Kenyataan Presiden PAPTI berhubung rotan anak sebagai kesalahan jenayah

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Januari 25, 2015
KENYATAAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berhubung cadangan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah sepertimana yang disiarkan oleh salah sebuah akhbar tempatan hari ini.
SAYA cukup terkejut dengan laporan media berhubung cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mahu memasukkan amalan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang baharu yang bakal digubal bagi menggantikan Akta Kanak-kanak 2001.

Jelas sekali kementerian berkenaan membuat cadangan tanpa mengkaji secara mendalam kesan baik dan buruk undang-undang itu jika dilaksanakan kelak.

Kementerian tidak boleh menjadikan perjanjian Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) yang turut ditandatangani oleh kerajaan Malaysia sebagai satu alasan untuk menjadikan cadangan agar si perotan, termasuk ibu bapa dan guru sebagai penjenayah.

Seharusnya kementerian mengkaji secara mendalam berhubung CRC dan tidak boleh "menelan bulat-bulat" perjanjian tersebut yang sudah pasti dibuat berdasarkan perspektif Barat.

Walaupun Malaysia turut menandatangani perjanjian CRC tetapi sudah pasti ada perkara-perkara yang termaktub dalam perjanjian itu   yang tidak sesuai dilaksana di negara ini.

Bahkan kementerian juga perlu mengambil kira sudut pandang agama Islam yang membenarkan hukuman merotan sebagai didikan dan pengajaran kepada anak-anak seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, maksudnya:

"Gantunglah rotan di rumah kamu supaya dilihat oleh penghuni rumah, sesungguhnya rotan itu mengadabkan mereka,"

Justeru, saya bagi pihak Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) menyeru kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji semula cadangan tersebut demi kebaikan generasi akan datang.

Terima kasih

LUKMAN ISMAIL
Presiden PAPTI
25 Januari 2015
Categories: ,