PAPTI, PAM rintis kerjasama, anjur program bersama

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, Januari 26, 2017
Sdr Lukman Ismail dan Dr Sabela Gayo ketika bertemu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Perhimpunan Alumni Malaysia (PAM) akan menganjurkan satu program bersama dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kebersamaan dua negara serumpun dalam kalangan masyarakat.

Program Persaudaraan Untuk Keamanan dan Pembangunan Alumni Malaysia dan Indonesia (IMAFPPD) yang akan diadakan di Sorong, Papua Barat pada 30 April hingga 3 Mei ini bagi meningkatkan hubungan baik masyarakat dua negara.

Ketua Umum PAM, Dr. Sabela Gayo berkata, IMAFPPD yang bertemakan 'Memperkasa Alumni Indonesia-Malaysia untuk Mencipta Perdamaian di Rantau ASEAN' ini bertujuan mengenal pasti elemen penghalang wujudnya keamanan di rantau ini dan pembangunan semasa.

Menurut beliau, melalui program yang melibatkan tiga pihak iaitu ahli-ahli PAM yang terdiri daripada kalangan profesional Indonesia lulusan Malaysia dan ahli-ahli PAPTI (profesional Malaysia lulusan Indonesia) dan masyarakat setempat.

"Adalah diharapkan program ini dapat memperkukuh persaudaraan yang lebih menyeluruh dalam usaha menggalakkan keamanan dan pembangunan serantau," katanya.

Antara acara yang akan dilaksanakan sepanjang program itu berlangsung ialah pembentangan kertas kerja dalam seminar yang diadakan di Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN) Sorong dengan menampilkan pengucap tamanya Prof. Datuk Dr. Yahya Ibrahim dari Majlis Profesor Negara.

Sementara itu Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail berkata, program ini merupakan perintis kerjasama antara dua pertubuhan ini dan diharapkan ia akan menjadi program tahunan bagi PAPTI dan PAM.

"Tahun ini IMAFPPD akan dilaksanakan di Papua dengan PAM bertindak sebagai tuan rumah. Tahun depan kita harap program sama diadakan pula di Malaysia dengan PAPTI pula akan menjadi tuan rumah," katanya.

Beliau berkata, seramai 15 orang wakil PAPTI akan mengikuti program tersebut.