PAPTI mahu lebih ramai pelajar dihantar ke Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Disember 07, 2015
DATO Seri Idris Jusoh menyerahkan Anugerah Tokoh PAPTI 2015 kepada Dr Abdul Karim Tajuddin iaitu anak tempatan pertama yang menjadi pakar forensik.
KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mahukan kerajaan menghantar lebih ramai pelajar ke institusi pengajian tinggi di Indonesia, pada masa depan.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, ini kerana negara jiran itu bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu tetapi juga kos sara hidup dan yuran pengajiannya tidak terlalu tinggi.

Menurut beliau, kerajaan juga tidak seharusnya memberikan tumpuan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi semata-mata tetapi perlu juga menghantar pelajar dalam bidang-bidang pengajian lain seperti senibina, perfileman dan kandungan kreatif.

"Sejak tahun-tahun 1960-an, institusi pengajian tinggi di Indonesia telah melahirkan lulusan dalam pelbagai bidang dan lulusan mereka telah memperoleh pencapaian tertinggi mereka.

"Justeru, adalah menjadi kewajaran bagi kerajaan untuk terus menghantar para pelajar kita melanjutkan pengajian di Indonesia," katanya ketika berucap pada majlis Malam Himpunan Alumni Indonesia, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini baru-baru ini.

Majlis himpunan alumni Indonesia yang julung-julung kali diadakan itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Hadir sama, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Seramai lebih 500 alumni Indonesia menghadiri perhimpunan tersebut, yang merangkumi semua angkatan mulai tahun-tahun 1960-an sehingga hari ini.

Pada majlis itu tiga kategori anugerah turut diberikan iaitu Anugerah Jasamu Dikenang yang diberikan kepada pengasas dan mantan-mantan presiden PAPTI, Anugerah Ikon PAPTI 2015 kepada alumni generasi baru dan Anugerah Tokoh PAPTI 2015 kepada para alumni yang mencapai tahap tertinggi dalam bidang masing-masing.

Lukman berkata, PAPTI juga amat berharap agar kerajaan memberikan lebih banyak pengiktirafan kepada kursus-kursus yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi di negara itu.

Katanya, pengiktirafan itu penting bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pengajian mereka di sana.

Pada majlis itu, Lukman turut mengumumkan cadangan penubuhan sebuah yayasan oleh PAPTI bagi menyediakan dana pendidikan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, jika cadangan itu dipersetujui oleh ahli-ahli PAPTI, yayasan itu dijangka dapat dilancarkan tahun depan.
Categories: ,