaratnya di sini, Sabtu lalu.

Presidennya, Sdr Lukman Ismail berkata, mesyuarat agung kali ini penting kerana turut mengadakan pemilihan barisan kepimpinan persatuan bagi tahun 2017-2019.

"Pada mesyuarat agung kali ini kita akan mengadakan acara-acara sampingan bagi menarik lebih ramai ahli PAPTI untuk hadir antaranya majlis penyampaian anugerah kecemerlangan anak-anak dan cucu-cucu PAPTI serta cabutan nombor bertuah," katanya di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden, Dato' Dr. Abdul Latiff Awang.

Sdr Lukman berkata, kedua-dua acara sampingan itu merupakan pendekatan baharu bagi PAPTI menarik lebih ramai ahli menghadiri mesyuarat agung, terutama dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Ahli Majlis juga telah bersetuju untuk mengadakan Perhimpunan Alumni Indonesia Kali Kedua yang dirancang diadakan pada tahun hadapan.

"Jika perhimpunan kali pertama yang kita adakan pada 2015 lalu di PWTC berjaya menarik 500 alumni seluruh Indonesia, kali ini kita sasarkan jumlah lebih besar iaitu 1,000 orang," katanya.

Mengenai majlis sambutan Hari Raya yang bakal tiba, Sdr Lukman berkata, tahun ini tidak diadakan memandangkan sambutan yang diterima setiap kali diadakan adalah kurang memberangsangkan.