PAPTI sambut baik langkah kerajaan Terengganu

Posted by Persatuan Alumni Indonesia on Rabu, Januari 13, 2016

KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) menyambut baik langakh kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukan untuk pinjaman kepada pelajar-pelajar di seberang laut yang tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana pihak.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail bagaimanapun berkata, beliau berharap peruntukan itu juga ditawarkan kepada para pelajar negeri itu yang sedang menuntut di institusi pengajian di Indonesia.

Menurutnya, berdasarkan sumber yang diperoleh dianggarkan terdapat lebih 2,000 pelajar Malaysia di Indonesia yang kebanyakannya dalam aliran agama tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana pihak.

"Walaupun tidak pasti berapa banyak pelajar dari negeri itu, tapi sekurang-kurangnya peluang yang diberikan oleh kerajaan Terengganu itu perlu direbut. Saya juga berharap negeri-negeri lain turut mengambil langkah serupa," katanya.

Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pinjaman kepada pelajar-pelajar di luar negara yang tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana pihak.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberikan pinjaman sebanyak RM10,000 untuk seorang pelajar yang memerlukan bantuan tersebut.

Lukman berkata, walaupun tawaran itu dibuka kepada pelajar-pelajar di Jordan dan Mesir, beliau percaya pelajar di Indonesia juga boleh membuat permohonan.


Malah katanya, beliau telah mengajukan kepada Ahmad Razif agar turut membuka tawaran itu kepada para pelajar kita di Indonesia.

"Saya akan minta Timbalan Presiden PAPTI (Dato' Dr Abdul Latiff Awang) untuk berbincang dengan kerajaan Terengganu berhubung perkara ini sejurus beliau pulang daripada mengerjakan umrah, pertengahan bulan ini," katanya.