Sukarelawan PAPTI bantu mangsa gempa di Aceh

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Disember 20, 2016
Dr Norlee Hazaniza Ahmad (enam kanan) bersama Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria (lima kanan) dan sukarelawan yang menjayakan misi bantuan gempa di Pidie Jaya, Aceh.
ACEH - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah menghantar satu pasukan terdiri daripada empat sukarelawan ke Pidie Jaya, Aceh bantu membantu mangsa gempa yang berlaku di kawasan tersebut pada 7 Disember lalu.

Pasukan diketuai oleh Pengerusi Biro Komunikasi dan Media Sosial, Dr. Norlee Hazaniza Ahmad itu tiba di sini pada 17 Disember bersama bekalan ubat-ubatan dan makanan ringan serta permainan kanak-kanak yang disumbangkan oleh ahli PAPTI dan orang awam.

Walaupun bekalan  ubat-ubatan yang dibawa tidak dibenarkan masuk ke Aceh atas arahan pemerintah Indonesia, namun kehadiran rombongan PAPTI yang turut disertai Pengerusi Biro Hal Ehwal Belia dan Mahasiswa, Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat sekurang-kurang dapat menceriakan penduduk di sini yang masih trauma dilanda bencana tersebut.

Dr Norlee Hazaniza berkata, walaupun misi asal untuk memberikan bantuan segi perubatan tidak dapat dilaksanakan tetapi pihaknya dapat mendekati penduduk khususnya di Pidie Jaya yang paling teruk terjejas dengan gempa berukuran 6.8 skala Richter itu.


"Ini pengalaman pertama PAPTI menghantar pasukan sukarelawan ke daerah gempa. Banyak perkara yang kami belajar di sini dan para penduduk juga menyambut ketibaan kami dengan baik. Mereka seronok dengan kehadiran kami," katanya.

Misi PAPTI itu mendapat sokongan dan kerjasama Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Aceh dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Aceh.

Sementara itu Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail berkata, walaupun misi asal sukarelawana ke Aceh tidak dapat dilaksanakan ekoran kegagalan membawa masuk bekalan ubat dari Malaysia ke sini, namun ia adalah satu permulaan bagi PAPTI untuk melaksanakan program sukarelawan sepertimana diputuskan pada mesyuarat lalu.


"Insya Allah ini satu pengalaman bermakna bagi PAPTI dan satu permulaan untuk kita menjayakan agenda kemasyarakatan kita. Selepas ini kita lebih banyak mendekati masyarakat terutama mereka yang ditimpa musibah dan kesusahan seperti gempa dan banjir, tak kira di Malaysia atau di Indonesia," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ahli-ahli PAPTI dan orang ramai yang memberikan sumbangan wang tunai serta barangan bagi menjayakan misi kemanusiaan ke Aceh itu.