Pertemuan Aidilfitri, pelancaran tabung Palestin PAPTI 23 Ogos

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Ogos 17, 2014
Keratan akhbar Utusan Malaysia keluaran 14 Ogos 2014.
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Ahli-ahli Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) khususnya yang berada di Lembah Klang dijemput menghadiri majlis sambutan Aidilfitri persatuan itu yang akan diadakan di Restoran Ombak, Kota Damansara dekat sini pada 23 Ogos ini.

Timbalan Presiden PAPTI, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang berkata, acara tahunan persatuan itu kali ini turut disertakan dengan pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin bagi mengutip sumbangan daripada ahli-ahli PAPTI untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berdepan serangan pengganas Zionis.

Menurut beliau, selain ahli PAPTI mana-mana rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pengajian di institusi pengajian di Indonesia turut dipelawa untuk menghadiri pertemuan tersebut.

"Inilah kali pertama kita menjemput mereka yang belum menjadi ahli PAPTI. Tujuannya adalah untuk mengumpul seberapa ramai lulusan Indonesia dari tahun-tahun 1970-an sehingga hari ini yang saya kira mencapai ribuan orang. Jadi, melalui sambutan seperti ini kita boleh merapatkan hubungan sesama alumni," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

PAPTI yang ditubuhkan sejak 1975 sehingga kini mempunyai kira-kira 300 ahli berdaftar.

Dr. Abdul Latiff berkata, rakan-rakan alumni khususnya generasi muda dari angkatan 1990-an dan ke atas adalah sangat dialu-alukan untuk menghadiri pertemuan tersebut memandangkan masih belum ramai daripada mereka yang melibatkan diri dalam persatuan ini.

"Kita memahami kesibukan mereka dengan tugas-tugas harian tetapi berharap mereka dapat meluangkan sedikit masa untuk bertemu dan berkumpul bersama rakan-rakan yang sama-sama belajar dahulu," katanya.

Kata beliau, mereka yang mahu menghadiri jamuan Aidilfitri lulusan Indonesia itu boleh menghubungi Penolong Setiausaha Agung PAPTI , Hasnah Ismail di talian 019-260 2220 selewat-lewatnya 20 Ogos ini.

Maklumat lanjut mengenai majlis tersebut boleh diperoleh menerusi laman web PAPTI, http://papti.blogspot.com atau Facebook Mypapti. - Utusan Malaysia, 14 Ogos 2014

Categories: , ,