Malam Himpunan Alumni Indonesia 5 Disember di PWTC

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Oktober 02, 2015

PUTRAJAYA - Malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 yang bakal menghimpun ratusan rakyat Malaysia lulusan Indonesia akan berlangsung pada 5 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Program yang julung kali diadakan oleh Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) itu akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris bin Jusoh.

Presiden PAPTI, Sdr Lukman bin Ismail berkata, himpunan itu pada awalnya ditetapkan pada 28 November terpaksa ditunda kepada 5 Disember atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Saya bagi pihak seluruh jawatankuasa pelaksana Malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 memohon maaf kerana terpaksa meminda tarikh dan tempat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya memohon maaf atas kesulitan ini," katanya.

Himpunan Alumni Indonesia diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan PAPTI.

Lukman yang juga Pengerusi Jawatankuasa pelaksana berkata, seramai 500 alumni Indonesia dijangka menghadiri himpunan tersebut dan sehingga kini meja-meja untuk makan malam sudah hampir habis ditempah.

Katanya, harga bagi setiap meja tetap RM1,000 (untuk 10 orang) atau RM100 seorang. Tempahan meja boleh dibuat dengan menghubungi Pn Nor Aizan Abd Halim di talian 012-3205057 atau Dr Sadad Mahmud (013-9395888)

Pada malam tersebut PAPTI akan menyampaikan tiga anugerah  iaitu Anugerah Jasamu Dikenang yang akan diberikan kepada mantan-mantan presiden PAPTI, Anugerah Ikon PAPTI kepada generasi muda alumni yang dikenali masyarakat serta Anugerah Tokoh PAPTI kepada alumni yang berjaya menempa nama dalam bidang-bidang yang diceburi.

"Alumni Indonesia telah banyak mencipta nama dalam pelbagai bidang. Jika disenaraikan cukup panjang dan sewajarnya mereka turut diberikan pengiktirafan oleh PAPTI sendiri," katanya.
Categories: