Lebih 500 alumni Indonesia bakal berhimpun di PWTC 5 Disember

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, November 03, 2015
Presiden PAPTI, Lukman Ismail (kiri) ketika ditemu bual oleh DJ HY dalam segmen Perspektif Hujung Minggu, stesen radio Nasional FM, Ahad lepas.
KUALA LUMPUR: Lebih 500 rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pelajaran di Indonesia sejak tahun 1950-an sehingga ke hari ini dijangka akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Malam Himpunan Alumni Indonesia (HAI),  5 Disember ini.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Lukman Ismail berkata, inilah julung-julung kali pihaknya dapat menghimpun sebegitu ramai alumni Indonesia dalam satu majlis sejak 40 tahun penubuhan persatuan itu.

Menurutnya, jumlah itu berdasarkan hasil jualan 50 meja bagi majlis berbentuk makan malam itu yang kini sudah habis dijual menjelang sebulan lagi himpunan itu berlangsung.

"Perancangan awal PAPTI mahu mengumpul sehingga 1,000 alumni Indonesia tetapi memandangkan keterbatasan ruang maka kita hanya mampu menawarkan kepada 500 orang terawal sahaja. 

"Tetapi jumlah itu sudah memadai bagi kami memandangkan ini adalah program pertama seperti ini dianjurkan," katanya ketika sesi temu bual dalam segmen Perspektif Hujung Minggu di stesen radio Nasional FM, Ahad lepas.

Segmen itu dikendalikan oleh DJ HY, yang juga merupakan salah seorang alumni Indonesia lulusan dari Pekan Baru.

Lukman berkata, objektif utama HAI diadakan adalah bagi merapatkan hubungan antara sesama alumni Indonesia tanpa mengira di mana sahaja mereka belajar sebelum ini, mulai dari angkatan tahun-tahun 1950-an sehingga hari ini.

Katanya, ia diadakan bersempena sambutan 40 tahun penubuhan PAPTI di samping sebagai usaha memperkenalkan persatuan itu khususnya kepada kalangan generasi muda.

"Sebelum ini aktiviti kita banyak tertempu kepada kalangan ahli tetapi menerusi himpunan ini kita dapat menarik penyertaan semua alumni Indonesia dari Aceh sehingga ke Lampung, dari Jakarta sehingga ke Bali dan dari Makassar ke Menado.

"Kita juga berharap lebih ramai alumni angkatan muda dari angkatan 1990-an dan 2000-an dapat menghadiri majlis ini," katanya.

Categories: , ,