Kenyataan Presiden PAPTI berhubung tragedi MH17

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Julai 18, 2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya mewakili seluruh Ahli Majlis dan ahli-ahli Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) ingin melahirkan rasa simpati dengan keluarga mangsa pesawat MH17 yang terhempas selepas dipercayai ditembak di Ukraine lewat malam tadi (waktu Malaysia).

PAPTI amat kesal dengan kejadian tersebut dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat komersial milik Malaysia itu yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak-anak kapal. Daripada jumlah itu seramai 44 orang termasuk kru merupakan rakyat Malaysia manakala 12 lagi rakyat Indonesia.

Lebih dikesalkan pesawat MH17 menjadi mangsa sengketa yang berlaku antara puak-puak bertelagah di Ukraine dan nyawa mereka yang tidak berdosa telah menjadi korban. Tindakan mereka yang menembak pesawat komersial jelas telah melanggar undang-undang antarabangsa.

Justeru, PAPTI berharap pihak yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka keadilan dan dikenakan tindakan sewajarnya atas kejadian ini.

Al-Fatihah

LUKMAN BIN ISMAIL
Presiden PAPTI 2013/2015