Presiden PAPTI kunjungi Duta Palestin, sampaikan sumbangan ahli

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Oktober 12, 2014
DUTA Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al Agha (tengah) menerima cek sumbangan kemanusiaan daripada Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail (kanan) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Sdr Lukman Ismail dan Ahli Majlis PAPTI, Sdr Nasaruddin Ab Rais baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Al Agha di pejabatnya di sini.

Kunjungan tersebut bertujuan menyerahkan sumbangan kemanusiaan untuk rakyat Palestin hasil kutipan tabung bantuan yang dilancarkan oleh PAPTI bersempena majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung pada 23 Ogos lalu.

Pada pertemuan itu, Dr. Anwar menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ahli-ahli PAPTI kerana membantu meringankan beban rakyat Palestin yang sekian lama berhadapan dengan tentera Zionis Israel menjajah tanah air mereka.

Malah beliau amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang banyak menyumbang kepada negara itu termasuk bagi membina semula bangunan dan kediaman di Gaza yang musnah akibat serangan Zionis baru-baru ini.

"Walaupun satu sen pun sumbangan yang diberikan kami amat menghargainya. Sebab bukan nilai sumbangan yang kami lihat tetapi apa yang penting ialah sokongan dan dukungan kepada kami rakyat Palestin untuk membebaskan negara kami daripada penjajahan Israel," katanya.

Pada pertemuan selama sejam itu, Dr. Anwar menceritakan perkembangan yang berlaku di Gaza dan Baitulmaqdis yang kini dikuasai oleh Zionis Israel dengan bantuan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Manakala negara-negara jiran seperti Mesir, Syria dan Jordan pula tidak dapat membantu Palestin ekoran pergolakan dalam negara masing-masing yang dipercayai didalangi oleh puak-puak Zionis dan kuasa besar dunia.