Pinda perlembagaan: Keahlian PAPTI lebih terbuka, tiada lagi yuran tahunan

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Disember 28, 2015
Barisan Ahli Majlis yang akan menerajui PAPTI bagi tahun 2015 hingga 2017 selepas pemilihannya di UPM Serdang, 26 Disember lalu.
SERDANG -  Keahlian Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) akan lebih terbuka selepas pindaan perlembagaan persatuan itu, termasuk berkaitan jenis keahlian diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Sabtu lepas.

Melalui pindaan tersebut PAPTI membuka penyertaan keahlian kepada mana-mana rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pengajian mereka di Indonesia, walaupun tidak menamatkan pengajian mereka.

Di bawah pindaan tersebut, para mahasiswa Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di negara jiran itu juga boleh mendaftar sebagai Ahli Bersekutu persatuan.

Ini berbeza sebelum pindaan apabila Ahli Biasa PAPTI hanya terbuka kepada warganegara Malaysia yang lulus di mana-mana institusi pengajian tinggi sahaja manakala Ahli Bersekutu kepada individu yang tidak menamatkan pengajian.

Sementara bagi mahasiswa pula tidak boleh menjadi ahli sehinggalah mereka pulang ke tanah air selepas pengajian.

Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail ketika membentangkan usul tersebut berkata, pindaan berhubung keahlian itu bagi menarik lebih ramai lulusan Indonesia untuk menganggotai persatuan ini.

Katanya, selain syarat keahlian PAPTI juga membuat pindaan dari segi yuran di mana selepas ini mereka yang mahu mendaftar sebagai ahli hanya membuat bayaran sekali sahaja dan tiada lagi yuran tahunan.

"Mereka yang mahu menjadi ahli PAPTI selepas ini hanya perlu membayar RM10 sebagai yuran pendaftaran dan RM40 untuk yuran keahlian. Bayaran dibuat sekali sahaja seumur hidup.

"Bagi pemohon Ahli Bersekutu hanya perlu membayar RM10 sebagai yuran pendaftaran dan tiada yuran keahlian, melainkan mereka sudah tamat pengajian, mereka boleh memohon menjadi ahli biasa dan membuat bayaran yuran keahlian RM40 sahaja," katanya.

Untuk rekod, bayaran yuran sebelum ini ialah RM10 untuk bayaran pendaftaran manakala yuran tahunan pula sebanyak RM10.

Lukman berkata, pindaan perlembagaan itu bagaimanapun hanya boleh dikuatkuasakan selepas mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan.