Kerangka kerja ASEAN selesai isu pengiktirafan ijazah Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Disember 04, 2015
BARISAN Ahli Majlis PAPTI bergambar bersama Datuk Seri Idris Jusoh (duduk dua kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Tinggi itu di pejabatnya, 4 Disember lalu.
PUTRAJAYA: Kerangka Kerja Pendidikan ASEAN yang sedang dibentuk antara negara-negara rantau ini bakal menyelesaikan isu berkaitan pengiktirafan ijazah yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerangka kerja itu jika dilaksana kelak juga membolehkan setiap universiti terlibat membuat pemindahan kredit tanpa sebarang sekatan.

Bagaimanapun katanya, kerangka kerja itu dijangka hanya dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Dengan adanya ASEAN Qualification Framework ini, secara automatik ijazah-ijazah yang ditawarkan oleh universiti yang terlibat akan diiktiraf, tak kira bidang kursus apa pun. Kita di Malaysia sudah ada MQA, kalau Indonesia sudah laksanakan MQA sendiri maka masalah pengiktirafan tidak lagi timbul," katanya.

Idris menyatakan demikian ketika menerima kunjungan hormat Ahli-ahli Majlis Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) diketuai oleh Presidennya, Lukman Ismail di pejabat beliau, di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu PAPTI turut menyerahkan memorandum kepada Idris yang antara lain turut menggesa kerajaan mengiktiraf lebih banyak bidang kursus dari universiti-universiti di Indonesia.

Selain itu PAPTI juga menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi menghantar lebih ramai pelajar ke Indonesia dan tidak hanya memfokuskan kepada bidang-bidang pengajian perubatan, pergigian serta farmasi semata-mata.

Persatuan itu turut mahukan kerajaan memantau ejen-ejen penghantaran pelajar Malaysia ke negara jiran itu memandangkan mereka mengenakan bayaran yang terlalu tinggi kepada calon-calon pelajar yang mahu melanjutkan pengajian di sana.

Pada pertemuan kira-kira 15 minit itu, Idris turut diperkenalkan barisan Ahli Majlis PAPTI serta memberikan penerangan ringkas mengenai perjalanan Malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang dilangsungkan esok.