Himpunan Alumni Indonesia kedua dirancang tahun depan

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Februari 05, 2017
Himpunan Alumni Indonesia pada Disember 2015,
KUALA LUMPUR - Selepas berjaya melaksanakan Himpunan Alumni Indonesia dengan mengumpul lebih 500 bekas pelajar pada 2015, Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merancang untuk menganjurkan himpunan serupa pada tahun depan.

Dengan sasaran lebih 1,000 peserta, himpunan kali kedua yang dijangka dapat diadakan pada pertengahan tahun 2018 akan mengumpul semula lulusan dari seluruh kota di Indonesia, mulai dari Aceh sehingga ke Menado.

Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan sambutan yang diterima pada perhimpunan pertama yang dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Disember 2015 lalu.

"Pada perhimpunan 2015, kita mendapat sambutan yang hangat dan jika disebabkan ruang yang terhad, mungkin kita dapat kumpul lebih ramai lagi alumni. Oleh sebab itu, kali ini kita sasar dua kali ganda jumlah sebelum ini dan kita akan adakan di dewan yang lebih besar," katanya.

Himpunan Alumni Indonesia pertama pada 2015 lalu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato Seri Idris bin Jusoh dihadiri oleh lebih 500 alumni dari angkatan 1960-an sehingga ke angkatan terbaharu.

Sdr Lukman berkata, walaupun penganjuran himpunan kedua masih lama tetapi memandangkan sasaran yang cukup tinggi, maka persiapan awal perlu dilakukan terutama dalam mendapatkan penajaan, sumbangan selain penjualan meja pada malam tersebut.

Katanya, selain majlis makan malam beberapa pengisian lain sempena perhimpunan itu akan turut diadakan.

"Bagaimanapun, semuanya masih di peringkat awal perancangan dan kita berharap perhimpunan kali ini akan memberi kesan yang lebih besar dan bermakna bukan sahaja kepada PAPTI tetapi juga kepada seluruh alumni Indonesia dari semua generasi," katanya.