Info PAPTI menerusi FB, Twitter dan Instagram

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Ogos 08, 2014
KUALA LUMPUR:  Setelah memperkenalkan laman Facebook, Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) terus memanfaatkan perkembangan penggunaan media sosial apabila memperkenalkan Twitter dan Instagram persatuan itu mulai semalam.

Pengggunaan ketiga-tiga aplikasi media sosial itu bertujuan memberikan kemudahan kepada para ahli PAPTI dan orang ramai mendapatkan perkembangan terkini mengenai aktiviti persatuan itu dengan lebih pantas, menggunakan gajet mudah alih pintar seperti iPad dan telefon pintar.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, pengenalan Facebook, Twitter dan Instagram itu bertujuan juga bagi merapatkan lagi hubungan antara ahli yang menjadikan ketiga-tiga media sosial tersebut sebagai jambatan penghubung silaturrahim.

"Dengan penggunaan Facebook, Twitter dan Instagram yang semakin meningkat di kalangan masyarakat hari ini, maka sewajarnya PAPTI turut mengikuti peredaran tersebut. Oleh sebab itu, menerusi ketiga-tiga aplikasi ini diharapkan maklumat mengenai PAPTI dapat disalurkan ke pengetahuan ahli dengan lebih pantas," katanya.

Menurut beliau, penggunaan media sosial tersebut juga diharapkan dapat menarik minat lebih ramai anak-anak Malaysia lulusan Indonesia untuk tampil menjadi ahli PAPTI, sekali gus dapat meningkatkan jumlah ahlinya.

Penggunaan media sosial itu juga, jelas beliau, dapat mendekatkan PAPTI dengan persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Indonesia yang ada di setiap kota di negara itu.

Beliau berkata, ahli-ahli PAPTI dan orang ramai boleh mengikuti Facebook, Twitter dan Instagram PAPTI dengan menaip "mypapti" pada ruang pencarian atau #papti.