PAPTI harapkan ukhuwah alumni seluruh Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Mac 16, 2015
Presiden PAPTI, Lukman Ismail (duduk paling kiri) bersama kalangan alumni Surabaya ketika majlis Makan Malam dan Hari Keluarga Ukhuwah Surabaya, di Port Dickson baru-baru ini.
PORT DICKSON: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) menyambut baik usaha alumni Surabaya menganjurkan program ukuwah dalam kalangan mereka.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, melalui program seperti itu ia dapat memupuk semula hubungan kekeluargaan yang pernah terjalin ketika sama-sama melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Jawa Timur, Indonesia.

Bagaimanapun katanya, adalah menjadi harapan beliau untuk melihat satu program ukhuwah pada skala yang lebih besar diadakan yang melibatkan para alumni dari seluruh pelosok Indonesia.

"PAPTI memang ada merancang untuk mengadakan ukhuwah membabitkan seluruh alumni Indonesia. Kita berharap dapat menghimpun 1,000 alumni pada November ini sempena Ulang Tahun Ke-40 penubuhan PAPTI," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam dan Hari Keluarga Ukhuwah Surabaya, di Primaland Resort di sini pada 14 dan 15 Mac lalu. Lebih 100 alumni serta ahli keluarga masing-masing memeriahkan program itu.

Lukman berkata, bagi menjayakan usaha PAPTI itu, beliau mengharapkan sokongan dan kerjasama seluruh rakan alumni Indonesia termasuk dari Surabaya, dari semua angkatan.

Pada masa yang sama beliau mengalu-alukan penglibatan rakan-rakan lulusan Surabaya dalam PAPTI dengan menjadi ahli persatuan ini serta bergerak aktif dalam aktiviti yang dianjurkan.