Kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Ogos 19, 2016
Dato Seri Zahrain Mohd Hashim menerima kunjungan hormat Ahli Majlis PAPTI di pejabatnya di Jakarta.
JAKARTA - Ahli Majlis Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato Seri Zahrain Mohd. Hashim di pejabatnya di sini hari ini.

Kunjungan tersebut sempena lawatan Ahli Majlis PAPTI selama lima hari ke Jakarta dan Bandung.

Rombongan yang diketuai oleh Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail itu berlangsung kira-kira 45 minit itu turut disertai oleh Timbalan Presiden PAPTI, Dato Dr Abdul Latif Awang serta Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Juzhar Jusoh.

Pada pertemuan tersebut, dua topik yang menjadi perhatian ialah mengenai isu penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia di mana PAPTI menyatakan kebimbangan dengan cadangan penaja termasuk MARA yang dikatakan mahu menghentikan penghantaran pelajar mereka ke negara ini.


Sehubungan itu PAPTI berharap pihak Kedutaan Malaysia dapat membuat gesaan kepada kerajaan Malaysia dan para penaja agar terus menghantar pelajar ke Indonesia, malah memperluaskan lagi bidang-bidang yang ditawarkan selain daripada perubatan, pergigian dan farmasi.

Selain itu, PAPTI juga menyuarakan rasa tidak senang dengan ejen-ejen penghantaran pelajar swasta yang mengenakan bayaran yang terlalu tinggi untuk permohonan masuk ke universiti-universiti di Indonesia yang membebankan ibu bapa.

Dato Seri Zahrain yang mengakui tidak mengetahui wujudnya PAPTI sebelum ini begitu teruja dan memandang serius isu yang dikemukakan oleh PAPTI.

Malah beliau mencadangkan PAPTI turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Dr. Muhammad Nasir yang merupakan alumni Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan.

Sdr Lukman Ismail menandatangani buku tetamu sambil diperhati Prof Madya Dr Juzhar Jusoh.
Kunjungan tersebut, walaupun singkat tetapi dianggap berjaya kerana ia merupakan titik permulaan bagi PAPTI menjalin hubungan baik dan mesra dengan pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Selain kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia, rombongan juga turut mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Jakarta dan Bogor sebelum bertolak ke Bandung.

Ahli-ahli Majlis PAPTI yang turut sama dalam rombongan itu:

1. Sdr Lukman Ismail (Presiden PAPTI)
2. Dato Dr Abdul Latif Awang (Timbalan Presiden)
3. Prof Madya Dr Ismail Abdullah (Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa)
4. Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat (Pengerusi Biro Hal Ehwal Belia dan Mahasiswa)
5. Dato Dr Nasaruddin Othman (Pengerusi Biro Tugas-tugas Khas)
6. Dato Dr Mohd Zin Yusof (Ketua Perhubungan Zon Timur)