Pinda perlembagaan: Keahlian PAPTI lebih terbuka, tiada lagi yuran tahunan

Barisan Ahli Majlis yang akan menerajui PAPTI bagi tahun 2015 hingga 2017 selepas pemilihannya di UPM Serdang, 26 Disember lalu.
SERDANG -  Keahlian Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) akan lebih terbuka selepas pindaan perlembagaan persatuan itu, termasuk berkaitan jenis keahlian diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Sabtu lepas.

Melalui pindaan tersebut PAPTI membuka penyertaan keahlian kepada mana-mana rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pengajian mereka di Indonesia, walaupun tidak menamatkan pengajian mereka.

Di bawah pindaan tersebut, para mahasiswa Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di negara jiran itu juga boleh mendaftar sebagai Ahli Bersekutu persatuan.

Ini berbeza sebelum pindaan apabila Ahli Biasa PAPTI hanya terbuka kepada warganegara Malaysia yang lulus di mana-mana institusi pengajian tinggi sahaja manakala Ahli Bersekutu kepada individu yang tidak menamatkan pengajian.

Sementara bagi mahasiswa pula tidak boleh menjadi ahli sehinggalah mereka pulang ke tanah air selepas pengajian.

Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail ketika membentangkan usul tersebut berkata, pindaan berhubung keahlian itu bagi menarik lebih ramai lulusan Indonesia untuk menganggotai persatuan ini.

Katanya, selain syarat keahlian PAPTI juga membuat pindaan dari segi yuran di mana selepas ini mereka yang mahu mendaftar sebagai ahli hanya membuat bayaran sekali sahaja dan tiada lagi yuran tahunan.

"Mereka yang mahu menjadi ahli PAPTI selepas ini hanya perlu membayar RM10 sebagai yuran pendaftaran dan RM40 untuk yuran keahlian. Bayaran dibuat sekali sahaja seumur hidup.

"Bagi pemohon Ahli Bersekutu hanya perlu membayar RM10 sebagai yuran pendaftaran dan tiada yuran keahlian, melainkan mereka sudah tamat pengajian, mereka boleh memohon menjadi ahli biasa dan membuat bayaran yuran keahlian RM40 sahaja," katanya.

Untuk rekod, bayaran yuran sebelum ini ialah RM10 untuk bayaran pendaftaran manakala yuran tahunan pula sebanyak RM10.

Lukman berkata, pindaan perlembagaan itu bagaimanapun hanya boleh dikuatkuasakan selepas mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan.
Share:

AGM PAPTI: Barisan kepimpinan lama dikekalkan

Sebahagian ahli-ahli PAPTI bergambar bersama-sama barisan kepimpinan baharu persatuan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 PAPTI di UPM Serdang hari ini.
SERDANG - Hampir kesemua barisan Ahli Majlis sesi lalu diketuai Presiden, Sdr Lukman Ismail dikekalkan pada sesi pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) di sini hari ini.

Turut dipilih semula ialah Timbalan Presiden, Dato' Dr Abdul Latif Awang serta lima Ahli Majlis yang lain itu Setiausaha Agung, Pn Hasnah Ismail, Prof Madya Dr Ismail Abdullah, Sdr Mohamad Nasarudin Ab Rais, Ir Onn Mohd Yusof  dan Dr Norlee Hazaniza Ahmad.

Manakala satu-satunya muka baharu yang dipilih ialah Dr Nasaruddin Othman.

Lukman berkata, beliau akan melantik lima Ahli Majlis tambahan bagi mengisi kuota barisan kepimpinan PAPTI bagi penggal baharu ini termasuk mengekalkan Bendahari Agung sebelum ini, Dr Dasrilsyah Syahrial.

"Terima kasih kepada ahli-ahli PAPTI yang hadir hari ini kerana memberi kepercayaan sekali lagi kepada saya untuk menerajui persatuan ini serta mengekalkan sebahagian besar barisan Ahli Majlis sebelum ini.

"Sesungguhnya kepercayaan yang diberikan ahli-ahli merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar, lebih-lebih lagi bagi memastikan PAPTI terus utuh sebagai sebuah persatuan alumni yang diyakini dan dihormati," katanya.

Pada mesyuarat itu, tiga lembaga pemegang amanah PAPTI turut dipilih. Mereka ialah Prof. Emeritus Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin, Prof Dr Saberi Othman dan Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir.

Berikut senarai Ahli Majlis sesi 2015-2017 yang dipilih pada kali ini:

Presiden : Sdr Lukman bin Ismail

Timbalan Presiden : Dato' Dr Abdul Latif Awang

Enam Ahli Majlis:
1. Ir Onn bin Mohd Yusof
2. Prof Madya Dr Ismail Abdullah
3. Sdr Mohamad Nasarudin bin Ab Rais
4. Pn Hasnah binti Ismail
5. Dr Norlee Hazaniza binti Ahmad
6. Dr Nasaruddin bin Othman

Juruaudit:
1. Sdr Abdul Rahman bin Mat
2. Prof Madya Abdul Malek bin Md Yusof
Share:

Penerima anugerah pada malam Himpunan Alumni Indonesia 2015

Berikut senarai penerima anugerah PAPTI sempena malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 5 Disember 2015 lalu.

ANUGERAH JASAMU DIKENANG:
Anugerah diberikan kepada para pengasas PAPTI dan mantan-mantan presiden yang telah banyak menyumbang jasa kepada persatuan ini.

PROF EMERITUS DATUK ABU BAKAR BIN ABD HAMID - Presiden 1982-1985

PROF DR SABERI BIN OTHMAN - Presiden 1995-2005

PROF MADYA DR ISMAIL BIN ABDULLAH - Presiden 2005-2009
Lain-lain penerima ialah Allahyarham Tan Sri Mohamed bin Rahmat (Presiden 1975-1982), Datuk Mohd Noor bin Yusof (Pengerusi Penaja 1975) dan Dr Shamsul Bahar bin Abdul Kadir (Presiden 1985-1995 dan 2009-2013).

ANUGERAH IKON PAPTI 2015:
Anugerah ini diberikan kepada alumni generasi muda yang mencipta nama di luar bidang keilmuan mereka serta menjadi idola kepada masyarakat. Tiga alumni dipilih kali ini.

DR MOHD LUTFI BIN LOKMAN - Aktivis masyarakat

DR MOHD RIZAL BIN ABDUL RAHMAN - Ahli Parlimen Belia

DR FATIN LIYANA BINTI ASRI - Blogger

ANUGERAH TOKOH PAPTI 2015:
Anugerah diberikan kepada lulusan Indonesia yang mencipta nama besar dalam bidang masing-masing dan telah banyak menyumbang kepada agama dan negara serta mencipta nama di peringkat global.

PROF EMERITUS TAN SRI DR MOHAMED SALLEH BIN MOHAMED YASIN - Mantan Naib Canselor UKM dan Manipal International University  menerima anugerah Tokoh PAPTI (Akademik)

DATO IR ABDUL HAK BIN MD AMIN - Pengarah Urusan EA Technique Berhad menerima anugerah Tokoh PAPTI (Korporat) 
PROF DR ABDUL KARIM BIN TAJUDDIN - Pakar forensik tempatan pertama menerima anugerah Tokoh PAPTI (Perubatan)

PROF DR ZHARI BIN ISMAIL - Pensyarah USM dan banyak terlibat dalam halal industri menerima anugerah Tokoh PAPTI (Sains)

PROF DR SITI ZAINON BINTI ISMAIL - Penulis sastera dan pelukis menerima anugerah Tokoh PAPTI (Kebudayaan)

Share:

Sekitar Himpunan Alumni Indonesia 2015

Gambar-gambar yang dirakam jurukamera PAPTI pada majlis makan malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu. Majlis dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Hadir sama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Bpk Herman Prayitno.





















Share:

Teks ucapan Presiden PAPTI semasa Himpunan Alumni Indonesia

Berikut adalah teks ucapan penuh Presiden PAPTI semasa Malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang berlangsung pada 5 Disember lalu:



TEKS UCAPAN
LUKMAN BIN ISMAIL
PRESIDEN PERSATUAN ALUMNI PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA
PADA MALAM HIMPUNAN ALUMNI INDONESIA 2015
DI DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC KUALA LUMPUR
PADA 5 DISEMBER 2015 BERSAMAAN 23 SAFAR 1437

  
TERIMA KASIH TUAN/PUAN PENGERUSI MAJLIS

YANG BERHORMAT DATO SERI IDRIS BIN JUSOH,
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA

YANG TERHORMAT BAPAK HERMAN PRAYITNO
DUTA BESAR INDONESIA DI MALAYSIA

YANG BERBAHAGIA DIF-DIF TERHORMAT,  TAN SRI-TAN SRI, DATO SERI-DATO SERI, DATO’-DATO’, DATIN-DATIN, BARISAN AHLI MAJLIS PAPTI, AHLI-AHLI PERSATUAN ALUMNI PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA, PARA ALUMNI  INDONESIA, RAKAN-RAKAN MEDIA SETERUSNYA PARA HADIRIN SEKALIAN

ALHAMDULILLAH BERSYUKUR KEPADA ALLAH S.W.T KERANA KERANA DENGAN LIMPAH KURNIANYA KITA DAPAT BERKUMPUL PADA MALAM INI DI DEWAN YANG TERSERGAM INDAH INI UNTUK MERAIKAN MALAM HIMPUNAN ALUMNI INDONESIA YANG JULUNG-JULUNG KALINYA DIADAKAN.

SEBELUM ITU TERLEBIH DAHULU SAYA BAGI PIHAK SELURUH BARISAN AHLI MAJLIS DAN AHLI-AHLI PERSATUAN ALUMNI PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA INGIN MERAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH TIDAK TERHINGGA KEPADA YB DATO SERI IDRIS BIN JUSOH KERANA DALAM KESIBUKAN BELIAU MASIH SUDI UNTUK HADIR PADA MALAM INI, SEKALI GUS MENJADIKAN MALAM HIMPUNAN ALUMNI INDONESIA YANG DIADAKAN BERSEMPENA SAMBUTAN 40 TAHUN PENUBUHAN PERSATUAN INI, LEBIH BERMAKNA KEPADA KAMI.

DATO SERI,

WALAUPUN KALI PERTAMA HIMPUNAN SEPERTI INI DIADAKAN NAMUN ALHAMDULILLAH SAMBUTAN YANG KAMI TERIMA AMAT MENGGALAKKAN. MEREKA YANG HADIR PADA MALAM INI TERDIRI DARIPADA KALANGAN ALUMNI JAKARTA (MANA ALUMNI JAKARTA ANGKAT TANGAN NAK TENGOK BERAPA RAMAI?), BANDUNG? YOGYAKARTA? SEMARANG? SURABAYA? BALI? UJUNG PANDANG? MEDAN? PEKAN BARU? ADALAGI KOTA-KOTA YANG TIDAK SEBUT? (TERIMA KASIH) DAN DARI PELBAGAI GENERASI MULAI ANGKATAN 50-AN LAGI, 60-AN, 70-AN, 80-AN SEHINGGA KE GENERASI ALAF BARU SERTA MEREKA YANG BAHARU MENAMATKAN PENGAJIAN DAN KEMBALI KE TANAH AIR. INI MERUPAKAN SATU PENCAPAIAN BESAR BAGI PAPTI MEMANDANGKAN BUKAN SUATU PERKARA YANG MUDAH UNTUK MENGUMPUL SEBEGINI RAMAI KALANGAN ALUMNI DI BAWAH SATU BUMBUNG. SAYA PERCAYA MASIH RAMAI RAKAN-RAKAN ALUMNI YANG MAHU HADIR PADA MALAM INI TETAPI MEMANDANGKAN KETERBATASAN RUANG MAKA JUMLAH KEHADIRAN TERPAKSA DIHADKAN. INSYA-ALLAH JIKA ADA PELUANG, KITA AKAN MENGADAKAN LAGI HIMPUNAN SEPERTI INI DAN BERHARAP LEBIH RAMAI ALUMNI TERMASUK DARI WILAYAH-WILAYAH LAIN YANG TIDAK DAPAT BERSAMA MALAM INI. MUNGKIN KITA BOLEH MENGADAKANNYA DI DATARAN MERDEKA SELEPAS INI, SIAPA TAHU. SEBENARNYA PERKARA ITU TIDAK MUSTAHIL MEMANDANGKAN JUMLAH ALUMNI INDONESIA PADA HARI INI MENCAPAI PULUHAN RIBU ORANG.  

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN;

40 TAHUN SEBAGAI SEBUAH PERSATUAN ALUMNI SUDAH PASTI BANYAK KENANGAN PAHIT MANIS DAN SUKA DUKA YANG KAMI LALUI. BUKAN MUDAH UNTUK MEMPERTAHANKAN SESUATU PERSATUAN DAN MASIH BERGERAK AKTIF SEPERTI INI JIKA BUKAN KERANA KECEKALAN DAN SEMANGAT YANG DITUNJUKKAN OLEH BARISAN KEPIMPINAN TERDAHULU. MEREKA MENGHADAPI SEGALA CABARAN INI DAN MEMPERTAHANKAN PAPTI DARIPADA LENYAP KERANA INILAH SATU-SATUNYA WADAH BAGI ALUMNI SELURUH INDONESIA UNTUK BERNAUNG. TERIMA KASIH KEPADA PARA PENGASAS, PARA PEMIMPIN DAN BARISAN JAWATANKUASA TERDAHULU YANG TELAH MEMBAWA PAPTI BERADA DI KEDUDUKAN TERSENDIRI DAN PERNAH MENGECAPI KEMASYURAN SEBAGAI SEBUAH PERSATUAN ALUMNI YANG DISEGANI.

ATAS KEPERCAYAAN KERAJAAN, PAPTI PERNAH DIBERI PERANAN MENGENDALIKAN KURSUS BAGI CALON-CALON PELAJAR YANG MAHU MENDUDUKI UJIAN MASUK PERGURUAN TINGGI NASIONAL INDONESIA, IAITU SYARAT WAJIB UNTUK MEMASUKI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI NEGARA ITU PADA TAHUN-TAHUN 1980-AN SEHINGGA PERTENGAHAN 1990-AN DAHULU. MALAH PERANAN PAPTI INI TURUT MENDAPAT PENGIKTIRAFAN OLEH KERAJAAN INDONESIA. MALANGNYA SEJAK 1997, PAPTI TIDAK LAGI MENGENDALIKAN KURSUS SEDEMIKIAN EKORAN KEPUTUSAN KERAJAAN MENGHENTIKAN PENGHANTARAN PELAJAR KE LUAR NEGARA TERMASUK KE INDONESIA DISEBABKAN KEGAWATAN EKONOMI PADA MASA ITU.

SEJAK ITU NAMA PAPTI SEOLAH-OLAH LENYAP BUKAN SAHAJA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAHAN DALAM KALANGAN PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI INDONESIA DAN ALUMNI GENERASI MUDA. INI KERANA PARA PELAJAR YANG MAHU MELANJUTKAN PENGAJIAN MEREKA KE INDONESIA SELEPAS ITU TIDAK LAGI MELALUI PAPTI SEBALIKNYA SEMUANYA DIURUSKAN OLEH EJEN-EJEN SWASTA.

JUSTERU, PAPTI AMAT BERHARAP DAPAT SEKIRANYA DIBERI PELUANG DAN PERANAN SEKALI LAGI SEBAGAI BADAN YANG MENGENDALIKAN KURSUS-KURSUS PERSEDIAAN KEPADA CALON-CALON PELAJAR TAJAAN KERAJAAN KE INDONESIA. DENGAN PENGALAMAN YANG DIMILIKI OLEH AHLI-AHLI KAMI, KAMI BOLEH BERKONGSI DENGAN BAKAL-BAKAL MAHASISWA, LEBIH-LEBIH LAGI DARI SEGI PERSEDIAAN BAGI MENJALANI KEHIDUPAN SEBAGAI SEORANG PELAJAR DI INDONESIA.

DATO’ SERI, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN;

KETIKA SAYA DITERIMA MASUK KE UNIVERSITAS AIRLANGGA, SURABAYA PADA TAHUN 1989 DAHULU, RAMAI KALANGAN SAUDARA MARA DAN ORANG KAMPUNG BERTANYA KENAPA SAYA MEMILIH INDONESIA SEBAGAI DESTINASI UNTUK MELANJUTKAN PENGAJIAN. SOALAN YANG SERING MEREKA LONTARKAN … “IKTIRAF KE?”. SEBENARNYA PENCAPAIAN DAN KEJAYAAN LULUSAN INDONESIA SEJAK TAHUN-TAHUN 1960-AN SEHINGGA KINI TIDAK DAPAT DINAFIKAN LAGI. RAMAI KALANGAN ALUMNI PAPTI TERMASUK YANG BERADA DI DALAM DEWAN INI BOLEH DIJADIKAN CONTOH BAHAWA LULUSAN INDONESIA SEBETULNYA SETANDING MALAH ADA YANG LEBIH BAIK BERBANDING INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI NEGARA-NEGARA BARAT. INSTITUSI INI TELAH MELAHIRKAN TOKOH-TOKOH DALAM PELBAGAI BIDANG SEPERTI POLITIK, KORPORAT, AKADEMIK, PERUBATAN, SAINTIS SEHINGGALAH KEPADA GURU-GURU PAKAR DAN GURU CEMERLANG DI SEKOLAH-SEKOLAH SELURUH NEGARA. JUSTERU, BERSEMPENA 40 TAHUN PAPTI INI, KAMI AKAN MEMBERIKAN PENGIKTIRAFAN KEPADA SEBAHAGIAN KECIL LULUSAN INDONESIA YANG TELAH MENCAPAI KEJAYAAN DAN KEGEMILANGAN DALAM BIDANG-BIDANG MASING-MASING. SUDAH TENTU RAMAI LAGI ALUMNI INDONESIA YANG MEMPEROLEH PENCAPAIAN TERTINGGI DALAM BIDANG YANG DICEBURI MEREKA, YANG BEGITU PANJANG UNTUK DISENARAIKAN SATU-PERSATU. INI MENUNJUKKAN PRODUK LULUSAN INDONESIA JUGA ADALAH BERKUALITI TINGGI DAN SUDAH MELAHIRKAN INSAN-INSAN YANG SANGAT BERGUNA UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA TERCINTA, WALAUPUN PADA AWALNYA LULUSAN INDONESIA DIPANDANG SINIS OLEH SESETENGAH MASYARAKAT.

TIADA YANG MUDA, TIADALAH YANG TUA. PAPTI JUGA TIDAK LUPA PERANAN YANG DIMAINKAN OLEH KALANGAN ALUMNI GENERASI MUDA. MEREKA TELAH MELETAKKAN NAMA MEREKA SEBAGAI IDOLA MASYARAKAT. LEBIH MEMBANGGAKAN PENCAPAIAN YANG DIPEROLEH MEREKA BUKAN KERANA BIDANG KEILMUAN YANG MEREKA PELAJARI DI INDONESIA, TETAPI LEBIH DARIPADA ITU. INILAH YANG PERLU DICONTOHI OLEH PARA GENERASI MUDA LAIN HARI INI DAN AKAN DATANG. MEREKA YANG DIPILIH SEBAGAI PENERIMA ANUGERAH IKON PAPTI INI DIHARAP JUGA DAPAT MENJADI DUTA KEPADA PERSATUAN INI UNTUK MENARIK LEBIH RAMAI ALUMNI GENERASI BARU MENGENALI, MENDEKATI DAN MENGANGGOTAI PAPTI.

MENGAMBIL KIRA PENCAPAIAN TERSEBUT, PAPTI AMAT BERHARAP AGAR KERAJAAN KHUSUSNYA KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TERUS MENGHANTAR PARA PELAJAR KITA KE INDONESIA DAN PAPTI BERHARAP JUMLAH ITU DAPAT DIGANDAKAN BERBANDING SEKARANG. PAPTI JUGA BERHARAP KERAJAAN MALAYSIA MENGIKTIRAF LEBIH BANYAK BIDANG PENGAJIAN DARI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI INDONESIA DAN TIDAK HANYA TERTUMPU DALAM BIDANG PERUBATAN, PERGIGIAN DAN FARMASI SEMATA-MATA. INI KERANA INDONESIA JUGA MEMILIKI BANYAK KEPAKARAN LAIN YANG KURANG DITAWARKAN OLEH INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI TINGGI TEMPATAN SEPERTI SENI BINA, KEJURUTERAAN PENERBANGAN, KEJURUTERAAN MARIN, PERFILEMAN DAN KANDUNGAN KREATIF. SEMENTELAH KOS SARA HIDUP DAN YURAN PENGAJIANNYA JUGA  TIDAKLAH TERLALU TINGGI. PADA MASA YANG SAMA, PAPTI BERHARAP AGAR PEMERINTAH INDONESIA DAPAT MEMBUKA PINTU LEBIH LUAS KEPADA PARA MAHASISWA DARI MALAYSIA UNTUK MENGIKUTI KULIAH DI UNIVERSITAS-UNIVERSITAS DI SELURUH INDONESIA.

AKHIRUL KALAM, SAYA MEWAKILI SELURUH JAWATANKUASA PELAKSANA SAMBUTAN 40 TAHUN PAPTI INGIN MERAKAMKAN JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA PARA PENAJA KHUSUSNYA E.A TECHNIQUE YANG SEDIA MENJADI PENAJA UTAMA SAMBUTAN, DI SAMPING SYARIKAT-SYARIKAT KORPORAT, BADAN BERKANUN, PIHAK SWASTA SERTA INDIVIDU-INDIVIDU YANG MEMBERIKAN PENAJAAN DAN SUMBANGAN SEHINGGA MALAM HIMPUNAN ALUMNI INDONESIA 2015 INI DAPAT DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA.

JUGA TIDAK LUPA KEPADA SELURUH BARISAN AHLI MAJLIS PAPTI, AHLI-AHLI PAPTI DAN PARA ALUMNI INDONESIA YANG HADIR PADA MALAM INI. TANPA KEHADIRAN ANDA SEMUA, MAJLIS KITA INI TIDAK DAPAT DIJAYAKAN.

SAYA JUGA MENYERU KEPADA PARA ALUMNI YANG BELUM MENDAFTAR SEBAGAI AHLI PAPTI DAPATLAH SEKIRANYA MENGANGGOTAI PERSATUAN INI KERANA TANPA AHLI SESEBUAH PERSATUAN BOLEH TERKUBUR. JUSTERU, BAGI MEMASTIKAN KELESTARIAN PAPTI, KAMI AMAT BERHARAP PENYERTAAN KALANGAN GENERASI MUDA DALAM PAPTI DAN KALIANLAH PEWARIS PERSATUAN INI PADA MASA DEPAN. UNTUK ITU PIHAK URUS SETIA TELAH MEMBUKA KAUNTER PENDAFTARAN AHLI DI LUAR DEWAN DENGAN BAYARAN MINIMUM 10 RINGGIT SAHAJA. 

DIKESEMPATAN INI JUGA SAYA MENJEMPUT AHLI-AHLI PAPTI UNTUK MENGHADIRI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PAPTI YANG KE-22, YANG AKAN DIADAKAN PADA 26 DISEMBER INI BERMULA 10 PAGI DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, DI SERDANG, YANG NOTISNYA SAYA DIFAHAMKAN TELAH DIEDARKAN OLEH SETIAUSAHA AGUNG PADA MALAM INI.

SEKIAN, WABILLAHITAUFIK WALHIDAYAH
WASSALAMUALAIKUAM WARAHMATULLAHI WABAROKATUH
DAN TERIMA KASIH

Share:

PAPTI tidak lupa peranan anak muda

PENERIMA Anugerah Ikon PAPTI, Dr Mohd Rizal Abdul Rahman (kiri), Dr Mohd Lutfi Lokman (dua kiri) dan Dr Fatin Liyana Asri bergambar bersama Dato Seri Idris Jusoh (dua kanan), Presiden PAPTI, Lukman Ismail (tiga kanan) dan timbalannya, Dato Dr Abdul Latif Awang.
KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) tidak pernah lupa peranan yang dimainkan generasi muda lulusan Indonesia terutama dalam mengangkat nama mereka di persada tanah air.

Lulusan Indonesia terutama angkatan 2000 dan sehingga kini walaupun masih muda tetapi ada dalam kalangan mereka sudah menempa nama dalam bidang tertentu.

Sehubungan itu, sempena Malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang berlangsung baru-baru ini, tiga nama yang mempunyai kedudukan tersendiri telah diangkat sebagai penerima Anugerah Ikon PAPTI 2015.

Ketiga-tiga nama tersebut ialah Dr Mohd Lutfi Lokman, yang menempa nama sebagai seorang aktivis masyarakat di peringkat antarabangsa, Dr Mohd Rizal Abdul Rahman yang menceburi bidang politik sehingga memenangi kerusi Ahli Parlimen Belia bagi negeri Kedah serta blogger terkenal, Dr Fatin Liyana Asri.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail dalam ucapannya berkata, pencapaian ketiga-tiga ikon ini diharap dapat dijadikan motivasi dan contoh kepada anak-anak muda masa kini.

Beliau turut berharap para penerima anugerah ikon tersebut dapat menjadi duta kepada PAPTI dan menarik rakan-rakan dan generasi seangkatan mereka untuk mengenali, mendekati dan menyertai PAPTI.
Share:

PAPTI mahu lebih ramai pelajar dihantar ke Indonesia

DATO Seri Idris Jusoh menyerahkan Anugerah Tokoh PAPTI 2015 kepada Dr Abdul Karim Tajuddin iaitu anak tempatan pertama yang menjadi pakar forensik.
KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mahukan kerajaan menghantar lebih ramai pelajar ke institusi pengajian tinggi di Indonesia, pada masa depan.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, ini kerana negara jiran itu bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu tetapi juga kos sara hidup dan yuran pengajiannya tidak terlalu tinggi.

Menurut beliau, kerajaan juga tidak seharusnya memberikan tumpuan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi semata-mata tetapi perlu juga menghantar pelajar dalam bidang-bidang pengajian lain seperti senibina, perfileman dan kandungan kreatif.

"Sejak tahun-tahun 1960-an, institusi pengajian tinggi di Indonesia telah melahirkan lulusan dalam pelbagai bidang dan lulusan mereka telah memperoleh pencapaian tertinggi mereka.

"Justeru, adalah menjadi kewajaran bagi kerajaan untuk terus menghantar para pelajar kita melanjutkan pengajian di Indonesia," katanya ketika berucap pada majlis Malam Himpunan Alumni Indonesia, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini baru-baru ini.

Majlis himpunan alumni Indonesia yang julung-julung kali diadakan itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Hadir sama, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Seramai lebih 500 alumni Indonesia menghadiri perhimpunan tersebut, yang merangkumi semua angkatan mulai tahun-tahun 1960-an sehingga hari ini.

Pada majlis itu tiga kategori anugerah turut diberikan iaitu Anugerah Jasamu Dikenang yang diberikan kepada pengasas dan mantan-mantan presiden PAPTI, Anugerah Ikon PAPTI 2015 kepada alumni generasi baru dan Anugerah Tokoh PAPTI 2015 kepada para alumni yang mencapai tahap tertinggi dalam bidang masing-masing.

Lukman berkata, PAPTI juga amat berharap agar kerajaan memberikan lebih banyak pengiktirafan kepada kursus-kursus yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi di negara itu.

Katanya, pengiktirafan itu penting bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pengajian mereka di sana.

Pada majlis itu, Lukman turut mengumumkan cadangan penubuhan sebuah yayasan oleh PAPTI bagi menyediakan dana pendidikan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, jika cadangan itu dipersetujui oleh ahli-ahli PAPTI, yayasan itu dijangka dapat dilancarkan tahun depan.
Share:

Kerjasama Malaysia-Indonesia diperkukuh melalui pendidikan (video)


KUALA LUMPUR: Kerjasama dua hala antara Malaysia-Indonesia dapat diperkukuh lagi terutama dalam bidang pendidikan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sudah ada usaha ke arah pelaksanaan kelayakan pendidikan yang sama diiktiraf dalam kalangan negara ASEAN termasuk Indonesia.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Alumni Indonesia di ibu negara malam tadi.

Majlis ini dihadiri lebih 500 rakyat Malaysia lulusan institusi pengajian tinggi Indonesia diadakan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia, PAPTI.

Beliau turut menyampaikan tiga anugerah iaitu Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Ikon PAPTI, serta Anugerah Tokoh PAPTI kepada ahli yang berjaya dalam bidang masing masing. - Buletin TV3, 6 Disember 2015
Share:

Kerangka kerja ASEAN selesai isu pengiktirafan ijazah Indonesia

BARISAN Ahli Majlis PAPTI bergambar bersama Datuk Seri Idris Jusoh (duduk dua kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Tinggi itu di pejabatnya, 4 Disember lalu.
PUTRAJAYA: Kerangka Kerja Pendidikan ASEAN yang sedang dibentuk antara negara-negara rantau ini bakal menyelesaikan isu berkaitan pengiktirafan ijazah yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerangka kerja itu jika dilaksana kelak juga membolehkan setiap universiti terlibat membuat pemindahan kredit tanpa sebarang sekatan.

Bagaimanapun katanya, kerangka kerja itu dijangka hanya dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Dengan adanya ASEAN Qualification Framework ini, secara automatik ijazah-ijazah yang ditawarkan oleh universiti yang terlibat akan diiktiraf, tak kira bidang kursus apa pun. Kita di Malaysia sudah ada MQA, kalau Indonesia sudah laksanakan MQA sendiri maka masalah pengiktirafan tidak lagi timbul," katanya.

Idris menyatakan demikian ketika menerima kunjungan hormat Ahli-ahli Majlis Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) diketuai oleh Presidennya, Lukman Ismail di pejabat beliau, di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu PAPTI turut menyerahkan memorandum kepada Idris yang antara lain turut menggesa kerajaan mengiktiraf lebih banyak bidang kursus dari universiti-universiti di Indonesia.

Selain itu PAPTI juga menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi menghantar lebih ramai pelajar ke Indonesia dan tidak hanya memfokuskan kepada bidang-bidang pengajian perubatan, pergigian serta farmasi semata-mata.

Persatuan itu turut mahukan kerajaan memantau ejen-ejen penghantaran pelajar Malaysia ke negara jiran itu memandangkan mereka mengenakan bayaran yang terlalu tinggi kepada calon-calon pelajar yang mahu melanjutkan pengajian di sana.

Pada pertemuan kira-kira 15 minit itu, Idris turut diperkenalkan barisan Ahli Majlis PAPTI serta memberikan penerangan ringkas mengenai perjalanan Malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang dilangsungkan esok.






Share:

Catatan Popular

Arkib Blog