Jamuan Aidilfitri PAPTI sederhana tapi meriah... turut diserikan cabutan bertuah

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Ogos 24, 2014
PRESIDEN PAPTI, Lukman Ismail (kiri) bersama timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang (tengah) dan rakan-rakan alumni Indonesia lain sedang menjamu selera. 
PETALING JAYA: Majlis Jamuan Aidilfitri anak-anak Malaysia lulusan Indonesia 2014 anjuran Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) yang berlangsung di sini malam tadi mendapat sambutan menggalakkan.

Majlis yang diadakan di Restoran Ombak Steamboat, Kota Damansara di sini menyaksikan kehadiran kira-kira 100 lulusan Indonesia bersama keluarga masing-masing.

Presiden PAPTI dalam ucapannya gembira dengan jumlah kehadiran dan mengalu-alukan kehadiran beberapa "wajah baharu" di samping ahli-ahli yang tidak jemu-jemu menghadiri majlis anjuran PAPTI.

"Saya tengok malam ini ada yang wajah mereka selalu dilihat, ada yang jarang-jarang, ada yang kadang-kadang dan ada juga wajah-wajah yang baru pertama kali dilihat.

"Kami mengalu-alukan kehadiran semua dan berharap selepas ini dapat terus menerus menyokong semua aktiviti anjuran PAPTI," katanya.

Antara mereka yang hadir ialah tokoh pendidikan negara, Dato' Dr. Abdul Rahman Kaeh dan Naib Canselor Universiti MAHSA, Prof. Dato' Dr. Khairul Anuar Abdullah.

Pada majlis tersebut turut dilancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin PAPTI yang telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM1,305 dan Rp100,000 malam tadi.

Tabung tersebut akan dibuka sehinggga hujung Ogos ini sebelum diserahkan langsung kepada pihak Kedutaan Palestin di Malaysia bagi meringankan beban penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza yang kini diserang tanpa henti oleh rejim Zionis Israel.

Sementara itu Timbalan Presiden PAPTI merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana majlis tersebut, Datuk Abdul Latiff Awang berkata, jumlah tersebut boleh bertambah memandangkan terdapat mereka yang tidak dapat hadir kerana gagal menemui lokasi.

"Kami akui untuk ke sini agak sukar memandangkan ia kawasan yang sedang pesat membangun sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas serta laluan yang tidak teratur," katanya.

Bagi memeriahkan acara, turut diadakan cabutan bertuah di mana sebanyak 10 hadiah disediakan untuk mereka yang hadir. Hadiah-hadiah adalah sumbangan beberapa Ahli Majlis PAPTI.

(Lagi gambar-gambar sekitar majlis berkenaan dalam Album PAPTI di sini...)