Terengganu - Sumatera erat hubungan

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Disember 22, 2014
DATUK Dr Abdul Latiff Awang (kiri) ketika bertemua Wakil Gabenor Sumatera Utara, Tengku Erry Nuradi di Medan, Indonesia baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 21 Dis. - Terengganu menawarkan pilihan kepada kalangan pelajar di wilayah Sumatera Utara untuk melanjutkan pengajian mereka di pelbagai institusi pengajian di sini bagi merancakkan hubungan dua hala masyarakat dan kerajaan di dua buah negara.

Bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang berkata, dengan kemudahan penerbangan secara terus dari sini ke Medan kini, negeri ini yang masih suatu nama yang masih agak asing bagi masyarakat di sana dianggap semakin hampir dengan wilayah itu.

“Selama ini hubungan dalam konteks pendidikan di samping pelancongan dan ekonomi masih bersifat satu hala yang terarah ke Sumatera Utara dan kita berharap keadaan ini akan beransur-ansur berubah,” ujarnya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menyatakan demikian sewaktu merumuskan hasil lawatan singkat delegasi negeri ke Medan baru-baru ini bagi menemui pelbagai pihak di wilayah berkenaan sebelum satu nota persefahaman antara kerajaan dilakukan kelak.

“Melalui nota ini, akan dipergiatkan lagi hubungan dagang antara kedua-dua wilayah dan negeri, pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan juga pergerakan rakyat antara dua wilayah,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain Abdul Latiff yang merupakan anggota Kluster Pendidikan di bawah Pejabat Menteri Besar, rombongan itu turut disertai Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong dan Pengurus Kanan Tourism negeri, Ishamuddin Hashim bersama pegawai kanan kedua-dua agensi, Rahsli Mohamad dan Ahmad Fathil Abdul Ghani.

Wilayah Sumatera Utara mempunyai kira-kira 15 juta penduduk manakala Medan yang menjadi ibu kotanya menampung seramai 3 juta orang dengan penduduknya terdiri daripada pelbagai suku kaum termasuk Melayu, Mandailing, Minangkabau, Batak Toba dan Cina yang membuka pasaran cukup luas.

Semasa kunjungan, mereka mengadakan pertemuan dengan wakil Gabenor Sumatera Utara, Tengku Erry Nuradi, juga dengan para pemimpin alumni dan pengurusan Universiti Sumatera Utara di samping wakil pengurusan syarikat penerbangan Sriwijaya.

Rombongan itu juga menemui 47 pelajar anak negeri yang melanjutkan pengajian di tiga buah pusat pengajian tinggi di sana bagi meninjau keadaan mereka dalam majlis minum petang yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Terengganu, Bazlan Abdul Rahman; Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Ahmad Rozian Abdul Ghani dan Konsul Muda, Nor Azhar hajis.

Menurut Abdul Latiff, secara ke­seluruhannya, kira-kira 1,000 pelajar negara ini berada di pusat-pusat pengajian tinggi di Sumatera Utara yang mengikuti pengajian terutama dalam bidang perubatan dan agama.

“Tentunya aliran ini tidak seimbang dan dengan tahap perkembangan pusat pengajian tinggi di negeri ini termasuk institusi kemahiran, Terengganu boleh menawarkan alternatif kepada para pelajar di wilayah itu untuk melanjutkan pe­ngajian dalam lapangan tertentu.

“Begitu juga dengan sektor pelancongan, dengan penduduknya yang begitu ramai, kita boleh menawarkan kelainan yang terdapat di negeri ini termasuk pulau dan pantai indah yang tidak terdapat di sana,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) negeri Terengganu berkata, usahawan tempatan juga boleh meninjau potensi perniagaan di negara itu terutama dengan produk-produk tradisonal termasuk makanan dengan menjalin rantaian kerjasama dengan usahawan wilayah ber­kenaan. - Utusan Online 21 Disember 2014




Nota: Datuk Dr. Abdul Latiff Awang juga adalah Timbalan Presiden PAPTI.