PAPTI jalin hubungan dengan YIRMI

Sdr Lukman Ismail bertemu dengan Tan Sri Dato Seri Utama Rais Yatim di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama Ahli-ahli Majlis PAPTI (dari kiri) Dr Umi Khalsom Ariffin, Dr Junaini Kasdan dan Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat.
KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah menjalin hubungan baik dengan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) melalui beberapa kerjasama antara kedua-dua pihak.

Jalinan itu terbentuk sejak tahun lalu apabila PAPTI terlibat menjayakan Rapat Alumni Nusantara anjuran YIRMI yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hubungan antara PAPTI dan YIRMI tidak berhenti di situ apabila kedua-dua pihak sekali lagi bekerjasama untuk membangunkan pangkalan data alumni nusantara yang sedang diusahakan dengan kerjasama beberapa lagi pertubuhan berkaitan.

Sdr Lukman Ismail memberikan penerangan mengenai PAPTI kepada Tan Sri Dato Seri Utama Rais Yatim.
Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail berkata, hubungan dengan YIRMI perlu dimanfaatkan oleh PAPTI memandangkan yayasan ini  mempunyai jaringan yang kuat dengan pelbagai pertubuhan masyarakat di kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.

"Ini sekali gus dapat memperkenal dan menonjolkan PAPTI yang dianggotai oleh rakyat Malaysia lulusan Indonesia yang selama ini tidak banyak diketahui oleh kalangan masyarakat.

"Dengan adanya hubungan baik ini, kita juga mengharapkan sokongan YIRMI dalam menjayakan program-program PAPTI selepas ini," katanya.

YIRMI dipengerusikan oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Utama Rais Yatim.

Hasil hubungan itu juga
Share:

Sukarelawan PAPTI bantu mangsa gempa di Aceh

Dr Norlee Hazaniza Ahmad (enam kanan) bersama Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria (lima kanan) dan sukarelawan yang menjayakan misi bantuan gempa di Pidie Jaya, Aceh.
ACEH - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah menghantar satu pasukan terdiri daripada empat sukarelawan ke Pidie Jaya, Aceh bantu membantu mangsa gempa yang berlaku di kawasan tersebut pada 7 Disember lalu.

Pasukan diketuai oleh Pengerusi Biro Komunikasi dan Media Sosial, Dr. Norlee Hazaniza Ahmad itu tiba di sini pada 17 Disember bersama bekalan ubat-ubatan dan makanan ringan serta permainan kanak-kanak yang disumbangkan oleh ahli PAPTI dan orang awam.

Walaupun bekalan  ubat-ubatan yang dibawa tidak dibenarkan masuk ke Aceh atas arahan pemerintah Indonesia, namun kehadiran rombongan PAPTI yang turut disertai Pengerusi Biro Hal Ehwal Belia dan Mahasiswa, Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat sekurang-kurang dapat menceriakan penduduk di sini yang masih trauma dilanda bencana tersebut.

Dr Norlee Hazaniza berkata, walaupun misi asal untuk memberikan bantuan segi perubatan tidak dapat dilaksanakan tetapi pihaknya dapat mendekati penduduk khususnya di Pidie Jaya yang paling teruk terjejas dengan gempa berukuran 6.8 skala Richter itu.


"Ini pengalaman pertama PAPTI menghantar pasukan sukarelawan ke daerah gempa. Banyak perkara yang kami belajar di sini dan para penduduk juga menyambut ketibaan kami dengan baik. Mereka seronok dengan kehadiran kami," katanya.

Misi PAPTI itu mendapat sokongan dan kerjasama Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Aceh dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Aceh.

Sementara itu Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail berkata, walaupun misi asal sukarelawana ke Aceh tidak dapat dilaksanakan ekoran kegagalan membawa masuk bekalan ubat dari Malaysia ke sini, namun ia adalah satu permulaan bagi PAPTI untuk melaksanakan program sukarelawan sepertimana diputuskan pada mesyuarat lalu.


"Insya Allah ini satu pengalaman bermakna bagi PAPTI dan satu permulaan untuk kita menjayakan agenda kemasyarakatan kita. Selepas ini kita lebih banyak mendekati masyarakat terutama mereka yang ditimpa musibah dan kesusahan seperti gempa dan banjir, tak kira di Malaysia atau di Indonesia," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ahli-ahli PAPTI dan orang ramai yang memberikan sumbangan wang tunai serta barangan bagi menjayakan misi kemanusiaan ke Aceh itu.
Share:

60 Tahun Hubungan Malaysia-Indonesia: PAPTI diminta adakan program

JAKARTA - Bersempena Sambutan 60 Tahun Hubungan Malaysia-Indonesia, seluruh pihak termasuk Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) diminta mengadakan program bagi memeriahkan sambutan yang akan diraikan tahun depan.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, TYT Dato Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, tahun 2017 genaplah hubungan rasmi antara kedua negara dan pihaknya telah mengatur pelbagai program bagi meraikan sambutan tersebut.

"Harap PAPTI dapat mengadakan program bagi memperingati 60 tahun hubungan Malaysia dan Indonesia, bukan sahaja dengan PKPMI (Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia)  tetapi juga dengan rakan-rakan di Indonesia," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan  Ke-42 PKPMI di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Duta Besar, Datin Seri Che Mahani Ismail; Timbalan Duta Besar, En. Zamshari Shaharan; Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah dan Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail.

Dari kiri: Sdr Lukman Ismail, En. Zamshari Shaharan, TYT Dato Seri Zahrain Mohamed Hashim, Datin Seri Che Mahani Ismail dan Sdr Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah.

Duta Besar menyampaikan ucapan perasmian.

Para pegawai Kedutaan Besar dan wakil-wakil PKPMI cabang-cabang seluruh Indonesia yang menghadiri majlis perasmian Persidangan Tahunan PKPMI Ke-42.

TYT Duta Besar dan tetamu lain bergambar bersama para perwakilan,

Duta Besar dan tetamu undangan bersama barisan jawatankuasa PKPMI Pusat sesi 2016.


Share:

PAPTI-PKPMI tanda tangan MoU kerjasama

Sdr Lukman Ismail bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Sdr Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah (dua kanan) sambil disaksikan oleh Sdr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat (kiri) dan Sdr Mohd Azlan Zakaria.
JAKARTA  - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) mencipta sejarah apabila kedua-dua organisasi ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) buat kali pertama sejak penubuhan lebih 40 tahun lalu, semalam.

Menerusi MoU itu PAPTI yang dianggotai oleh bekas-bekas pelajar Malaysia di Indonesia dan PKPMI yang memayungi para pelajar yang sedang menuntut di negara ini mengikat hubungan rasmi dan akan melaksanakan program bersama selepas ini.

Pada majlis itu, PAPTI diwakili Presidennya, Sdr Lukman Ismail manakala PKPMI oleh Yang Dipertua Pusat, Sdr Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah dan disaksikan oleh Atase Pendidikan, Kedutaan Malaysia di Indonesia, Sdr Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Sdr Mohd Nur Haziq berkata, perjanjian kerjasama itu adalah bagi tempoh tiga tahun dan pihaknya serta PAPTI akan merancang beberapa program bersama di bawah kepimpinan baharu PKPMI Pusat selepas ini.

Beliau yang juga pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Ukrida berkata, selama ini hampir semua pelajar Malaysia tidak mengetahu wujudnya PAPTI sehinggalah PKPMI diundang untuk menghadiri Himpunan Alumni Indonesia pada tahun lalu.

"Sejak tarikh tersebut PKPMI dan PAPTI telah berhubung secara rapat dan sehinggalah wujudnya cadangan untuk menjalin hubungan secara rasmi melalui satu MoU. Alhamdulillah, hari ini impian tersebut tercapai," katanya pada majlis tersebut yang diadakan bersempena Persidangan Agung Tahunan PKPMI Ke-42 di sini.

Hadir sama Pengerusi Hal Ehwal Belia dan Mahasiswa PAPTI, Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat dan Naib Yang Dipertua PKPMI Pusat, Sdr Muhamad Noor Azlan Zakaria.

Persidangan itu dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato Seri Zahrain Mohd Hashim.

Sementara itu Sdr Lukman berharap dengan adanya MoU itu bukan sahaja kedua-dua pihak dapat menjalankan program bersama tetapi lebih penting agar PKPMI dan mempromosikan PAPTI dalam kalangan ahlinya.

"Apa yang PAPTI harap adalah penyertaan lebih ramai alumni dalam persatuan ini kerana tanpa penyertaan generasi muda, PAPTI boleh terkubur apabila tiada lagi pewaris yang mewarisan persatuan ini.

"Saya percaya jika PAPTI boleh bertahan sehingga lebih 40 tahun, Insya-Allah ia juga dapat bertahan sehingga 40 tahun lagi. Tetapi pokok pangkal bermula daripada anda sebagai generasi penerus," katanya.

Share:

Sekitar lawatan ke Jakarta dan Bandung

AHLI-AHLI Majlis PAPTI telah mengadakan lawatan ke Jakarta dan Bandung pada 19 hingga 23 Ogos 2016 dengan beberapa program terutamanya mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Sempena lawatan yang diketuai oleh Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail, rombongan juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pelajar Malaysia di Jakarta dan Bogor selain Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat.

Di Bandung, rombongan diketuai oleh Timbalan Presiden PAPTI, Dato Dr Abdul Latif Awang pula mengadakan kunjungan hormat ke atas Direktorat Institut Teknologi Bandung (ITB) selain bertemu para pelajar Malaysia di Kota Kembang itu.

Makan malam bersama pegawai Kedutaan dan para pelajar Malaysia di Jakarta dan Bogor.






Pertemuan dengan rektorat Institut Teknologi Bandung (ITB) dan pelajar Malaysia di Bandung.





Share:

Kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Indonesia

Dato Seri Zahrain Mohd Hashim menerima kunjungan hormat Ahli Majlis PAPTI di pejabatnya di Jakarta.
JAKARTA - Ahli Majlis Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato Seri Zahrain Mohd. Hashim di pejabatnya di sini hari ini.

Kunjungan tersebut sempena lawatan Ahli Majlis PAPTI selama lima hari ke Jakarta dan Bandung.

Rombongan yang diketuai oleh Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail itu berlangsung kira-kira 45 minit itu turut disertai oleh Timbalan Presiden PAPTI, Dato Dr Abdul Latif Awang serta Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Juzhar Jusoh.

Pada pertemuan tersebut, dua topik yang menjadi perhatian ialah mengenai isu penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia di mana PAPTI menyatakan kebimbangan dengan cadangan penaja termasuk MARA yang dikatakan mahu menghentikan penghantaran pelajar mereka ke negara ini.


Sehubungan itu PAPTI berharap pihak Kedutaan Malaysia dapat membuat gesaan kepada kerajaan Malaysia dan para penaja agar terus menghantar pelajar ke Indonesia, malah memperluaskan lagi bidang-bidang yang ditawarkan selain daripada perubatan, pergigian dan farmasi.

Selain itu, PAPTI juga menyuarakan rasa tidak senang dengan ejen-ejen penghantaran pelajar swasta yang mengenakan bayaran yang terlalu tinggi untuk permohonan masuk ke universiti-universiti di Indonesia yang membebankan ibu bapa.

Dato Seri Zahrain yang mengakui tidak mengetahui wujudnya PAPTI sebelum ini begitu teruja dan memandang serius isu yang dikemukakan oleh PAPTI.

Malah beliau mencadangkan PAPTI turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Dr. Muhammad Nasir yang merupakan alumni Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan.

Sdr Lukman Ismail menandatangani buku tetamu sambil diperhati Prof Madya Dr Juzhar Jusoh.
Kunjungan tersebut, walaupun singkat tetapi dianggap berjaya kerana ia merupakan titik permulaan bagi PAPTI menjalin hubungan baik dan mesra dengan pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Selain kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia, rombongan juga turut mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Jakarta dan Bogor sebelum bertolak ke Bandung.

Ahli-ahli Majlis PAPTI yang turut sama dalam rombongan itu:

1. Sdr Lukman Ismail (Presiden PAPTI)
2. Dato Dr Abdul Latif Awang (Timbalan Presiden)
3. Prof Madya Dr Ismail Abdullah (Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa)
4. Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat (Pengerusi Biro Hal Ehwal Belia dan Mahasiswa)
5. Dato Dr Nasaruddin Othman (Pengerusi Biro Tugas-tugas Khas)
6. Dato Dr Mohd Zin Yusof (Ketua Perhubungan Zon Timur)
Share:

PAPTI mendekati masyarakat, tubuh tim sukarelawan

PRESIDEN dan barisan Ahli Majlis bergambar bersama sebahagian ahli-ahli PAPTI yang hadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23 di Putrajaya, baru-baru ini.

PUTRAJAYA: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mengambil pendekatan mendekati masyarakat umum dalam usaha memperluaskan lagi peranan persatuan itu.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, dalam usia lebih 40 tahun penubuhannya, persatuan itu tidak lagi hanya tertumpuan kepada aktiviti sosial dalam kalangan ahli semata-mata.n

Sehubungan itu juga beliau bercadang untuk menubuhkan sebuah pasukan sukarelawan perubatan yang akan digerakkan apabila berlaku bencana di dalam negara.

"Dengan perkembangan teknologi komunikasi masa kini PAPTI dilihat tidak lagi sebagai wadah utama untuk ahli-ahli bertemu kerana mereka boleh berhubung dan berkumpul dengan kumpulan masing-masing melalui pelbagai aplikasi komunikasi.

"Justeru, PAPTI perlu mengubah pendekatan dengan memberi sumbangan kepada masyarakat umum seperti menggerakkan tim sukarelawan untuk membantu mangsa bencana, atau membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti para gelandangan dan orang miskin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI Ke-23 di The Everly Putrajaya, di sini baru-baru ini. Hadir sama Timbalan Presiden PAPTI, Dato Dr Abdul Latiff Awang dan barisan Ahli Majlis PAPTI sesi 2015-2017.

Lukman berkata, ahli-ahli PAPTI dan para alumni Indonesia mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk lulusan perubatan yang begitu ramai.

"Mereka ini, jika dikumpulkan dalam satu pasukan, saya percaya ia boleh digerakkan dan dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Dengan cara ini juga PAPTI akan lebih dikenali dalam kalangan masyarakat umum selain dapat menarik kalangan alumni generasi muda terhadap PAPTI," katanya.

Sempena mesyuarat agung tersebut, turut dilangsungkan majlis jamuan hari raya Aidilfitri untuk kalangan ahli dan alumni.
Share:

Sekitar Jamuan Hari Raya & Mesyuarat Agung 2016

Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23 PAPTI telah diadakan serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada 30 Julai 2016 di The Everly Putrajaya.

Berikut antara gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang majlis tersebut.

















Share:

Forum usahawan alumni nusantara dicadang diadakan

Tan Sri Dato Seri Utama Rais Yatim bergambar bersama wakil-wakil PAPTI yang menghadiri Rapat Alumni Nusantara di UIAM Gombak.
KUALA LUMPUR - Satu forum mempertemukan para usahawan kalangan alumni nusantara dicadang diadakan bagi mengumpul para alumni dari Indonesia dan Malaysia yang terlibat dalam bidang perniagaan.

Cadangan itu dikemukakan pada sesi perbincangan sempena Rapat Alumni Nusantara yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, di sini semalam.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Lukman Ismail yang membentangkan kertas kerjanya bertajuk "Peranan Alumni Nusantara Dalam Mengembangkan Jaringan dan Menyatukan Kekuatan Bangsa Serumpun" menyentuh mengenai penglibatan ahli-ahli PAPTI dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, alumni kedua-dua negara dapat membantu mempertingkatkan jaringan perniagaan masing-masing menerusi kerjasama dalam kalangan alumni.

Sdr Lukman Ismail (kiri) bersama speaker Pengarah Education Malaysia Indonesia, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh dan Dr, Wuri Handayani.
"Walaupun jumlah ahli PAPTI menyertai bidang perniagaan ini masih kecil, namun saya percaya jika digabungkan dengan para alumni dari Malaysia, ia boleh membentuk jaringan yang besar yang akhirnya memberikan keuntungan ekonomi kepada kedua-dua negara," katanya.

Rapat Alumni Nusantara dianjurkan oleh Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) dengan kerjasama UIAM dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada sesi perbincangan itu, turut membentangkan kertas kerja masing-masing ialah Timbalan Pengerusi YIRMI, Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah; Mantan Ketua DPR Indonesia, Dr. Marzuki Alie dan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Perlis, Dr. Wuri Handayani.

Lukman berkata, pihaknya mencadangkan agar diwujudkan satu organisasi bagi menghimpunkan para pemimpin persatuan alumni di nusantara bagi merapatkan hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.

Antara peserta yang menghadiri forum sempena Rapat Alumni Nusantara.
Katanya, sebagai pihak yang memahami situasi sebenar di kedua-dua negara, alumni nusantara boleh menjadi pendamai dan meredakan keadaan jika berlaku kes-kes yang boleh menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Sementara itu Marzuki yang menamatkan pengajian di peringat doktor falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia berkata, sudah tiba masanya negara-negara di nusantara memperkukuhkan hubungan dalam bidang pendidikan.

Katanya, adalah lebih baik jika negara-negara di nusantara menghantar para pelajarnya melanjutkan pengajian di negara jiran berbanding memberi tumpuan ke negara-negara Barat.

"Jika ini dilaksanakan, kita boleh membentuk pendidikan nusantara di mana setiap negara itu saling belajar di negara jiran. Orang Indonesia belajar di Malaysia, orang Malaysia belajar di Indonesia," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rantau ASEAN memandangkan jumlah penduduk yang menggunakan bahasa itu paling tinggi di rantau ini.

Bagaimanapun katanya, apa sahaja yang dilakukan untuk memperkasa rumpun Melayu di nusantara ini harus disambut dan disokong oleh kerajaan atau pemerintah dari negara-negara terlibat.

Share:

PAPTI terima anugerah khas PKPMI

Dari kiri: Dr Dewa Putu Gede Putus Samtra, Dr Desak Made Wihandani, Sdr Lukman Ismail, Sdr Mohd Hidayat Mohd Sauffi, Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah dan pengarah program Malam Gala PKPMI 2016, Thahranya Appalasamy.
BALI - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah diberikan Anugerah Khas Alumni oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) bersempena Malam Gala 2016 persatuan itu.

Program yang berlangsung di Hotel Sunset, Kuta di sini itu adalah kali kedua dianjurkan oleh persatuan tersebut.

Presiden PAPTI, Sdr. Lukman Ismail telah hadir untuk menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Atase Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Sdr. Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Sdr Lukman dalam ucapan ringkasnya berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan oleh para mahasiswa Malaysia di Indonesia terhadap PAPTI.

Beliau berkata,  penganugerahan itu sebagai permulaan untuk mendekatkan PAPTI yang sudah tertubuh sejak 40 tahun lalu dengan mahasiswa Malaysia, khususnya generasi muda hari ini melalui PKPMI.

"Ini adalah titik permulaan kerjasama antara PAPTI dan PKPMI dan sebagai sesi perkenalan kami terhadap mahasiswa generasi baru hari ini yang sebelum ini tidak mengetahui kewujudan PAPTI," katanya.

Hadir sama Yang Dipertua PKPMI Pusat, Mohd Nur Haziq Noor Hamizam Shah. Ketua Program Studi Pendidikan Dokter Universiti Udayana, Bali, Dr Dewa Putu Gede Putus Samtra dan Pembimbing Mahasiswa Malaysia, Univ Udayana, Dr. Desak Made Wihandani. 








Share:

Catatan Popular

Arkib Blog