PAPTI alu-alukan penubuhan Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Ogos 05, 2014
MAJLIS pelancaran Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera (Waris) di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Ogos lalu.
KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) menyambut baik langkah rakan-rakan daripada alumni Sumatera yang telah menubuhkan persatuan mereka sendiri yang dinamakan Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera (Waris) pada 1 Ogos lalu.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, Waris boleh memainkan peranannya menyatukan semula rakan-rakan alumni lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya dari kepulauan Sumatera setelah pulang ke tanah air.

"PAPTI sentiasa mengalu-alukan rakan-rakan untuk menubuhkan persatuan alumni masing-masing mengikut bandar dan kepulauan tempat mereka belajar dahulu. Sebab dengan adanya persatuan-persatuan dalam kumpulan kecil seperti Waris ini, ia memudahkan kita untuk menyatukan semula semua alumni Indonesia.

"Ini kerana cabaran utama PAPTI sejak sekian lama ialah untuk mengumpul semua alumni Indonesia dari seluruh kepulauan Indonesia tidak pernah berhasil. Sebab itu kita alu-alukan penubuhan Waris," katanya.

Waris dilaporkan telah ditubuhkan secara rasmi di Kota Bharu, Kelantan yang disempurnakan Ketua Protokol dan Adat Istiadat Negeri Melaka, Datuk Khamis Abu Samah. (Baca di sini)

Tiga objektif utama penubuhan Waris iaitu mempertemukan semula bekas-bekas pelajar Malaysia di Sumatera, mengeratkan silaturahim antara ahli dan mengenali ahli keluarga alumni.

Bagaimanapun Lukman berharap ahli-ahli PAPTI yang menyertai Waris tidak meninggalkan persatuan ini dan tetap bergerak aktif dalam aktiviti-aktiviti anjuran PAPTI.

"PAPTI telah ditubuhkan sejak 1975 dan keanggotaannya telah mencapai lebih 300 orang termasuk rakan-rakan lulusan Sumatera. Kita tidak mahu dengan adanya Waris ini menyebabkan ahli-ahli PAPTI  meninggalkan persatuan ini atau tidak mengaktifkan diri dalam kegiatan yang dianjurkan," katanya.