Ucapan Aluan Presiden PAPTI Sempena IMSSEAS 2017


UCAPAN ALUAN
LUKMAN BIN ISMAIL
B.A (HONS) UNAIR, M.I.T UKM
PRESIDEN PERSATUAN ALUMNI PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA
SEMPENA
INDONESIA-MALAYSIA SYMPOSIUM ON SOUTHEAST ASIA STUDIES  (IMSSEAS) 2017
PADA 8 DISEMBER 2017 BERSAMAAN 19 RABI’UL AWAL 1439H
DI PURI PUJANGGA HOTEL, UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
BANGI, SELANGOR



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Yang Dihormati, Prof Dr Ari Purbayanto
Atase Pendidikan dan Kebudayaan
Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur

Yang Dihormati, Prof. Dr. Asep Saefuddin,
Rektor Universitas Al Azhar Indonesia

Yang Dimulaikan, sahabat saya Bpk Dr. Sabela Gayo,
Ketua Umum Perhimpunan Alumni Malaysia

Barisan pengurus PAM, para sahabat dari PAPTI, para pembentang kertas kerja serta tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Assalamualaikum w.w.t & salam serumpun, salam satu nusantara.

Terlebih dahulu saya bagi pihak Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia atau PAPTI merakamkan ucapan terima kasih kepada penganjur Indonesia-Malaysia Symposium on Southeast Asia Studies 2017 khususnya Perhimpunan Alumni Malaysia atau PAM kerana memberi kesempatan kepada PAPTI untuk sama-sama menjayakan simposium ini. Sesungguhnya penganjuran simposium ini amat besar maknanya bukan sahaja bagi mencari satu solusi dalam menyelesaikan permasalahan yang bersalut membabitkan kedua-dua negara tetapi juga sebagai satu lagi pemeteraian hubungan akrab antara PAPTI dan PAM.

Saudara/saudari sekalian.

Jika PAM sebagai organisasi yang mewakili anak-anak Indonesia yang berkuliah di Malaysia maka PAPTI pula adalah organisasi masyarakat yang anggotanya terdiri daripada kalangan anak-anak Malaysia yang berkuliah di Indonesia. Persatuan ini sudah terbentuk sejak tahun 1975 dan memayungi ribuan alumni yang berkuliah di seluruh pelosok Indonesia – dari Aceh hingga ke Lampung, dari Jakarta hingga ke Bali dan dari Makassar hingga ke Menado – sejak tahun 1950-an sehingga kini. Cuma bezanya jika anggota PAM terdiri anak-anak Indonesia yang berkuliah di peringkat S2 dan S3 di Malaysia, kami ahli-ahli PAPTI sebahagian besarnya adalah berkuliah di peringkat S1 di sana. 

Saudara/Saudari sekalian.

Jika sewaktu berkuliah dahulu, kita semua baik anggota PAPTI mahupun PAM sering dianggap sebagai ‘duta kecil’ kepada negara kita masing-masing. Saya percaya sehingga kini pun kita tetap dan harus mengekalkan diri kita sebagai ‘duta kecil’ untuk negara kita, khususnya dalam menangani isu-isu yang timbul membabitkan hubungan kedua-dua negara. Hubungan antara Malaysia dan Indonesia begitu istimewa umpama ‘abang dan adik’. Malah kedua-dua negara ini juga umpama nadi kepada kestabilan negara di rantau Asia Tenggara. Justeru, PAPTI amat berharap agar hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia dapat dipertahankan, malah perlu diperkukuh dari masa ke semasa. Kalau bergoncangnya Malaysia dan Indonesia, maka keseluruhan rantau ini juga turut bergoncang.

Atas sebab itulah PAPTI begitu mementingkan soal hubungan Malaysia dengan Indonesia khususnya dan negara-negara di rantau ini umumnya. Ini sesuai dengan salah satu asas penubuhan PAPTI iaitu “untuk mengeratkan hubungan antara negara demi kesejahteraan dan perdamaian manusia sejagat” serta tujuan penubuhan itu “memperkukuhkan persaudaraan rumpun Melayu (Malaysia-Indonesia)”. Justeru, PAPTI amat memelihara hubungan tersebut memandangkan Malaysia adalah tanah air kami, tempat tumpah darah kami manakala Indonesia pula ada “negara kedua” bagi kami kerana di situlah kami menimba ilmu, pengalaman dan pengetahuan yang bagi saya ada di antara ilmu dan pengalaman itu tidak akan diperoleh di negara sendiri, atau di negara-negara lain.

Saudara/saudari sekalian,

Simposium ini bukanlah kerjasama pertama antara PAPTI dan PAM kerana kita pernah bergabung menjayakan Indonesia-Malaysia Alumni Friendship Program for Peace & Development 2017 yang adakan di Sorong dan Raja Ampat, Papua Barat pada Mei lalu. Dan saya percaya kerjasama antara kedua-dua pihak tidak terhenti setakat ini malah akan diperhebatkan lagi dari masa ke semasa, dalam pelbagai bidang agar kedua-dua pertubuhan ini member manfaatkan kepada agama, bangsa dan tanah air masing-masing.

Akhir kata saya merakamkan ucapan tahniah kepada PAM kerana telah berjaya menubuhkan barisan pengurusannya bagi Kuala Lumpur, yang saya kira satu langkah tepat bagi memperkukuhkan lagi PAM di negara ini, sepertimana langkah PAPTI yang kini giat menubuhkan cabang-cabang mengikut kota-kota di Indonesia, di mana tempat kami belajar dahulu. Ini termasuk penubuhan PAPTI cabang Bandung yang mesyuarat penubuhannya akan diadakan di Putrajaya, esok.

Semoga hubungan PAPTI dan PAM juga semakin erat selepas ini.


Sekian, terima kasih dan selamat bersimposium.
Share:

KBRI sedia mendukung PAPTI, PAM

BANGI: Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur sedia mendukung setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Perhimpunan Alumni Malaysia (PAM).

Atase Pendidikan dan Kebudayaan KBRI Kuala Lumpur, Prof. Dr. Ari Purbayanto berkata, malah pihaknya mengalu-alukan kerjasama dan hubungan baik antara PAPTI dan PAM, sekali gus dapat mengeratkan hubungan 'people-to-people' antara dua negara.
Ari Purbayanto (duduk empat dari kanan), Lukman Ismail (tiga dari kanan), Sabela Gayo (empat dari kiri) dan Asep Saefuddin (tengah).
Beliau berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 5,000 mahasiswa Malaysia sedang kuliah di Indonesia manakala mahasiswa Indonesia sedikit berkurangan daripada 12,000 sebelum ini menurun kepada 7,000 orang.

"Masalah mahasiswa Indonesia di sini ialah apabila pelaksanaan EMGS oleh kerajaan Malaysia manakala masalah mahasiswa Malaysia di Indonesia pula berkaitan Kitas (Kartu Izin Tinggal Sementara).

"Jadi mungkin dalam hal ini PAPTI dan PAM boleh saling berbincang dan menyelesaikan isu-isu kedua-dua pihak," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Indonesia-Malaysia Dalam Kajian Asia Tenggara di Hotel Puri Pujangga, Kampus UKM di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail; Ketua Umum PAM, Dr. Sabela Gayo; Rektor Universitas Al- Azhar Indonesia, Prof. Dr. Asep Saefuddin serta Ketua Komisi Pengawas Persaingan Usaha Indonesia, Dr. Chandra Setiawan.

Ari Purbayanto (dua dari kanan), Lukman Ismail (dua dari kiri) dan Asep Saefuddin (tengah) semasa Simposiuam Indonesia-Malaysia Kajian Asia Tenggara di UKM Bangi, baru-baru ini. 
Pada masa yang sama, Ari Purbayanto menyokong PAPTI dan PAM menganjurkan simposium seperti itu memandangkan kaedah sedemikian dapat mencari titik penyelesaian berkaitan isu-isu bilateral.

"Misalnya isu sempadan, perbincangan diadakan setiap masa tetapi tidak memperoleh titik temu. Mungkin PAPTI dan PAM boleh panggil pakar-pakar dari kalangan akademik membincangkan hal ini, mungkin lebih mudah dan berkesan," katanya.

Sementara itu, Lukman dalam ucapannya berharap simposium tersebut bukan sahaja dapat membincangkan isu-isu yang membelengu kedua-dua negara tetapi juga memperkukuh hubungan PAPTI dan PAM.

"Ini program kedua penganjuran bersama PAPTI dan PAM selepas kita adakan Program Persahabatan Alumni Malaysia-Indonesia yang diadakan di Papua Barat, Indonesia pada Mei lalu. Justeru, kita akan pergiatkan lagi program bersama selepas ini," katanya.
Share:

KENYATAAN PAPTI SUSULAN PERUNDINGAN MALAYSIA-INDONESIA KE-12


KUALA LUMPUR : Pihak Persatuan Alumni Pengajian Tinggi Indonesia (PAPTI) menyambut baik beberapa perkara yang telah disepakati oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan YTH Presiden Republik Indonesia, Bapak Joko Widodo dalam Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia kali ke-12 yang telah diadakan di Kuching, Sarawak pada 22 November 2017.

Sebagai persatuan alumni yang telah berusia lebih dari 40 tahun, ada 3 perkara penting yang menjadi perhatian pihak kami :

Pertama - Mempermudah urusan berkaitan visa pelajar dan izin tinggal bagi para pelajar dan mahasiswa

Dengan jumlah pelajar yang melebihi 10,000 orang di kedua-dua buah negara, maka sudah sewajarnya urusan visa berkaitan pendidikan ini semakin diperkemas baik dari segi prosesnya birokrasi dan kadar bayarannya.

Kedua - MoU bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pengajian tinggi Islam antara kedua-dua negara.

Sebagai negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam maka persefahaman dalam bidang berkaitan ini sangat wajar dijadikan keutamaan selaras dengan kehendak maqasid syariah. Populasi umat Islam di kedua-dua negara adalah lebih dari 250 juta orang yang majoritinya mengamalkan Islam moderat atau wasatiyyah.

Kerjasama dalam bidang pendidikan ini dapat meliputi bidang kewangan dan ekonomi syariah, undang-undang syariah, demokrasi dan ketamadunan. Pada ketika ini terdapat sejumlah 2000 mahasiwa Malaysia di Indonesia yang menuntut di universiti-universiti Islam.

Ketiga - Kerjasama pada peringkat atasan (top official)

Selaras dengan hasrat yang konsisten sejak 60 tahun lalu untuk mempererat hubungan kedua-dua negara, maka kerjasama pada peringkat pegawai atasan adalah suatu kemestian. Walaupun mempunyai akar budaya dan sejarah yang hampir sama-sama, namun perkembangan mutakhir yang terjadi dalam 20 tahun ini seringkali memerlukan suatu pendekatan yang lebih segar dan dinamik.

Indonesia telah meletakkan diri sebagai negara demokrasi ketiga terbesar di dunia dengan majoriti umat Islam paling ramai manakala Malaysia dikenali sebagai negara Islam progresif dengan kepelbagaian kaum yang mengutamakan kestabilan politik. Dalam prosesnya, kedua-dua negara dapat saling belajar untuk menguatkan identiti negara masing-masing sambil menolak anasir terorism dan ekstremisme.

Kedua-dua negara juga dapat berkongsi pengalaman masing-masing dan bekerjasama dalam industri berasaskan syariah yang secara global bernilai USD 6.3 bilion. Industri meliputi bidang pendidikan, kesihatan, kewangan, media, makanan, fesyen dan pelancongan.

Pada peringkat persatuan, pihak PAPTI seringkali mengadakan kunjungan ke universitas-universitas di Indonesia untuk bekerjasam dalam bidang akademik. Ini termasuklah bekerjasama dengan Persatuan Alumni Malaysia (PAM) ketika menyertai Indonesia-Malaysia Alumni Friendship Program di Raja Ampat, Papua pada bulan Mei yang lalu.

Maka atas semangat rumpun nusantara, pihak PAPTI sekali lagi menyambut baik kesepakatan yang dicapai oleh kedua-dua negara semalam dan kami bersedia untuk mengambil bahagian dalam merealisasikannya.

Sekian, terima kasih.



DATO’ DR ABDUL LATIFF AWANG
Timbalan Presiden
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI
Share:

Kunjungan Presiden PAPTI ke Medan

PRESIDEN PAPTI, Sdr Lukman Ismail telah mengadakan kunjungan ke Medan, Indonesia pada 29 dan 30 Oktober lalu bagi memenuhi undangan Perwakilan Mahasiswa Malaysia Unniversitas Sumatera Utara (PMUSU).

Selain merasmikan Malam Anugerah Kecemerlangan PMUSU Ke-12, Presiden PAPTI turut mengadakan pertemuan dengan barisan jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Medan serta barisan jawatankuasa PMUSU.

Pada kesempatan itu, Lukman telah memberikan taklimat ringkas mengenai PAPTI di samping peranan dan masa depan persatuan yang memayungi alumni seluruh Indonesia itu selain mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelajar kita di Sumatera Utara.

Lukman berkata, pihaknya bercadang untuk melantik seorang wakil PAPTI di Medan bagi memudahkan PAPTI menyalurkan maklumat kepada para pelajar di Sumatera Utara khususnya dan di kepulauan Sumatera amnya.

"Kita sudah ada wakil di Jakarta, jadi adalah sebaiknya jika di Medan ini kita juga ada wakil yang kita lantik daripada kalangan pelajar," katanya.

Sesi ais krim bersama barisan jawatankuasa PKPMI Cawangan Medan. Hadir sama Yang Dipertuanya, Natasha As-Sakinah Mohd. Rosli (tiga dari kiri).

Makan tengah hari bersama sebahagian jawatankuasa PMUSU diketuai oleh Muhammad Rashdi (kanan).
Malam Anugerah Kecemerlangan PMUSU. Hadir sama Atase Pertahanan mewakili Konsul Malaysia di Medan (dua dari kanan).

Kemeriahan majlis diserikan dengan anugerah sampingan
Presiden PAPTI menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.



Sebahagian pelajar Malaysia di USU yang hadir.

Presiden PAPTI bersama YDP PKPMI Cawangan Medan, Atase Pertahanan Konsulat Malaysia di Medan dan Pengerusi PMUSU. 

Presiden PAPTI menyerahkan sumbangan RM500 kepada Pengerusi PMUSU, Sdr Muhammad Rashdi.



Share:

Lulusan Indonesia perlu miliki 'x-factor'

MEDAN: Para pelajar Malaysia di Indonesia digesa menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sepanjang mengikuti kuliah di negara ini sebagai persiapan memasuki alam pekerjaan selepas lulus kelak.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Sdr Lukman Ismail berkata, para pelajar perlu bukan sahaja mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik di universiti tetapi juga perlu mencari elemen lain di luar kampus.

Lukman Ismail diiringi Muhammad Rashdi menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar Malaysia di Universitas Sumatera Utara (USU) yang cemerlang di Medan, baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara itu perlu memandangkan para pelajar terbabit, apabila lulus dan pulang ke tanah air, mereka terpaksa bersaing dengan lulusan sama dari universiti tempatan dan luar negara lain.

"Cabaran mahasiswa sekarang terutama bidang perubatan sekarang amat mencabar, tidak seperti zaman saya dahulu. Sekarang nak tunggu ditempatkan di hospital mengambil masa sehingga setahun atau lebih.

"Waktu yang terluang itu, jika tidak diisi dengan perkara yang berfaedah lain akan merugikan anda semua. Sebab itu saya galakkan anda mencari 'ilmu tambahan' sebagai bekalan dan sebagai x-factor dalam diri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Anugerah Kecemerlangan Perwakilan Mahasiswa Malaysia Universitas Sumatera Utara (PMUSU) Ke-12 di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Medan, Sdri Natasha As-Sakinah Mohd. Rosli dan Pengerusi PMUSU, Sdr Muhammad Rashdi.

Sebahagian pelajar Malaysia di USU yang hadir.
Lukman berkata, beliau mengalu-alukan graduan Indonesia yang bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  membantu masyarakat sementara menunggu penempatan ke hospital, selain 'bekerja' di klinik-klinik swasta.

Malah beliau juga mengalu-alukan  para pelajar di Medan agar menganggotai PAPTI bagi membolehkan mereka terlibat dalam aktiviti yang dijalankan oleh persatuan ini.

"PAPTI sekarang sudah lebih terbuka, dan kita membuka keahlian kepada pelajar yang belum tamat pengajian. Kita juga sudah membuka peluang alumni untuk menubuhkan cawangan PAPTI mengikut kota-kota di mana mereka belajar. Ini semua bagi menggalakkan lebih ramai alumni menganggotai PAPTI," katanya.

Share:

PAPTI tawar 'waqaf ilmu' kepada Universiti Fatoni, Thailand

Dato Dr Abdul Latiff Awang (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Prof. Dr. Ismail Lutfee Alfatoni (tiga dari kanan) di Universiti Fatoni, Pattani, Thailand.
PATTANI, Thailand - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mempunyai ahli-ahli dalam kalangan akademik yang berpengalaman dan ada diantara mereka sudah mencapai usia pencen.

Tidak kurang dalam kalangan mereka sudah mencapai taraf profesor madya, profesor penuh malah ada yang mendapat gelaran profesor emeritus.

Amatlah disayangkan jika ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya terutama dalam mendidik anak-anak bangsa dan seagama.

Justeru PAPTI mengambil langkah memperkenalkan program waqaf ilmu iaitu dengan menawarkan tenaga pengajar kepada Universiti Fatoni, Thailand secara percuma.

Timbalan Presiden PAPTI, Dato' Dr. Abdul Latiff Awang berkata, melalui program waqaf ilmu ini, ahli-ahli persatuan ini akan mengajar dalam bidang-bidang yang mereka kuasai di universiti tersebut tanpa sebarang gaji.

"Imbalannya dalam bentuk pahala di akhirat kelak. Bayangkan betapa besar ganjaran yang diperoleh jika ilmu-ilmu yang kita ajari secara waqaf ini dimanfaatkan untuk kepentingan agama dan negara mereka," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Rektor FU, Prof. Dr. Ismail Lutfee Alfatoni di kampus FU di sini.

Hadir sama Ahli Majlis PAPTI, Ustaz Afandi Awang dan beberapa ahli jawatankuasa PAPTI Cawangan Yogyakarta.

Untuk rekod, FU telah ditubuhkan melalui konsep waqaf sejak 19 tahun lalu dan sehingga kini universiti tersebut sudah mempunyai tiga buah kampus manakala para pelajarnya datang dari 25 buah negara termasuk Malaysia.

Abdul Latiff yang juga Pengerusi PAPTI Cawangan Yogyakarta berkata, bagi melengkapkan kerjasama PAPTI dan FU, satu perjanjian persefahaman (MoU) akan dimeterai di samping beberapa hal berkaitan dokumentasi yang akan dilengkapkan tidak lama lagi.

"Kita harap MoU ini akan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi kedua-dua negara memandangkan kerjasama ini melibatkan dua negara berjiran," katanya.
Share:

Dr. Suleiman Mohamed kini bergelar Tan Sri

PENGASAS dan tokoh Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Dato Seri Dr. Suleiman Mohamed dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V baru-baru ini.

Suleiman, alumni Institut Teknologi Bandung (ITB) juga tokoh politik veteran dan pernah menjadi Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Penerangan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Presiden dan seluruh Ahli Majlis merakamkan ucapan tahniah kepada beliau atas penganugerahan tersebut.

Share:

Perhimpunan alumni sempena 50 tahun PKPMI

Sdr Lukman Ismail (lima dari kanan) dan Muhamad Noor Azlan Zakaria (tengah) bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa PKPMI Pusat semasa menghadiri program Negaraku Nusantara Kita di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, baru-baru ini.
JAKARTA - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) pada dasarnya bersetuju untuk menganjurkan satu perhimpunan alumni bersempena sambutan 50 Tahun PKPMI, tahun depan.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail dan Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria di Dewan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Noor Azlan, tahun depan genap 50 tahun penubuhan PKPMI dan beliau merancang untuk mengadakan beberapa acara sambutan dengan kemuncaknya perhimpunan yang akan melibatkan para alumni dan pelajar-pelajar Malaysia di seluruh pelosok Indonesia.

"Sempena 50 tahun PKPMI juga kita boleh menonjolkan tokoh-tokoh alumni dalam pelbagai bidang. Kita mahu buktikan bahawa lulusan Indonesia sebetulnya telah melahirkan ramai cendekiawan dan profesional yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Selain itu, PKPMI juga merancang untuk mengumpul kesemua Yang Dipertua PKPMI Pusat mulai tahun pertama ditubuhkan pada 1968 sehinggalah hari ini dan mengabadikan gambar-gambar mereka di satu sudut di Dewan Malaysia Jakarta.

Sementara itu, Lukman berkata, cadangan PKPMI itu selari dengan cadangan PAPTI yang juga merancang untuk mengadakan perhimpunan alumni Indonesia kali kedua tahun depan, selepas berjaya menghimpun kira-kira 500 alumni pada penganjuran pertama tahun 2015 lalu.

"Ada baiknya juga perhimpunan ini kita gabungkan dan kita anjurkan secara bersama. Elok juga kita adakan di Jakarta atau mana-mana kota yang sesuai di sini kerana sememangnya ada permintaan daripada ahli PAPTI agar mengadakan perhimpunan alumni di sini," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bersetuju bahawa idea perhimpunan itu memerlukan perancangan yang rapi terutama dari segi pemilihan tarikh memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 dijangka dilangsungkan tahun depan.


Share:

Tangani persepsi negatif antara dua negara

Ahli panel forum (dari kiri) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Zulfadli, Lukman Ismail dan Aliyah Alimun.
JAKARTA - Generasi muda diingatkan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih berhubung isu-isu berkaitan dua negara Malaysia dan Indonesia bagi mengelak wujudnya persepsi yang salah.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Lukman Ismail dalam satu forum sempena program Negaraku Nusantara Kita di Kedutaan Besar Malaysia di sini pada Ahad berkata, akibat salah faham sesuatu isu maka lahirnya tindakan-tindakan yang bersifat emosi.

"Generasi hari ini berdepan dengan percambahan media sosial. Mereka lebih percayakan media sosial daripada media arus perdana. Sedangkan maklumat daripada media sosial kebanyakannya tidak tepat atau palsu.

"Akibatnya muncullah persepsi-persepsi yang salah mengenai sesuatu isu berhubung kedua-dua negara sehingga mencetuskan tindakan-tindakan yang berlandaskan emosi seperti demonstrasi dan sebagainya," katanya dalam forum tersebut.

Forum itu turut membariskan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid; Ketua Umum Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) Malaysia, Zulfadli serta Ahli Dewan Pengurus Pusat Kaukus Perempuan Politik Indonesia (KPPI), Aliyah Alimun sebagai ahli panel manakala Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria pula bertindak sebagai moderator.

Turut hadir, Wakil Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan dan Atase Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Forum bertajuk Malindo Paksi Nusantara: Cabaran dan Masa Depan itu anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat dengan kerjasama Education Malaysia Indonesia (EMI) sempena Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik Malaysia dan Indonesia.

Zamshari Shaharan (kerusi merah) bersama ahli-ahli panel forum dan para hadirin terdiri para pelajar Malaysia di Indonesia serta wakil-wakil pimpinan mahasiswa universiti di Indonesia.
Lukman berkata, jika maklumat betul yang diperoleh sudah pasti tidak timbul persepsi yang salah tentang kedua-dua negara dan sudah pasti kalangan belia tidak emosi dan lebih bersikap rasional jika wujud sesuatu isu seperti bendera terbalik dan isu batik.

Sementara itu Zulfadli yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana di Universiti Kuala Lumpur pula menegaskan, hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya berlangsung panas jika masing-masing berpegang kepada akarnya.

"Malaysia dan Indonesia itu serumpun dan datang dari akar yang sama. Jadi kita harus melihat dari mana akarnya kerana dari situ munculnya ranting-ranting. Sudah pasti ada perbezaan antara ranting ini tetapi kita tidak perlu memperbesarkan perbezaan ini sebaliknya berpeganglah kepada akarnya," katanya.

Mohd Izzat Afifi pula berkata, pihaknya sering mengadakan pertemuan dengan pertubuhan belia di rantau ini termasuk Indonesia bagi mengeratkan hubungan di samping merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua negara.

"Malah dalam Deklarasi Batam yang pernah dibuat semasa pertemuan belia Malaysia dan Indonesia tidak lama dahulu sudah memutuskan bahawa kedua-dua negara adalah serumpun dan segala budaya juga adalah datang dari sumber yang sama," katanya.

Manakala Aliyah Alimun pula turut menegaskan permasalahan-permasalahan yang wujud adalah kerana wujudnya perbezaan antara masyarakat kedua-dua negara walaupun pada dasarnya kita adalah serumpun.
Share:

Presiden umum barisan biro-biro PAPTI

Sdr Lukman Ismail mempengerusikan mesyuarat pertama Ahl Majlis PAPTI sesi 2017/2019 di Serdang, Ahad lepas.
SERDANG: Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Sdr Lukman Ismail baru-baru ini telah mengumumkan barisan biro-biro persatuan itu bagi sesi 2017-2019.

Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat pertama Majlis PAPTI bagi sesi 2017-2019 yang diadakan di sini pada 10 September lalu.

Pada mesyuarat tersebut, Prof Madya Dr Ismail Abdullah telah dinamakan sebagai Pengerusi Biro Latihan & Akademik PAPTI manakala Ir Onn Mohd Yusof yang sebelum ini lama menerajui Biro Sukan & Rekreasi dilantik mempengerusikan Biro Tugas-tugas Khas.

"Sebagai Ahli Majlis yang senior dan cukup lama berada dalam kepimpinan PAPTI, saya yakin mereka mampu menggalas tugas-tugas yang diberikan, terutama dalam usaha PAPTI untuk kembali menjadi pengendali kursus persediaan pelajar ke Indonesia di samping penganjuran seminar dan persidangan," kata Presiden PAPTI.

Sementara itu, bagi mendekatkan PAPTI dengan masyarakat, Presiden turut mengumumkan penubuhan Biro Kesukarelawan dan Kemasyarakatan yang diketuai oleh Sdr Mohd Safian Abdul Rahman.

Katanya, jika tahun lalu PAPTI telah menghantar pasukan sukarelawan membantu mangsa gempa di Aceh, beliau berharap selepas ini lebih banyak program-program masyarakat dapat dilaksanakan.

"Kali ini kita buat perubahan pada biro-biro yang pemilihan berdasarkan kepakaran dan kebolehan setiap Ahli Majlis dalam hal-hal berkaitan," katanya.

Senarai penuh biro-biro adalah seperti berikut:

  • Sdr Lukman Ismail - Presiden
  • Dato Abdul Latiff Awang - Timbalan Presiden
  • Dr Junaini Kasdan - Setiausaha Agung
  • Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat - Penolong Setiausaha Agung & Editor Media Sosial
  • Dr Dasrilsyah Shahrial - Bendahari Agung
  • Prof Madya Dr Ismail Abdullah - Biro Latihan & Akademik
  • Ir Onn Mohd Yusof - Biro Tugas-tugas Khas
  • Sdr Muhammad Nasaruddin Ab Rais - Biro Hubungan Antarabangsa
  • Dr Mohd Sadad Mahmud - Biro Sukan & Rekreasi
  • Drs Md Afandi Awang - Biro Keahlian & Kebajikan
  • Tuan Ismail Tuan Abdullah - Biro Dakwah & Agama
  • Sdr Mohd Safian Abdul Rahman - Biro Kesukarelawan & Kemasyarakatan
  • Pn Salmah Ismail - Biro Hal Ehwal Wanita
  • Dr Mohd Zailani Abd Shariff - Biro Hal Ehwal Belia & Mahasiswa
  • Dato Irwan Japar - Biro Ekonomi


Share:

KENYATAAN BERHUBUNG ISU BENDERA INDONESIA TERBALIK

Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat kesal dengan isu kesilapan pada bendera Indonesia dalam buku aturcara pembukaan Sukan SEA Ke-29 baru-baru ini yang telah mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan rakan-rakan kita dari negara jiran ini.

Bagaimanapun PAPTI percaya perkara itu bukanlah disengajakan tetapi atas sedikit kesilapan manusia yang terlepas pandang dengan perkara ini ketika proses pencetakan buku aturcara tersebut.

Kami di PAPTI cukup memahami sensitiviti rakyat Indonesia berkaitan hal-hal kenegaraan mereka.  Justeru kami bagi pihak kepimpinan PAPTI dan seluruh ahlinya memohon kemaafan kepada rakan-rakan kita di Indonesia atas kekhilafan tersebut.

Malahan kerajaan Malaysia menerusi Menteri Luar serta Kementerian Belia dan Sukan sendiri sudah menyampaikan kemaafan kepada pemerintah Indonesia berhubung perkara tersebut dan Presiden Indonesia sendiri sudah menerima maaf daripada Malaysia.

Justeru PAPTI berharap semua pihak baik di Malaysia dan terutama rakan-rakan di Indonesia tidak memperbesarkan isu tersebut sehingga menjejaskan hubungan akrab antara kedua-dua negara yang sedia terjalin sekian lama, serta menjejaskan semangat kesukanan temasya Sukan SEA Ke-29 yang sedang berlangsung.

Jangan biarkan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Marilah kita mengambil semangat Bangkit Bersama iaitu moto temasya Sukan SEA kali ini untuk kita sama-sama maju ke hadapan demi agama, bangsa dan tanah air kita.

Terima kasih


LUKMAN ISMAIL
Presiden PAPTI

Share:

Kepimpinan PAPTI 2017/2019 gabungan generasi lama dan baharu

Barisan Ahli Majlis PAPTI bagi sesi 2017/2019

PUTRAJAYA: Barisan kepimpinan Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) bagi sesi 2017/2019 menyaksikan gabungan kalangan generasi lama dan baharu dalam persatuan itu.

Pada pemilihan barisan Ahli Majlis yang diadakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 PAPTI yang diadakan di Kelab Tasik Putrajaya hari ini, Sdr Lukman Ismail dan Dato Dr Abdul Latiff Awang terus kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAPTI.

Turut dipilih semula ialah Ir Onn Mohd Yusof, Prof Madya Dr Ismail Abdullah, Sdr Muhammad Nasaruddin Md Rais serta Dr Ahmad Nabieh Rahmat.

Manakala muka baharu ialah Drs Md Afendi Awang, Pegawai Perubatan di Hospital Ipoh, Dr Mohd Zailani Abd Shariff; Pensyarah Institut Aminudin Baki, Pn Salmah Ismail dan bekas Atase Agama di Jakarta, Tuan Ismail Tuan Abdullah.

Selain itu, Presiden PAPTI mengumumkan mengekalkan jawatan Dr. Junaini Kasdan dan Dr. Dasrilsyah Shahrial masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PAPTI.

Manakala tiga lagi yang dilantik oleh Presiden ialah Dr Mohd Sadad Mahmud, Sdr Mohd Safian Abdul Rahman dan Dato Irwan Japar.

Share:

Tubuh PAPTI ikut sektor kota-kota di Indonesia dipersetujui

Sebahagian ahli PAPTI yang hadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 di Kelab Tasik Putrajaya pada 19 Ogos 2017.

PUTRAJAYA: Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)  bersetuju dengan cadangan penubuhan sektor mengikut kota-kota di Indonesia yang mempunyai ramai alumni.

Hal ini kerana dengan adanya PAPTI setiap sektor berdasarkan kota terbabit, diharap lebih ramai alumni menganggotai persatuan ini kerana mereka boleh menganggotainya berdasarkan kota-kota di mana mereka belajar dahulu.

"Kita akan mengguna  pakai PAPTI sektor Yogyakarta sebagai blueprint untuk kota-kota lain. Bagaimanapun penubuhan setiap sektor ini perlu berdasarkan permohonan dan kelulusan Ahli Majlis," kata Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul yang dibawa dalam mesyuarat agung tersebut di Kelab Tasik Putrajaya hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latiff Awang.

Kedua-duanya sekali lagi dipilih untuk menerajui PAPTI bagi sesi 2017-2019.

Sdr Lukman berkata, tata cara dan syarat penubuhan sektor itu dan kemungkinan pindaan terhadap perlembagaan persatuan akan dibincang dan diputuskan di peringkat Majlis PAPTI.

Sementara itu, ahli-ahli PAPTI juga menyokong usul agar bahasa Melayu diperkasa di semua sektor bagi memastikan bahasa kebangsaan itu gagal dikuasai oleh rakyat di negara ini.

Itu itu, PAPTI mendesak agar semua menteri Kabinet mengutamakan penggunaan bahasa Melayu ketika berucapa dalam majlis-majlis rasmi di peringkat kebangsaan dan ketika menjawab soalan-soalan pemberita di media sosial.

"Para menteri perlu memberi contoh kepada seluruh rakyat agar mengutamakan bahasa Melayu. Jangan kita jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul," kata anggota Pemegang Amanah PAPTI, Prof. Dr. Saberi Othman ketika membahasa usul tersebut.

Pada masa yang sama PAPTI juga menolak Program Pembelajaran  Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih kerana ia tidak membantu murid menguasai bahasa Inggeris.

"Kelas DLP biasanya disertai oleh murid-murid bukan Melayu dan amat sedikit murid Melayu yang mahu menyertai DLP.  Sedangkan matlamatnya kita mahu murid-murid kita turut menguasai bahasa Inggeris," kata Dr. Saberi.

Selain itu, PAPTI juga bersedia memberikan latihan kepada penutur bahasa asing yang bekerja di negara ini untuk belajar tentang asas bahasa Melayu.

Setiausaha Agung PAPTI, Dr. Junaini Kasdan berkata, PAPTI mempunyai ramai pakar dalam bahasa selain bekerjasa dengan agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pihak universiti untuk mengajar mereka.

Sdr Lukman berkata, usul mengenai bahasa Melayu tersebut akan diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan untuk dipertimbangkan.

Share:

Rusdi Kirana Duta Besar Indonesia yang baharu

Yang di-Pertuan Agong menerima watikah lantikan daripada bpk Rusdi Kirana di Istana Negara hari ini.
KUALA LUMPUR: Pengasas syarikat penerbangan Lions Air Indonesia, Bpk Rusdi Kirana dilantik sebagai Duta Besar Indonesia Ke Malaysia berkuat kuasa mulai hari ini.

Rusdi, 54, menggantikan bpk Herman Prayitno yang menamatkan tugas beliau sebagai duta sejak 2012.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V perkenan menerima watikah lantikan bpk Rusdi di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Seluruh barisan Ahli Majlis PAPTI mengucapkan selamat datang ke Malaysia dan selamat menjalankan tugas kepada bpk Rusdi.

PAPTI berharap jalinan mesra antara pihak Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur terus kekal subur di bawah bpk Rusdi.
Share:

KENYATAAN BERHUBUNG KEPUTUSAN MELONGGARKAN SYARAT LULUS BAHASA MELAYU BAGI PELANTIKAN KONTRAK PEGAWAI PERUBATAN

Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) memandang serius keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melonggarkan syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Sebagai pertubuhan yang sebahagian besar ahlinya terdiri daripada graduan dalam bidang perubatan dari universiti-universiti di Indonesia, PAPTI melihat keputusan yang dibuat KKM dan disokong oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah terburu-buru dan tidak mengambil kira usaha pelbagai pihak untuk memartabatkan bahasa Melayu di semua peringkat, termasuk dalam perkhidmatan awam.

Walaupun KKM menganggap perkata tersebut remeh kerana ia hanya melibatkan sebahagian kecil graduan perubatan yang menggunakan kelulusan O Level dan tidak menduduki SPM, namun perlu diingatkan ia seolah-olah membuka laluan kepada pelajar lain untuk memasuki perkhidmatan awam tanpa memperoleh kelulusan Bahasa Melayu di peringkat SPM.

PAPTI mendapat tahu pada masa kini ada kalangan ejen-ejen penghantaran pelajar menggunakan lulusan A Level bagi membolehkan para pelajar mereka mengikuti pengajian perubatan, pergigian dan farmasi di sesetengah universiti di Indonesia.

PAPTI bimbang jika ada kalangan pelajar kita di Indonesia memasuki universiti negara itu tanpa lulus subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM dan bergantung kepada kelulusan O Level atau A Level, maka jumlah doktor yang tidak lulusan Bahasa Melayu yang dilahirkan semakin bertambah.

Malahan PAPTI juga bimbang jika keputusan KKM ini akan menjadi ikutan amalan kepada kementerian dan agensi lain untuk menerima lantikan pegawai yang tidak lulus subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM dalam kementerian mereka.

Dalam hal ini PAPTI mencadangkan agar JPA dapat menyediakan satu peperiksaan khas Bahasa Melayu sepertimana MUET kepada graduan perubatan yang menggunakan kelulusan A Level atau lain-lain kelulusan selain SPM sebelum mereka diambil berkhidmat sama ada secara kontrak atau tetap.

Cara ini lebih mudah berbanding calon-calon terbabit dikehendaki mengambil subjek tersebut di peringkat SPM dan peperiksaan khas ini pula boleh juga ditawarkan kepada pegawai perubatan asing dari luar negara, jika perlu.

Justeru, PAPTI berharap KKM dan JPA dapat mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat sebelum ini dan mencari kaedah lain termasuk menyediakan peperiksaan khas Bahasa Melayu kepada mereka yang berkenaan.

Sekian, terima kasih.



LUKMAN BIN ISMAIL
Presiden PAPTI


Share:

Mesyuarat agung dan pemilihan PAPTI Ogos ini

Mesyuarat Majlis PAPTI ketiga bagi penggal kedua di UPM Serdang, Sabtu lalu.

SERDANG - Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-24 akan diadakan pada 19 Ogos ini di Kelab Tasik Putrajaya bermula 10 pagi.

Keputusan itu diputuskan oleh ahli-ahli Majlis PAPTI yang mengadakan mesyuaratnya di sini, Sabtu lalu.

Presidennya, Sdr Lukman Ismail berkata, mesyuarat agung kali ini penting kerana turut mengadakan pemilihan barisan kepimpinan persatuan bagi tahun 2017-2019.

"Pada mesyuarat agung kali ini kita akan mengadakan acara-acara sampingan bagi menarik lebih ramai ahli PAPTI untuk hadir antaranya majlis penyampaian anugerah kecemerlangan anak-anak dan cucu-cucu PAPTI serta cabutan nombor bertuah," katanya di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden, Dato' Dr. Abdul Latiff Awang.

Sdr Lukman berkata, kedua-dua acara sampingan itu merupakan pendekatan baharu bagi PAPTI menarik lebih ramai ahli menghadiri mesyuarat agung, terutama dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Ahli Majlis juga telah bersetuju untuk mengadakan Perhimpunan Alumni Indonesia Kali Kedua yang dirancang diadakan pada tahun hadapan.

"Jika perhimpunan kali pertama yang kita adakan pada 2015 lalu di PWTC berjaya menarik 500 alumni seluruh Indonesia, kali ini kita sasarkan jumlah lebih besar iaitu 1,000 orang," katanya.

Mengenai majlis sambutan Hari Raya yang bakal tiba, Sdr Lukman berkata, tahun ini tidak diadakan memandangkan sambutan yang diterima setiap kali diadakan adalah kurang memberangsangkan.
Share:

Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia

PROGRAM Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia 2017 anjuran Perhimpunan Alumni Malaysia (PAM) dan PAPTI telah diadakan selama empat hari di Raja Ampat dan Sorong, Papua Barat.

Kira-kira 30 peserta terdiri daripada wakil PAM dan PAPTI telah menghadiri program yang julung-julung kali diadakan itu.

Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi mengeratkan hubungan ahli-ahli kedua-dua organisasi ini di samping membantu masyarakat setempat.

Para peserta Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia di Papua Barat.

Perbincangan antara Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail dan Ketua Umum PAM, Dr. Sabela Gayo yang turut disertai pimpinan kedua-dua organisasi.


Mengadakan kunjungan ke Sekolah Yayasan Pendidikan Islam di Tanah Papua (YAPIS) Cabang Raja Ampat.



Presiden PAPTI meninjau aktiviti persekolahan di Sekolah YAPIS. Turut serta Setiausaha Agung PAPTI, Dr. Junaini Kasdan.

Sdr Lukman menyerahkan sumbangan daripada PAPTI kepada Ketua Sekolah YAPIS, Bpk Daljuri. Turut sama Dr. Sabela Gayo.



Pertemuan peserta program dengan Ketua Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kabupaten Raja Ampat, Bpk Yusdi Lamatenggo di pejabatnya.

Penyerahan cenderamata.



Prof. Dr. Syamsir Abduh menyampaikan kertas kerja pada seminar sempena Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia 2017 di Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri  (STAIN) Sorong, Papua Barat.




Wakil PAPTI bergambar bersama Prof. Dr. Syamsir dan Ketua STAIN Sorong, Dr. Hamzah.

Presiden PAPTI bersama anak-anak Papua.

Bersama penduduk tempatan yang mengucapkan selamat tinggal kepada kami.


Share:

Sumbangan untuk sekolah YAPIS Raja Ampat

Sdr Lukman Ismail menyerahkan sumbangan daripada PAPTI kepada Bpk Daljuri di Raja Ampat, Sorong, Papua Barat baru-baru ini.
SORONG - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah menyerahkan sumbangan untuk Yayasan Pendidikan Islam di Tanah Papua (YAPIS) cawangan Raja Ampat di sini baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan oleh Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail kepada Ketua YAPIS Cawangan Raja Ampat, Bpk Daljuri di sekolah yayasan itu.

Sekolah YAPIS Raja Ampat ditubuhkan sejak 2012 dan sehingga kini menampung 164 murid dari kelas satu hingga lima.


Dilengkapi dengan dua buah blok bangunan untuk dijadikan kelas dan pejabat pentadbiran manakala dua buah lagi dijadikan asrama.

"Alhamdulillah setakat ini sekolah YAPIS dapat berjalan dengan baik dengan bantuan guru-guru sukarelawan di samping sumbangan orang ramai.

"Kita harap dapat menyediakan prasarana lebih baik buat anak-anak terutama tambahan kelas bagi menampung lebih ramai murid," kata Bpk Daljuri.

Dua blok bangunan sekolah YAPIS di Raja Ampat.
PAPTI dengan kerjasama Perhimpunan Alumni Malaysia (PAM) dalam rangka Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia yang diadakan di Raja Ampat dan Sorong, Papua Barat pada 30 April hingga 3 Mei baru lalu.

Share:

PAPTI dialu-alukan bantu kembang pelancongan Raja Ampat

Sdr Lukman Ismail menyerahkan cenderamata kepada Bpk Yusdi N. Lamatenggo (tiga kiri) di Raja Ampat, Sorong, Papua Barat.
SORONG, Papua Barat - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dialu-alukan untuk membantu pemerintah Kabupaten Raja Ampat di sini untuk memajukan lagi industri pelancongan mereka pada masa depan.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kabupaten Raja Ampat, Yusdi N. Lamatenggo dalam pertemuan antara PAPTI dan Persatuan Alumni Malaysia (PAM) dengan beliau di pejabatnya, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut dalam rangka Program Persahabatan Indonesia-Malaysia 2017 anjuran PAPTI dan PAM di sini pada 30 April hingga 3 Mei lalu.

Beliau berkata, usaha sudah dilakukan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan di kepulauan yang terkenal dengan aktiviti menyelam seperti meningkatkan dan memperbaiki jaringan jalan raya, menaik taraf lapangan terbang dan pelabuhan serta lain-lain.

"Bagaimanapun Raja Ampat ini baharu saja dinaik taraf menjadi sebuah kabupaten. Jadi masih banyak kekurangan di sana-sini. Alhamdulillah, kehadiran PAM dan PAPTI ke sini sekurang-kurang dapat memberi input yang baik kepada kami untuk memajukan lagi Raja Ampat khususnya kepada pelancong," katanya.

Yusdi berkata, pihaknya banyak menerima khidmat nasihat daripada kalangan akademi Malaysia untuk meningkatkan lagi pembangunan di Raja Ampat.
Para peserta Program Persahabatan Alumni Indonesia-Malaysia 2017 di pejabat Bahagian Kebudayaan dan Pariwisata Kabupaten Raja Ampat.
Malah katanya, Raja Ampat juga banyak belajar dari Malaysia termasuk cadangan mewujudkan kawasan ekopark sepertimana di Langkawi, Kedah.

Sementara itu Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail berkata, walaupun nama Raja Ampat tidak begitu dikenali tetapi keindahan kepulauannya begitu menakjubkan dan tidak mustahil lebih banyak pelancong dari Malaysia akan datang ke sini.

"Nyata benarlah kalau ada yang menyebut Raja Ampat ini 'syurga bagi penyelam' kerana keindahan pulau-pulaunya memang menakjubkan walaupun beberapa kemudahan asas masih boleh dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan turut mempromosikan Raja Ampat di kalangan ahli-ahli PAPTI serta rakan-rakan yang lain agar melancong ke sini.

Share:

Catatan Popular

Arkib Blog