PAPTI tidak lupa peranan anak muda
Lulusan Indonesia terutama angkatan 2000 dan sehingga kini walaupun masih muda tetapi ada dalam kalangan mereka sudah menempa nama dalam bidang tertentu.
Sehubungan itu, sempena Malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang berlangsung baru-baru ini, tiga nama yang mempunyai kedudukan tersendiri telah diangkat sebagai penerima Anugerah Ikon PAPTI 2015.
Ketiga-tiga nama tersebut ialah Dr Mohd Lutfi Lokman, yang menempa nama sebagai seorang aktivis masyarakat di peringkat antarabangsa, Dr Mohd Rizal Abdul Rahman yang menceburi bidang politik sehingga memenangi kerusi Ahli Parlimen Belia bagi negeri Kedah serta blogger terkenal, Dr Fatin Liyana Asri.
Presiden PAPTI, Lukman Ismail dalam ucapannya berkata, pencapaian ketiga-tiga ikon ini diharap dapat dijadikan motivasi dan contoh kepada anak-anak muda masa kini.
Beliau turut berharap para penerima anugerah ikon tersebut dapat menjadi duta kepada PAPTI dan menarik rakan-rakan dan generasi seangkatan mereka untuk mengenali, mendekati dan menyertai PAPTI.