Dua lagi Ahli Majlis tambahan dilantik

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, April 14, 2015

SERDANG - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) melantik dua muka baharu sebagai Ahli Majlis bagi memantapkan lagi persatuan itu bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dirancang selepas ini.

Dua muka baharu itu ialah Dr. Junaini Kasdan, lulusan Universitas Airlangga, Surabaya angkatan 1990 dan Syuhaidi Surani, alumni Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sunan Ampel, Surabaya dari angkatan 1997.

Kedua-dua wakil "orang muda"  itu melengkapkan kuota lantikan lima orang Ahli Majlis tambahan oleh Presiden PAPTI.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, Junaini akan mempengerusikan Biro Kebajikan manakala Syuhaidi pula akan mengetuai Biro Tugas-tugas yang sebelum ini di bawah Kama Azro Abu Bakar. Kama Azro akan mengepalai Biro Agama.

"Syuhaidi juga akan bertindak sebagai Setiausaha Kerja bagi PAPTI. Ia bagi melancarkan lagi pengurusan PAPTI khususnya dalam melaksanakan aktiviti, termasuk Himpunan Alumni Indonesia yang akan diadakan 28 November ini," katanya.

Beliau berkata, dengan pengalaman dan semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua Ahli Majlis baharu ini, perjalanan PAPTI selepas ini diharapkan lebih lancar.

Tiga lagi Ahli Majlis yang dilantik sebelum ini ialah Prof Dr Ismail Abdullah yang bertindak sebagai Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa, Dr Mohd Sadad Mahmod (Penolong Setiausaha Agung) serta Kama Azro.

Seorang lagi Ahli Majlis yang dilantik sebelum ini, Sdr Mohd Saidi Salleh digugurkan.

Sementara itu, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan untuk melantik Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat sebagai Wakil Perhubungan PAPTI di Jakarta.

Dr. Ahmad Nabieh, lulusan perubatan dari Universitas Trisakti, Jakarta akan menjadi wakil perhubungan PAPTI dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) dan Kedutaan Malaysia di Indonesia serta kerajaan Indonesia.