PAPTI mendekati masyarakat, tubuh tim sukarelawan

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Ogos 14, 2016
PRESIDEN dan barisan Ahli Majlis bergambar bersama sebahagian ahli-ahli PAPTI yang hadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23 di Putrajaya, baru-baru ini.

PUTRAJAYA: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mengambil pendekatan mendekati masyarakat umum dalam usaha memperluaskan lagi peranan persatuan itu.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, dalam usia lebih 40 tahun penubuhannya, persatuan itu tidak lagi hanya tertumpuan kepada aktiviti sosial dalam kalangan ahli semata-mata.n

Sehubungan itu juga beliau bercadang untuk menubuhkan sebuah pasukan sukarelawan perubatan yang akan digerakkan apabila berlaku bencana di dalam negara.

"Dengan perkembangan teknologi komunikasi masa kini PAPTI dilihat tidak lagi sebagai wadah utama untuk ahli-ahli bertemu kerana mereka boleh berhubung dan berkumpul dengan kumpulan masing-masing melalui pelbagai aplikasi komunikasi.

"Justeru, PAPTI perlu mengubah pendekatan dengan memberi sumbangan kepada masyarakat umum seperti menggerakkan tim sukarelawan untuk membantu mangsa bencana, atau membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti para gelandangan dan orang miskin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI Ke-23 di The Everly Putrajaya, di sini baru-baru ini. Hadir sama Timbalan Presiden PAPTI, Dato Dr Abdul Latiff Awang dan barisan Ahli Majlis PAPTI sesi 2015-2017.

Lukman berkata, ahli-ahli PAPTI dan para alumni Indonesia mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk lulusan perubatan yang begitu ramai.

"Mereka ini, jika dikumpulkan dalam satu pasukan, saya percaya ia boleh digerakkan dan dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Dengan cara ini juga PAPTI akan lebih dikenali dalam kalangan masyarakat umum selain dapat menarik kalangan alumni generasi muda terhadap PAPTI," katanya.

Sempena mesyuarat agung tersebut, turut dilangsungkan majlis jamuan hari raya Aidilfitri untuk kalangan ahli dan alumni.