PAPTI-PKPMI tanda tangan MoU kerjasama

Posted by Sekretariat PAPTI on Sabtu, November 19, 2016
Sdr Lukman Ismail bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Sdr Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah (dua kanan) sambil disaksikan oleh Sdr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat (kiri) dan Sdr Mohd Azlan Zakaria.
JAKARTA  - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) mencipta sejarah apabila kedua-dua organisasi ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) buat kali pertama sejak penubuhan lebih 40 tahun lalu, semalam.

Menerusi MoU itu PAPTI yang dianggotai oleh bekas-bekas pelajar Malaysia di Indonesia dan PKPMI yang memayungi para pelajar yang sedang menuntut di negara ini mengikat hubungan rasmi dan akan melaksanakan program bersama selepas ini.

Pada majlis itu, PAPTI diwakili Presidennya, Sdr Lukman Ismail manakala PKPMI oleh Yang Dipertua Pusat, Sdr Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah dan disaksikan oleh Atase Pendidikan, Kedutaan Malaysia di Indonesia, Sdr Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Sdr Mohd Nur Haziq berkata, perjanjian kerjasama itu adalah bagi tempoh tiga tahun dan pihaknya serta PAPTI akan merancang beberapa program bersama di bawah kepimpinan baharu PKPMI Pusat selepas ini.

Beliau yang juga pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Ukrida berkata, selama ini hampir semua pelajar Malaysia tidak mengetahu wujudnya PAPTI sehinggalah PKPMI diundang untuk menghadiri Himpunan Alumni Indonesia pada tahun lalu.

"Sejak tarikh tersebut PKPMI dan PAPTI telah berhubung secara rapat dan sehinggalah wujudnya cadangan untuk menjalin hubungan secara rasmi melalui satu MoU. Alhamdulillah, hari ini impian tersebut tercapai," katanya pada majlis tersebut yang diadakan bersempena Persidangan Agung Tahunan PKPMI Ke-42 di sini.

Hadir sama Pengerusi Hal Ehwal Belia dan Mahasiswa PAPTI, Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat dan Naib Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria.

Persidangan itu dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato Seri Zahrain Mohd Hashim.

Sementara itu Sdr Lukman berharap dengan adanya MoU itu bukan sahaja kedua-dua pihak dapat menjalankan program bersama tetapi lebih penting agar PKPMI dan mempromosikan PAPTI dalam kalangan ahlinya.

"Apa yang PAPTI harap adalah penyertaan lebih ramai alumni dalam persatuan ini kerana tanpa penyertaan generasi muda, PAPTI boleh terkubur apabila tiada lagi pewaris yang mewarisan persatuan ini.

"Saya percaya jika PAPTI boleh bertahan sehingga lebih 40 tahun, Insya-Allah ia juga dapat bertahan sehingga 40 tahun lagi. Tetapi pokok pangkal bermula daripada anda sebagai generasi penerus," katanya.