Forum usahawan alumni nusantara dicadang diadakan

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Mei 20, 2016
Tan Sri Dato Seri Utama Rais Yatim bergambar bersama wakil-wakil PAPTI yang menghadiri Rapat Alumni Nusantara di UIAM Gombak.
KUALA LUMPUR - Satu forum mempertemukan para usahawan kalangan alumni nusantara dicadang diadakan bagi mengumpul para alumni dari Indonesia dan Malaysia yang terlibat dalam bidang perniagaan.

Cadangan itu dikemukakan pada sesi perbincangan sempena Rapat Alumni Nusantara yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, di sini semalam.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Lukman Ismail yang membentangkan kertas kerjanya bertajuk "Peranan Alumni Nusantara Dalam Mengembangkan Jaringan dan Menyatukan Kekuatan Bangsa Serumpun" menyentuh mengenai penglibatan ahli-ahli PAPTI dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, alumni kedua-dua negara dapat membantu mempertingkatkan jaringan perniagaan masing-masing menerusi kerjasama dalam kalangan alumni.

Sdr Lukman Ismail (kiri) bersama speaker Pengarah Education Malaysia Indonesia, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh dan Dr, Wuri Handayani.
"Walaupun jumlah ahli PAPTI menyertai bidang perniagaan ini masih kecil, namun saya percaya jika digabungkan dengan para alumni dari Malaysia, ia boleh membentuk jaringan yang besar yang akhirnya memberikan keuntungan ekonomi kepada kedua-dua negara," katanya.

Rapat Alumni Nusantara dianjurkan oleh Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) dengan kerjasama UIAM dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada sesi perbincangan itu, turut membentangkan kertas kerja masing-masing ialah Timbalan Pengerusi YIRMI, Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah; Mantan Ketua DPR Indonesia, Dr. Marzuki Alie dan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Perlis, Dr. Wuri Handayani.

Lukman berkata, pihaknya mencadangkan agar diwujudkan satu organisasi bagi menghimpunkan para pemimpin persatuan alumni di nusantara bagi merapatkan hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.

Antara peserta yang menghadiri forum sempena Rapat Alumni Nusantara.
Katanya, sebagai pihak yang memahami situasi sebenar di kedua-dua negara, alumni nusantara boleh menjadi pendamai dan meredakan keadaan jika berlaku kes-kes yang boleh menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Sementara itu Marzuki yang menamatkan pengajian di peringat doktor falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia berkata, sudah tiba masanya negara-negara di nusantara memperkukuhkan hubungan dalam bidang pendidikan.

Katanya, adalah lebih baik jika negara-negara di nusantara menghantar para pelajarnya melanjutkan pengajian di negara jiran berbanding memberi tumpuan ke negara-negara Barat.

"Jika ini dilaksanakan, kita boleh membentuk pendidikan nusantara di mana setiap negara itu saling belajar di negara jiran. Orang Indonesia belajar di Malaysia, orang Malaysia belajar di Indonesia," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rantau ASEAN memandangkan jumlah penduduk yang menggunakan bahasa itu paling tinggi di rantau ini.

Bagaimanapun katanya, apa sahaja yang dilakukan untuk memperkasa rumpun Melayu di nusantara ini harus disambut dan disokong oleh kerajaan atau pemerintah dari negara-negara terlibat.