PAPTI terima anugerah khas PKPMI

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Mei 10, 2016
Dari kiri: Dr Dewa Putu Gede Putus Samtra, Dr Desak Made Wihandani, Sdr Lukman Ismail, Sdr Mohd Hidayat Mohd Sauffi, Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah dan pengarah program Malam Gala PKPMI 2016, Thahranya Appalasamy.
BALI - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah diberikan Anugerah Khas Alumni oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) bersempena Malam Gala 2016 persatuan itu.

Program yang berlangsung di Hotel Sunset, Kuta di sini itu adalah kali kedua dianjurkan oleh persatuan tersebut.

Presiden PAPTI, Sdr. Lukman Ismail telah hadir untuk menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Atase Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Sdr. Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Sdr Lukman dalam ucapan ringkasnya berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan oleh para mahasiswa Malaysia di Indonesia terhadap PAPTI.

Beliau berkata,  penganugerahan itu sebagai permulaan untuk mendekatkan PAPTI yang sudah tertubuh sejak 40 tahun lalu dengan mahasiswa Malaysia, khususnya generasi muda hari ini melalui PKPMI.

"Ini adalah titik permulaan kerjasama antara PAPTI dan PKPMI dan sebagai sesi perkenalan kami terhadap mahasiswa generasi baru hari ini yang sebelum ini tidak mengetahui kewujudan PAPTI," katanya.

Hadir sama Yang Dipertua PKPMI Pusat, Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah. Ketua Program Studi Pendidikan Dokter Universiti Udayana, Bali, Dr Dewa Putu Gede Putus Samtra dan Pembimbing Mahasiswa Malaysia, Univ Udayana, Dr. Desak Made Wihandani.